Wednesday 25 March 2020

BANYAK BAKTI YANG DAPAT DIBERI, SEPANJANG HIDUP YANG SESINGKAT INI


https://youtu.be/kf_VN9opTfY

Tajuk di atas adalah antara bait puisi Al Marhum Zubir Ali melalui lagu dan lirik ciptaan beliau "Siapa Yang Tak Pernah Menangis".

Di saat terluang ini, ingatan saya melayang kepada beliau, seorang guru dan sahabat yang telah meninggalkan kita semua. Namun tinggalan lirik puitisnya mendatangkan kesan mendalam. Lagu yang indah puisinya mungkin kurang popular, namun cukup terkesan di hati rakyat Malaysia sesuai dengan situasi terkini. 


Secara umumnya, di saat Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, terserlah kebaikan rakyat Malaysia :

1. Ramai yang membantu pihak berkuasa terutama staf hospital dan pihak keselamatan. Makanan, keperluan asas diedarkan oleh mereka yang prihatin kepada pihak berkuasa.

2. Saling membantu sesama sendiri. Di kampung-kampung, ramai yang terkesan dengan situasi ini. Bekalan makanan terputus bagi mereka yang tiada pendapatan tetap. Namun ada saja insan murni dan ikhlas membantu.

3. Saling mengingati. Ramai yang tidak kita kenali memberi peringatan tentang situasi terkini di media-media sosial baik keperluan mental atau fizikal. Penyebaran info grafik tentang wabak ini amat bermanfaat buat semua.

4. Perkongsian rangkaian doa-doa untuk semua dan kesejahteraan negara. Walaupun hanya di media sosial atau individu, mendoakan yang terbaik untuk pihak lain adalah langkah terpuji.

Jika mahu disenaraikan kebaikan rakyat Malaysia, tidak terbuat kita di ruangan ini. Ianya terlalu banyak. Dari sekecil-kecil bantuan, sehinggalah sebesar bantuan sekadar mampu mengikut kemampuan masing-masing. Kesimpulannya, di saat getir begini, masih ramai insan berlumba-lumba berbuat kebaikan.

Namun tidak kurang juga yang memilih jalan songsang menongkah arus tidak berbuat kebaikan di saat negara berhadapan wabak ini. Ianya :

1. Engkar arahan tidak berhimpun dengan jumlah yang ramai. Siap buat video kenduri kepala kambing lagi. Telah didakwa dan menunggu hukuman. Kalau kena, denda ribuan ringgit atau penjara 2 ke 3 bulan. Tak berbaloi sungguh kalau kena.

2. Seseorang memulakan berita palsu. Kemudian disambut oleh mereka yang menularkannya di media-media sosial. Dapat saja, terus kongsi tanpa memeriksa kesahihan berita. Alasannya, sekadar 'suka-suka' menularkannya.

Ironinya, si tukang kongsi cerita telah didakwa. Masa inilah baru teringat pesanan pihak berkuasa, "tidak pasti, jangan kongsi". Malangnya sudah terlambat. Jika kena hukuman, denda ribuan ringgit atau masuk penjara. Pun tidak berbaloi kerana perbuatan 'suka-suka' tadi.

3. Engkar arahan pihak berkuasa secara berhadapan. Siap melawan lagi. Maka mendapatlah habuannya. Didakwa di mahkamah dan bermalamlah di lokap polis atau penjara. Sungguh tepat perumpamaan 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'.

Pihak berkuasa menjalankan tugas dengan kuasa-kuasa yang telah diperturunkan kepada mereka. Segalanya mematuhi akta-akta sedia ada dalam perundangan negara. Pihak berkuasa bukan 'suka-suka' membuat sekatan jalanraya atau melarang kita keluar rumah.

4. Ramai juga yang menjadi profesor serba tahu mutakhir ini. Idea merekalah yang paling baik jika berbicara di media sosial. Apa juga langkah pihak berkuasa, semuanya tidak kena di mata mereka. Ada saja hujah mereka menyanggah tindakan kerajaan. Modal mereka hanya 'live di FB' dan air liur saja, sedangkan pertimbangan kerajaan mengambil kira segala sudut.

5. Banyak juga pengadu domba di saat kritikal ini. Mengambil kesempatan meniup api perkauman. Mungkin mereka lupa, wabak ini tidak kenal agama, bangsa atau negara. Semuanya boleh dijangkiti jika langkah pengawalan tidak diambil serius.

6. Tamak. Itu kesimpulan yang terjadi semasa awal perintah kawalan pergerakan. Beli barang-barang untuk stok 6 bulan. Wal hal, bukan tidak boleh keluar. Boleh keluar, cuma dengan pergerakan terhad. Pihak berkuasa juga memberi jaminan barangan keperluan sentiasa cukup. 

Kita punya banyak pilihan dalam kehidupan ini. Teruskanlah berbuat kebaikan sesama kita. Jika di saat ini kita dihina, bangkit dan bantulah mereka yang memerlukan. Kita yang lemah ini diberikan peluang untuk membetulkan persepsi orang lain terhadap kita. 

Jika di saat ini kita kuat, maka hulurlah bantuan sebanyak mungkin buat mereka yang memerlukan. Teruskan berbuat baik di mukabumi ini. 


"Banyak bakti yang dapat diberi
Sepanjang hidup yang sesingkat ini"....





Tuesday 17 March 2020

MALAYSIA KELAM KABUT KERANA TIADA TIMBALAN PERDANA MENTERI?


1. Semalam keadaan di dalam negara memang kelam kabut. Rakyat keliru arahan siapa yang patut diikuti. Sejurus selepas pengumuman PM mengenai 'kawalan pergerakan', tiada kenyataan susulan penjelasan tentang pengumuman PM. Apakah yang perlu agensi-agensi lakukan sesuai dengan arahan PM? Hakikatnya, tiada ! Sebaliknya, agensi-agensi mengeluarkan arahan tanpa garis panduan yang jelas.

2. Inilah yang terjadi semalam. Ketua Polis Negara mengeluarkan arahan perlu ada kebenaran polis untuk merentas sempadan negeri di dalam negara. Pihak universiti pula mengeluarkan arahan mengosongkan kampus kepada para pelajar. Ada juga universiti yang mengeluarkan arahan mengosongkan asrama di kampus. Jadinya, mahu ke mana para pelajar ini pergi, melainkan pulang ke kampung. 

Perlu pula kebenaran polis jika mahu pulang ke kampung (merentas negeri). Makanya berpusu-pusulah pemohon ke balai polis mahu mendapatkan borang kebenaran merentas sempadan. Pertama kali dalam sejarah Malaysia, rakyat membanjiri balai-balai polis seperti pesta. Barang kali tertekan dengan situasi semalam, KPN menarik balik arahan tersebut. 

3. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dengan perintah 'kawalan pergerakan' adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN). Agensi ini adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ia tanggungjawab langsung Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Namun di bawah kabinet TS Muhyiddin, jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diisi. 

Yang ada adalah empat orang menteri kanan dengan potfolio tersendiri. Bermakna Majlis Keselamatan Negara adalah di bawah tanggungjawab Perdana Menteri. Menteri di JPM dengan potfolio tugas-tugas khas pula masih samar-samar bidang tugasnya.

4. Makanya, segala pengumuman berkaitan perintah kawalan pergerakan perlu datang dari Perdana Menteri atau Ketua Pengarah MKN (setelah diperturunkan kuasa kepadanya oleh Perdana Menteri. Para menteri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara dan lain-lain jawatan berkepentingan seharusnya tidak memberi apa-apa kenyataan. Ini bertujuan mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir.

5. Di masa lalu, seorang TPM, mewakili PM boleh diberi tanggungjawab membuat apa-apa pengumuman dalam keadaan seperti ini. Kini ia tidak berlaku kerana Malaysia tiada TPM. Dari segi politik pula, menurunkan kuasa kepada mana-mana menteri kanan bakal mengundang konflik politik di kemudian hari.

6. Tentunya menteri kanan yang dipertanggungjawabkan mewakili Perdana Menteri akan muncul memberikan pengumuman. Ini akan memberikan 'mileage' secara politik kepada penyandangnya. Mahu dibuat secara bergilir kepada empat menteri kanan pula sangat tidak praktikal. Jangka masa kawalan pergerakan hanyalah dua minggu.

7. Rakyat bawahan adalah golongan yang paling terkesan dengan situasi begini. Tentunya rakyat keliru dengan keadaan begini akibat tiadanya komunikasi dan koordinasi yang berkesan antara agensi. Rakyat bingung. Apakah perintah semalam masih diguna pakai untuk hari ini? Apakah perintah hari ini masih terpakai untuk hari esok?

Pemimpin meminta rakyat bertenang. Bagaimana mahu bertenang jika arahan yang diterima berubah-ubah? Saluran komunikasi sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh kerajaan. Lantiklah seorang jurucakap untuk memberi maklumat dan arahan. Jelaskan, hanya arahan dan maklumat jurucakap tersebut yang terpakai. Sumber selain jurucakap ini adalah tidak terpakai. 

8. Rakyat sedang menilai kerajaan baru ini. Alasan Muhyiddin dan barisan kabinetnya masih baru tidak boleh diterima lagi untuk masa hadapan. Perkemaskan segala jentera kerajaan agar maklumat sampai kepada rakyat dengan jelas.

Buat PM, jika perlu dilantik TPM untuk membantu tugas PM, buatlah dengan segera. Jika tiada keperluan, lantiklah seorang jurucakap dari Majlis Keselamatan Negara untuk menyampaikan arahan dan maklumat yang sah. Ketua Pengarah atau Setiausaha MKN adalah calon paling sesuai berbuat demikian.

9. Semua ini adalah komunikasi dan koordinasi rantaian perintah dari agensi-agensi yang terlibat dengan perintah kawalan pergerakan. Moga dipermudahkan.

Segalanya adalah DEMI RAKYAT! 

#berubahutkkebaikan

Tuesday 10 March 2020

PAKATAN HARAPAN MENGUNDANG CAMPUR TANGAN ASING DEMI KEMBALI BERKUASA?

Tumbang sahaja kerajaan Pakatan Harapan, kita melihat Malaysia kembali menjadi tumpuan media asing yang berat sebelah. Akhbar 'The Guardian' telah menuduh apa yang berlaku dua minggu lepas (pertukaran kerajaan Malaysia) sebagai rampasan kuasa diraja. Akhbar ini mengaitkan keluarga diraja sebagai perancang utama rampasan kuasa. 

2. Seorang wakil rakyat United Kingdom Jim Shannon dari Democratic Union Party pula menyokong akhbar ini secara terbuka dan berbicara mengenai pertukaran kerajaan Malaysia. Bicaranya membayangkan seolah-oleh institusi monarki Malaysia sangat kejam terhadap rakyat sendiri. 

3. Hari ini pula tular di media sosial konon satu kelompok masyarakat 'berdoa' agar regim Pakatan Harapan kembali merampas tampuk pemerintahan Malaysia dengan segera. Tambahnya ini bagi mengembalikan keadilan di Malaysia. 

4. Mereka (media dan sumber antarabangsa) ini berlagak seolah-olah tahu apa yang berlaku di Malaysia walhal mereka tidak berada di sini pun sama sekali. Tentu saja ini mengingatkan kita fitnah-fitnah jahat sumber antarabangsa seperti Sarawak Report sebelum PRU 14. 

5. Claire Brown Rewcastle dari Sarawak Report pernah menjadi pakar rujuk hal ehwal Malaysia oleh Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan, Mahathir, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dan yang bersekutu dengannya. Mereka menjadikan laporan Sarawak Report seperti 'kitab suci' seratus peratus betul dan mesti dipercayai oleh semua rakyat Malaysia. 

6. Sarawak Report memfitnah institusi monarki di Malaysia dengan mengaitkan keluarga diraja dengan isu 1MDB. Sarawak Report telah menyerang UMNO seolah-olah UMNO itu parti 'super ultra' melayu. Demikian juga PAS, tidak terlepas dari fitnah mereka. Namun bila disaman oleh keluarga diraja, UMNO dan PAS, Sarawak Report kalah di mahkamah. 

7. Realitinya, laporan Sarawak Report hanya layak masuk ke bakul sampah saja. Laporannya adalah fitnah serta memecah belahkan masyarakat Malaysia. Konon berpaksikan kebebasan maklumat, mereka membuat fitnah secara berjama'ah. Sumbernya adalah rakyat Malaysia yang jahat dan khianat serta punya agenda peribadi. 

9. Hasilnya ramai rakyat Malaysia yang termakan fitnah 'orang luar'. Lebih parah, hal ini terjadi kerana ada pengkhianat di kalangan rakyat Malaysia sendiri yang sanggup bersekongkol dengan orang luar menjahanamkan Malaysia. Pengkhianat ini langsung tidak memikirkan kestabilan negara. Rakyat akan terkesan secara langsung jika negara tidak stabil. 

10. Kini hal yang sama akan berulang. Segalanya seperti diatur dengan teliti oleh pihak yang berkepentingan. Serangan-serangan dari media luar telah bermula. Mungkin campur tangan luar juga telah ditagih pemimpin-pemimpin yang kecewa kehilangan kuasa. Mereka lebih rela bersekongkol dengan musuh-musuh agama, bangsa dan negara di luar sana demi memenuhi agenda peribadi. 

11. Selepas ini bakal muncul NGO-NGO yang berpangkalan di luar negara mencampuri hal ehwal dalaman politik Malaysia. National Democratic Institute (NDI), International Institute of Republican (IRI), Konrad De Adenuer Stiftung, Open Dialogue Society dan banyak lagi bakal kembali ke Malaysia menaja kader-kader politik pembangkang di Malaysia. 

12. Tidak mustahil juga mereka akan muncul dengan nama lain yang lebih 'fresh' tetapi sumber dan peranannya yang tetap sama. Objektif mereka adalah untuk 'menyediakan' rakyat Malaysia yang boleh mengikut telunjuk mereka. Mereka langsung tidak pedulikan aspirasi dan kehendak masyarakat berbilang kaum di Malaysia. 

13. Kita telah melihat kesan fitnah media-media asing sehingga pemikiran rakyat Malaysia terpesong. Asas perpaduan yang disediakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang memahami aspirasi Malaysia telah dilupakan. Nilai perpaduan dan pemikiran yang diterapkan oleh media serta NGO-NGO asing adalah mengikut acuan mereka. 

14. Nilai kesamarataan mereka amat tidak sesuai dengan keperluan negara kita. Maksud kebebasan mereka juga amat bertentangan dengan agama dan budaya kita. Apa yang biasa bagi mereka mungkin luar biasa bagi kita. Apa yang boleh bagi mereka, mungkin tidak dibenarkan sama sekali oleh agama dan budaya kita di Malaysia.

15. Oleh itu, kita mesti kekal bersatu menolak campur tangan asing di negara kita. Prinsip Rukun Negara harus kita dukung. Segala tafsiran kebebasan dan hak asasi manusia mestilah mengikut acuan kita. Saling bertolak ansur dan memahami adalah teras utama masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum.

Meruntuhkan apa yang telah dibina amatlah mudah. Mungkin 22 bulan lebih dari cukup untuk melakukannya. Namun membina kembali apa yang telah dimusnahkan itu, tidak mudah. Ia menuntut keazaman, semangat serta komitmen yang tinggi dari semua. 

Ayuh !!! Kita halang sebarang bentuk campur tangan asing, sekaligus membina kembali Malaysia yang dicintai ini....  

Sunday 1 March 2020

KERAJAAN PH TUMBANG: LIM KIT SIANG PUNYA SAHAM TERBESAR DI DALAMNYA.

1. Di saat tumpuan terhala kepada Mahathir, Anwar, Muhyiddin dan Azmin ketika kerajaan PH tumbang, supremo DAP Lim Kit Siang dan ketua DAP Lim Guan Eng cuba menyepi diri. Tiada kenyataan keras dari mereka seperti yang biasa lakukan. Jika ada, ianya kenyataan yang amat 'lembut' dari mereka berdua berkaitan tumbangnya kerajaan PH.

2. Selain 'u-turn' paling besar oleh Mahathir dalam lanskap politik negara, Lim Kit Siang juga begitu. Beliau membawa seluruh DAP membuat pusingan 'u' bekerjasama dengan Mahathir. Ia jelas hipokrasi politik tahap tertinggi dari Lim Kit Siang dan anaknya. Ia juga adalah pengkhianatan paling besar Lim Kit Siang kepada DAP dalam perkembangan sejarah parti ini di Malaysia.

3. Lebih 50 tahun DAP di Malaysia, segala yang berkaitan DAP hanyalah tentang Lim Kit Siang. Tidak lebih dari itu. Lim Kit Siang adalah ketua DAP dalam pelbagai wajah. Sebagai Setiausaha Agung, Pengerusi dan jawatan terakhir adalah Penasihat. Itu di dalam struktur rasmi organisasi parti. Selepas keluar dari struktur parti, Lim Kit Siang masih memegang 'kunci' ketua DAP melalui anaknya Lim Guan Eng sebagai ketua 'de facto' DAP.

4. Bukan tidak ada orang lebih baik dari Lim Kit Siang dalam DAP. Lee Lam Thye (Tan Sri), Kerk Kim Hock (mendiang), Hu Sepang (mendiang), Wee Choo Keong (sekadar menyebut beberapa nama) adalah contohnya. Namun mereka ini kecundang dalam dalam pertarungan 'saga' DAP. Lim Kit Siang membunuh mereka secara politik kerana berbeza haluan dengannya. Kit Siang tidak mahu tunas-tunas pemikiran yang tidak sehaluan dengannya tumbuh subur di dalam DAP.

5. Hasilnya kini, tiada siapa di dalam DAP yang berani melawan cakap Lim Kit Siang. Saya percaya, bukan semua AJK Pusat DAP bersetuju apabila Lim Kit Siang membuat keputusan bekerjasama dengan Mahathir, seseorang yang sangat dimusuhinya suatu ketika dahulu. Mereka tahu siapa Mahathir sebenarnya.

Jika bercakap atas dasar prinsip, tentunya Kit Siang tahu banyak penyelewengan Mahathir. Beliau sendiri banyak mendedahkannya samada di parlimen atau ceramah-ceramah umum DAP.

Namun siapa di dalam DAP yang berani melawan Lim Kit Siang. Bukan DAP tidak ada panglima atau badut perang. Kebanyakan mereka konon gagah melawan diktator. Namun semua yang di dalam DAP hanya menikus sahaja depan Kit Siang walaupun Kit Siang itu adalah 'diktator'.

6. Lim Kit Siang bukan sahaja khianat kepada Pakatan Harapan, beliau sebenarnya mengkhianati partinya sendiri. Lim Kit Siang lah membuat DAP tidak dapat diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya.  Lim Kit Siang jugalah yang membuat DAP dilabel sebagai parti rasis dan parti cina walaupun berteraskan pelbagai kaum.

Cubaan mengaburi mata rakyat dengan meletakkan seorang dua wakil melayu dan india sebagai staf Lim Kit Siang nyata gagal. Ia tidak memberi kesan apa-apa. DAP saja yang syok sendiri bercerita kononnya Lim Kit Siang seorang yang tidak rasis, namun hakikatnya imej cauvinis Lim Kit Siang sukar dibersihkan.

7. Maka untuk kekal relevan dalam politik Malaysia, DAP perlu berubah. DAP perlu menyingkirkan Lim Kit Siang. Namun saya kira tiada yang berani berbuat demikian dalam DAP sekarang. Saya kira Lim Kit Siang akan membawa DAP kembali ke permainan politik berasaskan isu. Selama ini pun DAP 'hidup' atas isu-isu yang dibakar sentimennya kepada rakyat Malaysia.

Jika ini pilihan DAP, tak usahlah melaungkan perubahan di luar sana. Parti sendiri pun tidak mahu berubah, ada hati nak suruh orang lain berubah. Jangan menyalahkan orang lain kenapa DAP dibenci dan dilabel sedemikian rupa. Ini yang patut anak-anak muda dalam DAP perjuangkan. Singkirkan Lim Kit Siang dari DAP, kemudian barulah boleh bercakap tentang perubahan dan demokrasi.

8. Akhirnya, jika ada yang melalak di Dataran Merdeka menyalahkan UMNO, Mahathir, Anwar dan Muhyiddin, jangan lupa salahkan Lim Kit Siang sekali.

Saham Lim Kit Siang menjatuhkan kerajaan PH amat besar sekali. Kerana beliaulah PH tidak diyakini oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Kerana beliau, Mahathir mahu menunjuk kuasanya. Kerana beliau juga Anwar menjadi perasan kononnya kuat untuk melanggar Mahathir. Kerana beliau juga Muhyiddin bangkit melawan Mahathir. Kerana beliau juga keputusan PH mencalonkan Perdana Menteri berubah-ubah.

Lim Kit Siang terlalu mementingkan diri. Kepentingan DAP dan negara hanyalah satu peratus sahaja dalam hidupnya. Selebihnya adalah tentang kepentingan dirinya dan suku sakat sahaja......