Sunday 8 December 2019

KONGRES PKR 2019: ANWAR BERJIWA KERTAS, AZMIN BERHATI TISU


1. Kongres PKR yang berakhir tengahari tadi pastinya menimbulkan seribu satu persoalan. Kongres 2019 kelihatan telah berakhir namun hakikatnya ia adalah satu permulaan keretakan dalam PKR secara terbuka. Seolah-olah mahu membalas dendam, kumpulan pro Azmin akan bertemu atas nama majlis makan malam untuk berucap dan berbahas. Ini lantaran hak mereka sebagai perwakilan dinafikan oleh kumpulan pro Anwar seperti yang didakwa.

2. Tentunya makan malam ini bakal di hiasi dengan ucapan-ucapan menghentam Anwar yang dikatakan gagal menunaikan janji-janji untuk mengelakkan terjadi dua kongres berasingan pada tarikh yang sama. Kumpulan pro Azmin nampaknya berdendam apabila menerima layanan 'kelas tiga' walaupun mereka hadir sebagai perwakilan yang sah semasa kongres tersebut. 

3. Samada Anwar atau Azmin, tentunya mereka berdua tahu 'game' apa yang mahu mereka mainkan. Apabila Azmin mahu mengadakan kongres berasingan di Kuala Lumpur, beliau tahu apa yang mahu ditawarkan  (bargain) dengan cadangan itu. Begitu juga Anwar, apabila beliau mengajak Azmin berbincang konon atas nama perdamaian, Anwar tahu buah catur mana yang mahu digerakkan dan kearah mana mahu digerakkan.

4. Masing-masing ada strategi biarpun terpaksa senyum, gelak, menutup muka dan sebagainya di hadapan kamera. Kedua-dua mereka berlakon dengan baik walaupun kita telah menjangkakan ianya adalah 'drama' mahu memerangkap satu sama lain. Anwar mungkin mahu Azmin hadir ke kongres di Melaka dan memulakan serangan ke atas Azmin secara berhadapan. 

5. Azmin juga mungkin tahu risiko jika beliau hadir ke kongres tersebut setelah sekian lama tidak hadir mesyuarat-mesyuarat utama PKR. Namun Azmin perlu hadir memulakan gerakan memalukan Anwar dari dalam. Masing-masing dengan strategi licik untuk menjatuh dan memalukan satu sama lain. 

Yang menjadi buah catur dalam permainan ini adalah penyokong masing-masing. Para penyokong di atur gerak mengikut tujuan Anwar dan Azmin. Penyokong yang diupah atau benar-benar menyokong menjadi mangsa dalam percaturan ini. Merekalah yang bergaduh hingga berdarah, kejar mengejar dan memaki hamun sesama sendiri.

6. Pemimpin jenis apa yang memperalatkan penyokong mereka sedemikian rupa. Mereka ini pemimpin oportunis, mengambil kesempatan atas ketaksuban penyokong. Demi mahu menjadi Perdana Menteri, penyokong dan rakyat dimanipulasi. Tidak kedengaran isu-isu berorientasikan rakyat dibincangkan dengan serius. Kenaikan harga barang, keadaan ekonomi tidak menentu dan isu rakyat yang lain hanya menjadi 'picisan' semasa kongres tersebut. 

7. Tidak mahu ekstrim, namun ada yang menganggap kongres PKR 2019 seperti 'pesta badut', mempamerkan kebodohan masing-masing demi menarik perhatian. Sepatutnya pada usia 20 tahun penubuhan parti, pemimpin dan penyokong PKR lebih matang. Namun keadaannya terbalik bagi PKR. PKR dilihat seperti parti 'barbarian', ganas dan tidak bertamadun.

8. PKR sebenarnya semakin menuju arah 'parti kian rapuh'. Seumpama dua pemimpin utama mereka, Anwar yang berjiwa kertas dan Azmin yang berhati tisu. Kedua-duanya nipis dan senang koyak. Perangai merajuk dan bergaduh umpama kanak-kanak bawah umur walaupun masing-masing dah bercucu. 

Walaupun PKR sebagai pemegang kerusi parlimen terbanyak dalam PH, tiada jaminan PKR akan kekal selamanya begitu. Sampah-sampah yang mereka sapu ke bawah karpet semakin meninggi. Sampah busuk itu hanya menunggu masa saja untuk melimpah keluar. Mungkin dah tak lama..

Kita nantikan hasil dapatan perhimpunan 'Majlis Makan Malam' kumpulan pro Azmin nanti...

Tuesday 26 November 2019

KISAH DONGENG KATAK PAKATAN DAN BUAYA HARAPAN


1. Suatu ketika di tebing sebuah sungai setelah hujan lebat, seekor katak termanggu-manggu mencari jalan mahu menyeberang. Di seberang sungai tersebut, ada sesuatu yang boleh menjadikan katak tersebut seekor katak yang sangat berkuasa. Namun halangan yang katak itu perlu tempuhi adalah arus sungai yang sangat kuat. Katak tahu tidak mampu menyeberang tanpa bantuan namun perlu segera menyeberang sebelum ada katak lain yang mendahuluinya untuk menjadi pemimpin di seberang sana.

2. Di saat katak tersebut buntu memikirkan jalan untuk menyeberang dengan segera, muncul seekor buaya menawarkan bantuan. Katak pada mulanya ragu-ragu kerana tahu perangai buaya namun bersetuju setelah buaya itu mengalirkan air mata tanda sudah insaf.  Buaya tersebut berjanji akan membawa katak tersebut menyeberang dan tentunya buaya itu akan menbantu menjadikan katak tersebut seekor pemimpin di seberang sungai. Katak tersebut seperti 'orang mengantuk disorongkan bantal', terus saja menerima pelawaan sang buaya.

3. Setelah sang buaya berjaya mengharungi kawasan paling bahaya di tengah sungai dan tebing seberang sana semakin jelas kelihatan, tiba-tiba sang buaya memusingkan badannya dan katak tersebut jatuh dari badan buaya. Buaya segera menerkam katak tersebut lalu menggigit katak tersebut untuk memakannya. Alangkah terkejutnya sang katak, lalu bertanya kepada sang buaya, mengapa sang buaya mungkir janji membawanya ke seberang. Buaya menerangkan, memang lumrah buaya memakan katak dan ianya memang tidak pernah berubah.

4. Lalu matilah sang katak dibaham sang buaya. Impian sang katak untuk menjadi pemimpin di seberang sana turut berkubur bersama jasadnya yang ditelan buaya.

Sesuatu yang katak lupa, buaya adalah raja di sungai. Buaya akan menggunakan apa saja taktik untuk melemah dan menyerang lawan. Seekor buaya boleh terapung keras dan dilihat seperti tunggul kayu mati. Setelah mangsa semakin dekat, buaya akan bertindak. Buaya juga boleh menyelam dan mengendap dan menyerang mangsanya dari dalam air, kerana itu ada pepatah 'air tenang jangan disangka tiada buaya'. Ini memang lumrah buaya.

5. Akan tetapi, yang lebih menarik, mengapa sang katak tetap juga mahu percaya kepada buaya. Bukan katak tidak tahu buaya ini sifatnya memburu. Apa juga makhluk yang waras, akan berhati-hati dengan sang pemburu. Lumrahnya tiada makhluk yang mahu mendekati buaya kerana sifatnya yang ganas. Maka itulah buaya menggunakan pelbagai taktik dan penyamaran untuk mendekati mangsa.

Dalam cerita ini, buaya tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Memang buaya itu ganas dan bersifat pemburu. Katak pula dalam impiannya menjadi ketua di seberang sungai, langsung tidak menghindari sang buaya. Malah terpesona dan menerima pelawaan bantuan sang buaya walaupun tahu lumrah buaya itu pemburu dan akhirnya menjadi mangsa atas kesilapan sendiri.

Moralnya, jangan sesekali menjadi katak dan juga jangan sesekali percaya dengan air mata buaya, terutama buaya darat.....

Monday 11 November 2019

PRK TANJUNG PIAI: RAHSIA DAP PECAH, 'HARIMAU KERTAS' BERTINDAK BALAS.

1. Kemuncak kempen di Tanjung Piai tentunya dengan kehadiran Perdana Menteri ke 7 merangkap Penasihat Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan selepas PRU 14 tahun lepas. Tentunya kehadiran Tun Mahathir ke Tanjung Piai nanti akan dihiasi dengan 'lautan' manusia bagi memberi gambaran Perdana Menteri ke 7 ini masih mendapat sokongan, sekurang-kurangnya dari komponen PH walaupun bayangan jelas menyatakan Tun Mahathir telah kehilangan 'sentuhan' sebagai ketua dalam beberapa PRK yang lepas. Akibatnya, DAP tewas di Cameron Highlands dan PPBM tewas di Semenyih. PKR juga turut  terkena tempias lalu tewas di Rantau walaupun tanpa kehadiran Tun Mahathir.

2. Di sebalik jangkaan lautan manusia bakal membanjiri Terminal bas di Tanjung Piai nanti bagi menggambarkan sokongan, realitinya Tun Mahathir seolah-olah 'berseorangan' dan kesepian meniti perjalanan sebagai Perdana Menteri di pusingan kedua ini. Lihat sahaja bagaimana Mahathir kini. Telah ada cakap-cakap dari komponen atau elemen PH yang mengatakan demikian. "Mahathir masih tidak berubah", memerintah mengikut kehendaknya sendiri. Malah ahli dari DAP (komponen PH), Ronnie Liew mengatakan Mahathir hanyalah seekor 'harimau kertas'. Namun tiada tindakan keras dari DAP, yang ada hanya kata-kata retorik NATO (no action, talk only) yang konon mahu mengambil tindakan.

3. Mahathir tentunya terguris dengan gelaran harimau kertas. Mungkin juga atas sebab mahu membalas dendam terhadap DAP, PPBM tidak mengambil tindakan ke atas MB Perak kerana 'memecahkan rahsia' DAP adalah musuh utama kepada orang melayu dan umat islam di Malaysia. Mengenali Mahathir, apabila beliau menggunakan alasan-alasan bodoh mempertahankan sesuatu, tujuan utama sebenarnya adalah untuk menyakitkan hati pihak lawan. Kali ini adakah Mahathir mahu menyakitkan hati dan membalas dendam kepada DAP yang tidak mengambil mengambil tidakan susulan kepada ahlinya yang menggelar beliau harimau kertas? Tidak mustahil MB Perak mendapat sokongan Mahathir secara diam sebagaimana DAP menyokong Ronnie Liew secara diam. MB Perak tampil mempertahankan kenyataannya biarpun pada mula kelihatan agak goyah bila diasak DAP.

4. Pemimpin lain dalam PPBM tampil memberi kenyataan 'selamat' dalam isu MB Perak. AMANAH diam sahaja dan ianya bukan kali pertama bila ada isu melibatkan DAP. PKR  pula tumpang sekaki menghentam MB Perak dan mungkin PPBM? Tidak mustahil Anwar Ibrahim di belakang PKR Perak yang menghentam MB Perak. DAP bangkit menyanggah MB Perak melalui pemimpin nombor wahid mereka Lim Guan Eng apabila mengatakan MB Perak bercakap tidak seperti 'kawan' apabila 'memecahkan' rahsia DAP adalah musuh umat islam dan melayu di Malaysia. Lim Kit Siang pula menggelabah cuba menyapu kotoran DAP-PPBM ke bawah karpet dengan menyeru supaya hal ini dibincang selepas berakhirnya PRK Tanjung Piai.

5. Keadaan caca marba sesama Pakatan Harapan ini bukan kali pertama berlaku. Di sebalik kenyataan pimpinan PH untuk 'cover line' atau mengalihkan isu, hal-hal sebegini  (pertelingkahan sesama mereka) sering terjadi. Yang lebih menarik, ianya berlaku walaupun PH merancang dan berbuat sebaik mungkin konon mahu menunjukkan perpaduan mereka. Setiap kali mahu tunjukkan perpaduan, setiap kali itulah timbul isu yang menunjukkan mereka tiada perpaduan mahupun kesatuan. Tentunya ini terjadi kerana mereka tiada agenda bersama yang jelas. Pakatan Harapan adalah gabungan 'longgar', tiada polisi bersama yang membentuk kesatuan. Yang lebih utama bagi mereka adalah agenda masing-masing demi memelihara tembolok mereka sahaja.

6. Kerana itu, di saat rakyat sedang menderita kenaikan kos sara hidup, pemimpin mereka boleh pula mengatakan orang kampung perlu bersyukur, tiada apa yang nak dibelanjakan sangat jika hidup sebagai orang kampung. Seorang pemimpin PH pula pusing-pusing cakap seolah-olah mengugut kakitangan kerajaan supaya memilih parti yang boleh membayar gaji kakitangan kerajaan. Seorang pemimpin PH yang lain pula bercakap tentang isu moral sedangkan 'ekor' beliau sendiri penuh bergelumang 'tahi'. Lebih parah, beliau menjanjikan Tanjung Piai sebagai koridor ekonomi baharu sedangkan kawasan tersebut telah sedia ada dalam pembangunan koridor sekarang. Inilah akibatnya apabila mereka tiada polisi bersama yang jelas bagi membentuk kesatuan sesama mereka.

7. Di atas kertas, telah nampak pertelagahan sesama mereka. PKR tidak mahu PPBM menang kerana ia boleh menguatkan moral PPBM yang dilanda krisis ketika ini. PKR sebagai komponen paling besar PH mahu mengirim 'signal' bahawa Mahathir adalah liabiliti kepada parti tersebut dan mahu PPBM segera mengangkat Presiden parti mereka sebagai ketua sebenar. Kemenangan PPBM boleh merencatkan peluang Presiden PKR menjadi Perdana Menteri. DAP pula sebagai komponen kedua terbesar di dalam PH, tentu sahaja mahu membalas dendam terhadap PPBM kerana telah 'memecah serta mengesahkan' rahsia DAP adalah musuh kepada umat islam dan melayu di Malaysia. Ini tentunya menghalang cita-cita "Malaysian Malaysia" yang teguh menjadi polisi DAP dari dahulu hingga sekarang. Oleh itu, PPBM tidak boleh menang di Tanjung Piai kerana DAP mahu mengajar PPBM yang hanya ada 21 kerusi sekarang, merangkumi yang melompat masuk.

Jelas, jika mereka sendiri tidak mahu PPBM menang di Tanjung Piai, kita perlu menyokong mereka. Selain dari itu, kita juga tentu punya alasan tersendiri mengapa kita tidak mahu PH menang di Tanjung Piai. Pilihlah dengan bijak, bukan dengan kerbau yang membajak yang boleh merempuh apa sahaja sehingga menyebabkan banyak kerosakan.....

Thursday 12 September 2019

HIMPUNAN PENYATUAN UMMAH 2019: KITA MAMPU BERSATU TANPA MAHATHIR

1. Esok bakal bermula program Himpunan Penyatuan Ummah 2019 yang menyaksikan kerjasama UMNO-PAS akan dimeterai secara rasmi oleh UMNO dan PAS. Kerjasama ini bakal terpahat dalam sejarah penyatuan gerak kerja bersama oleh dua parti terbesar umat melayu islam di Malaysia. Kerjasama rasmi ini tentunya sangat dinanti oleh umat melayu islam yang cintakan ummah dari segenap segi.

2. Namun begitu, ramai juga yang sinikal terhadap usaha penyatuan ini. Tentunya mereka ini terdiri dari kalangan yang tidak mahu atau 'gerun' melihat umat melayu islam Malaysia bersatu dan menjalinkan kerjasama erat dari semua segi. Ramai yang telah bersuara, terutama dari pimpinan kerajaan Pakatan Harapan yang seolah-olah 'panas punggung' dengan penyatuan ummah ini. Reaksi yang diberi mereka amat dangkal serta tidak tercapai akal manusia waras memikirkan mengapa mereka perlu menolak penyatuan ini.

3. Serangan bagi menggagalkan penyatuan ini diketuai sendiri oleh Perdana Menteri ke-7 serta beberapa pemimpin kanan PH. Barangkali PM ke-7 mengekalkan serangan ini sebagai kesinambungan dari PM ke-4 yang banyak mencerca dan mengeji PAS. Setelah PM ke-4 melepaskan jawatan di dalam parti UMNO dan kerajaan, bahasa UMNO kepada PAS bertukar rentak. Tiada lagi cercaan dan kejian. Bahasa UMNO kepada PAS lebih lunak serta mengarah kepada musyawarah di zaman Pak Lah dan DS Najib. Jelas ketika itu bekas Presiden UMNO tersebut amat tidak selesa dengan fenomena baru yang melanda UMNO selepas zamannya.

4. Untuk rujukan, Kelantan jatuh ke tangan PAS pada PRU 8 (tahun 1990). Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN ketika itu ialah Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Rekod pemerintahan Mahathir 'Bapa Pemodenan Malaysia' sepanjang 22 tahun (1981-2003) tercalar apabila BN kehilangan tampuk pemerintahan negeri Kelantan pada tahun 1990 kepada PAS. Sehingga akhir pemerintahan Mahathir pada tahun 2003, PAS terus menguasai Kelantan, bahkan PAS terus menambah kerusi setiap kali PRU di zaman Mahathir. Rekod Mahathir terus dicalar oleh PAS apabila Terengganu pula jatuh ke tangan PAS pada tahun 1999.

5. Mahathir gagal mengembalikan Kelantan kepada BN biarpun sepanjang 22 tahun mengetuai negara dan BN. Pelbagai tekanan dikenakan terhadap kerajaan negeri Kelantan agar mereka kelihatan tempang di mata rakyat Malaysia dan dunia amnya. Macam-macam yang dibuat Mahathir agar kerajaan negeri Kelantan dan PAS Kelantan mengalami kesukaran. Urusan yang sepatutnya mudah, sengaja disusahkan untuk kerajaan negeri Kelantan sahaja. Kelantan tiada dalam senarai keutamaan Mahathir untuk misi-misi perdagangan keluar negara. Malahan ada dakwaan projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sengaja ditamatkan di Kuala Terengganu kerana tidak mahu memberikan manfaat kepada Kelantan apabila LPT siap sepenuhnya nanti.

6. Biarpun ditekan dari segenap sudut, Kelantan tetap diterajui oleh PAS dengan teguhnya. Rakyat Kelantan seolah-oleh tidak mempedulikan Mahathir. Turunlah Mahathir ratusan kali pun ke Kelantan setiap kali PRU, PAS tidak pernah tumbang di Kelantan. Sebaliknya, UMNO Kelantan yang berpuak-puak dan sering mengamalkan 'cah keting' mengikut telunjuk Mahahir yang sentiasa memerintah melalui dasar 'pecah dan perintah'. Barangkali inilah punca mengapa Mahathir sangat berdendam dengan PAS, tambahan pula Mahathir sendiri pernah kalah dengan calon PAS Allahyarham Ustaz Yusuf Rawa semasa pilihanraya tahun 1969 di parlimen Kota Setar Selatan. Mungkin disebabkan itu juga, Mahathir menggunakan sepenuhnya kuasa beliau di dalam UMNO dan kerajaan untuk menyerang PAS.

7. Namun itu UMNO yang dahulu, digunakan oleh Mahathir untuk menyerang PAS hingga berlakunya perpecahan yang amat teruk antara penyokong UMNO dan PAS. Keadaan kini jauh berbeza. UMNO kini adalah UMNO yang lain, tanpa Mahathir. UMNO kini adalah UMNO yang menjadi pembangkang, yang lebih sensitif dengan kehendak ummah. Begitu juga PAS. PAS kini lebih terbuka dan peka dengan keperluan semasa. PAS juga tahu bekerjasama dengan UMNO yidak akan sesekali mengorbankan keutamaan prinsip keislaman mereka, bahkan itu yang dituntut dalam Islam. Maka itu, tiada salahnya UMNO dan PAS bekerjasama demi mengangkat martabat ummah.

Program kerjasama UMNO-PAS ini bakal melonjakkan keadilan dan kesaksamaan buat semua rakyat Malaysia. UMNO dengan pengalaman mengemudi BN yang pelbagai kaum dengan rekod adil dan saksama yang cemerlang. Manakala PAS pula dengan prinsip Islam yang mengutamakan keadilan dan kesaksamaan, pastinya akan memacu Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Tidak perlu ucapan retorik mahu mengembalikan Malaysia sebagai 'Harimau Asia', namun tindakan jauh berbeza dengan apa yang diucap.

8. Himpunan Penyatuan Ummah 2019 ini hanyalah permulaan. Banyak lagi ruang yang boleh diteroka selepas ini. Buat semua peringkat pimpinan dan ahli-ahli UMNO serta PAS, usahlah gundah gulana dengan cacian serta makian dari mereka di luar sana. Peristiwa Memali, isu kafir mengkafir, solat dua imam dan lain-lain lagi berlaku di zaman Mahathir.

Pandang terus ke hadapan. Rakyat Malaysia menanti dengan penuh teruja kerjasama dua parti terbesar melayu-islam di Malaysia ini. BERSATU bukan parti melayu yang besar. Begitu juga AMANAH, mereka hanya parti serpihan yang didokong oleh DAP. Tunjang Pakatan Harapan PKR dan DAP pula adalah parti pelbagai kaum yang didokong berteraskan personaliti. Nama saja pelbagai kaum tetapi 'cakap tidak serupa bikin'.

Melayu itu adil. Islam itu saksama, maka apabila digabungkan, ia bakal memberi manfaat kepada semua. Jangan termakan hasutan terutama dari bekas UMNO dan PAS yang mencerca penyatuan ini. Sejarah bakal tercipta apabila termeterinya Piagam UMNO dan PAS nanti, dan sejarah ini tercipta tanpa mereka ada di sisi. 

Ayuh hadir beramai-ramai ke program yang bakal melakar sejarah dan membuka lembaran baru kerjasama. Percayalah, kita mampu untuk bekerjasama, kita boleh melakukannya. Dan yang lebih penting lagi, kita mampu bersatu dan menjadikannya realiti tanpa Dr. Mahathir.....


Tuesday 27 August 2019

INSIDEN KLIA: ADAKAH IANYA USAHA TERDESAK MENGHALANG ROMBAKAN KABINET?

1. Tajuk utama muka hadapan Utusan Malaysia semalam mengingatkan saya Utusan Malaysia yang menyiarkan tajuk utama muka hadapan "KLIA kelam kabut" pada 1 Julai 1998. Ketika itu, Perdana Menteri ke 4, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed dikhabarkan amat tersinggung dan terlalu marah dengan Utusan Malaysia khususnya Ketua Pengarang ketika itu Datuk Johan Jaafar (sekarang Tan Sri) yang dipertanggungjawabkan dengan situasi tersebut.

2. KLIA adalah 'pet project' Dr. Mahathir. Beliau memantau rapat projek tersebut dari A hingga Z bagi memastikan KLIA dibina dengan jayanya. Arkitek KLIA ialah Kisho Kurukawa, seorang arkitek berbangsa Jepun manakala Pengarah Projek KLIA adalah Tan Sri Jamilus Hussein dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Meskipun mendapat kritikan maha hebat dari Lim Kit Siang dan sekutunya (pembangkang ketika itu), Dr. Mahathir memekakkan telinga dan membutakan mata tidak mempedulikan kritikan pembangkang. Mahathir 'jalan terus' bagi memastikan KLIA menjadi kenyataan.

3. Kumpulan anti Mahathir dari dalam UMNO pula menggunakan isu KLIA sebagai isu kronisme tahap tertinggi yang menyaksikan pengambilan tanah-tanah di Sepang untuk dijadikan KLIA dikatakan milik kroni Mahathir di negeri Selangor. Namun Dr. Mahathir tidak pernah memandang ke belakang dan akhirnya KLIA siap untuk digunakan pada tahun 1998. Pagi 30 Jun 1998, pesawat Dr. Mahathir melakukan penerbangan pertama dari KLIA jam 7 pagi ke Langkawi.

4. Tentunya sebagai Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir tidak menggunakan laluan biasa. Beliau menggunakan bilik VIP dan terus ke pesawat. Keadaan semuanya terurus bagi seorang Perdana Menteri. Namun lain pula halnya bagi keadaan di luar. KLIA amat kelam kabut pada hari pertama beroperasi. 30 Jun 1998, sistem pengurusan penumpang di KLIA amat kelam kabut. Setelah mendaftar masuk, penumpang tidak tahu ke mana hendak dituju. Mahu ke pintu mana bagi menaiki pesawat. Sistem pengendalian bagasi juga mengalami masalah yang sama. Bagasi lewat dimasukkan ke pesawat menyebabkan berlaku kelewatan penerbangan. Penumpang juga berbaris panjang bagi sesuatu urusan di KLIA.

5. Utusan Malaysia ketika itu menggunakan tajuk muka hadapan "KLIA KELAM KABUT". Ketua Pengarang ketika itu ialah Datuk Johan Jaafar, seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka yang dikatakan dibawa masuk terus sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahathir teramat marah dengan penggunaan tajuk itu oleh Utusan. Peramal politik tidak dapat mengelak membuat spekulasi membuat andaian itu adalah agenda Anwar Ibrahim menyerang Dr. Mahathir. Hasilnya Johan Jaafar tersingkir dengan beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Pengarang Utusan.

6. Kini keadaan sama berulang. KLIA 'terusik' lagi, kali ini tentunya dengan kehebatan tular media sosial. Satu dunia menumpukan perhatian kepada Malaysia dibawah kerajaan Pakatan Harapan kerana kegagalan sistem di KLIA. Gambar info penerbangan yang menggunakan 'white board' dan tiket yang ditulis tangan menjadi tular ke seluruh dunia. Bahkan ada mengaitkannya secara sinis dengan 'Malaysia Baharu'. Keadaan kelam kabut dikatakan berlaku secara berterusan selama 3 hari. Terbaru, MAHB dikatakan menghadapi risiko sama lebih RM10 juta.

7. Kerajaan seolah-olah hilang punca menangani situasi ini. Kegagalan kerajaan dan pihak berkuasa menangani masalah ini dengan segera amat dikesali. Jika dahulu, tentunya kita akan melihat jaguh-jaguh DAP akan bangkit mendesak menteri bertanggungjawab meletak jawatan. Namun kini DAP yang bertanggungjawab di Kementerian Pengangkutan, suara jaguh-jaguh mereka tidak lagi kedengaran. Jika Menteri Pengangkutan Anthony Loke punya maruah, beliau seharusnya meletak jawatan kerana gagal menangani isu ini dengan serta serta telah memalukan Malaysia di seantero dunia.

8. Kini timbul pula isu sabotaj di KLIA. BPersoalannya, siapa yang mendalangi sabotaj ini? Di tengah kehangatan suhu politik tanahair, apakah ini sekali lagi serangan Anwar Ibrahim terhadap 'pet project' Dr. Mahathir? Adakah Anwar yang dilihat sangat mesra DAP menggunakan saluran DAP untuk menyerang kali ini? Dari sudut politik, ianya serba kemungkinan. Di saat kehangatan rombakan kabinet yang bakal berlaku, adakah isu KLIA ini satu tindakan bagi menyekat langkah yang akan dibuat boleh Dr. Mahathir?

9. Apa pun, isu KLIA kelam kabut ini telah berhasil mencemar nama baik Malaysia di mata dunia. KLIA yang dahulu dibina dengan wawasan menjadikannya 'hub' di rantau ini, mungkin mengambil masa yang lama sebelum namanya kembali pulih. Sesungguhnya amat payah untuk kita membina sesuatu, mungkin mengambil masa ratusan tahun. Akan tetapi untuk merosakkannya, amat mudah sekali. Kita boleh mengambil masa beberapa minit sahaja bagi menjahanamkan apa yang telah dibina sekian lama.....


 p/s : Ucapan setinggi tahniah kepada semua staf dan para sukarelawan yang bertungkus lumus membantu semasa insiden KLIA tempohari. Jasamu dikenang.

Friday 26 July 2019

AZMIN BAKAL KELUAR DARI PKR DAN MENGAPA MEMILIH PARTI GERAKAN? 

1. Pujangga berbicara "Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang". Ada juga lirik lagu popular "tanya sama pokok, apa sebab goyang, nanti jawab, angin yang goyang". Namun kini masyarakat lebih percaya kepada ungkapan "tiada angin pun pokok boleh bergoyang asal ada beruk-beruk yang bergayut". Maka itu, khabar Azmin Ali mahu keluar PKR dan memilih parti GERAKAN sebagai wadah baru, menyamai ungkapan-ungkapan diatas!

2. Semua sedia maklum keadaan terkini Azmin di dalam PKR. Jika mengikut perkiraan politik, amat wajar sekali Azmin segera meninggalkan PKR. Dengan krisis dalaman yang memuncak, kedudukan Azmin dalam PKR bagai telur di hujung tanduk. Anwar selaku Presiden yang berlagak baik, tentunya tidak akan memecat Azmin. Namun mengenali Anwar, beliau akan menggunakan orang lain dalam PKR untuk menyerang Azmin. Serangan dalaman besar-besaran tidak dapat dielakkan terhadap Azmin.

3. Kekal di dalam PKR bermakna Azmin akan tetap menjadi orang nombor dua dalam PKR bagi tempoh terdekat. Mahu bangkit menentang Anwar di dalam PKR, kekuatan Azmin masih belum utuh. Risiko kalah bakal menyebabkan imej Azmin merudum dan kecewa, walaupun mendapat pembelaan dari Tun Mahathir. Mahu kekal sebagai orang nombor dua parti, bakal menimbulkan kejanggalan mahu menjadi Perdana Menteri. Perdana Menteri secara tradisinya adalah seorang Presiden parti.

4. Demikianlah dilema yang dihadapi Azmin. Pilihan terbaik Azmin adalah keluar dari PKR dan menyertai sebuah parti lemah yang boleh dikawal. Penubuhan parti baru untuk Azmin bukan pilihan terbaik masa kini kerana banyak yang perlu dibangunkan. Menyertai PPBM juga bukan idea yang baik kerana dalam PPBM sendiri sudah wujud kelompok 'warlords' dan PPBM bakal berpecah dengan kemasukan Azmin. AMANAH dan DAP juga tentunya tidak mahukan Azmin kerana bimbang terpalit dengan kontroversi yang melanda Azmin.

5. Barangkali setelah mendapat nasihat dan panduan 'godfather' beliau, parti GERAKAN adalah percaturan terbaik Tun Mahathir dan Azmin. GERAKAN yang seperti melukut di tepi gantang, kelihatan akan mendapat nafas baru dalam politik Malaysia jika benar Azmin bakal menyertai parti itu. GERAKAN dipancing sebagai strategi serampang dua mata Tun Mahathir.

6. Pertamanya adalah untuk membolehkan GERAKAN menyertai komponen Pakatan Harapan apabila Azmin dan rakan-rakannya menyertai parti tersebut. Sekurang-kurangnya ahli dan aset parti GERAKAN boleh 'ditelan' bersama penyertaan parti tersebut ke dalam PH. Menara PGRM di Cheras bakal menjadi sebahagian dari koleksi harta PH. Sekaligus bilangan komponen PH akan bertambah. Kedua, GERAKAN akan menjadi pengimbang kepada kekuatan DAP di dalam PH. GERAKAN boleh menjadi pengimbang kekuatan 'cina' di dalam PH yang selama ini dikawal oleh DAP. Sepertimana parti berasaskan melayu berpecah, parti berasaskan cina juga bakal dipecahkan oleh Tun Mahathir demi kepentingan peribadi.

7. Walaupun kekuatan GERAKAN diragui, tentunya Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tidak selesa jika Tun Mahathir membawa Azmin dan Datuk Dr. Dominic Lau ke mesyuarat Majlis Presiden PH nanti jika benar perkara ini terjadi. GERAKAN tentunya akan berkembang menjadi lebih kuat sebelum PRU 15 dengan bimbingan Tun Mahathir dan Azmin. Inilah antara sebab mengapa GERAKAN yang sekarang ini dilihat lemah menjadi pilihan Tun Mahathir dan Azmin.

8. Jika ini berlaku, tentunya Tun Mahathir dan Azmin semakin mengukuhkan kedudukan mereka dalam PH dan Anwar akan kekal menjadi bakal Perdana Menteri yang semakin malap harapannya kerana Azmin bila-bila masa akan dikompromi untuk menjadi Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN). Manakala DAP pula akan semakin lemah cengkamannya ke atas PH dan Tun Mahathir.

9. Kerana itu pemilihan GERAKAN dalam isu ini bukanlah pemilihan biasa-biasa. Pemilihan GERAKAN adalah pemilihan yang penuh muslihat, strategi dan survival politik yang dicatur oleh Tun Mahathir demi kelangsungan kuasa dan kepentingan peribadi. Presiden GERAKAN juga telah mengaku mendapat 'signal' terdapat pertemuan wakil Azmin dengan tokoh dari GERAKAN. Jika rundingan berhasil, nampaknya Azmin bakal meninggalkan PKR dalam masa terdekat.

10. Drama semakin menarik. Apakah situasi PKR bakal menjadi, "menang jadi abu, kalah jadi arang"? Sama-sama kita tunggu langkah seterusnya dari dua orang bakal PM dari satu parti yang sama....

Thursday 18 July 2019

AL KISAH SEBINGKAI CERMIN USANG DAN PERAKAM VIDEO LAMA

Imej di dalam cermin adalah pantulan apa yang ada dihadapan cermin. Jika yang ada di hadapan cermin itu adalah diri kita, maka kita akan melihat imej kita di cermin tersebut. Tidak lebih dan tidak kurang. Kerana itu pesanan orang tua-tua, jika mahu melihat kecantikan sejati, lihatlah ke dalam cermin sewaktu baru bangun tidur. Bagi yang jujur dan mahu menerima kenyataan buruk baik wajah sendiri, mereka akan melihat ke dalam cermin di waktu ini (semasa baru bangun dari tidur). Bagi yang hipokrit dan penuh retorik, mereka akan bangun tanpa melihat cermin terlebih dahulu. Bangun tidur, mandi dan bersiap dengan segala tempekan kosmetik, barulah akan melihat cermin.

Di ketika ini, mereka akan tersenyum melihat imej di dalam cermin dan memuji (diri sendiri) walaupun tahu ianya penuh dilumuri kosmetik. Begitulah realiti kehidupan, kita sendiri yang mencorakkan penampilan kita. Tanpa segan silu manusia boleh mengata dan memerli orang lain walaupun diri sebenarnya amat kotor dan hanya dilindungi kosmetik yang ditempek berinci-inci.

Manakala imej yang di rekodkan di dalam video adalah cerminan perilaku tertangguh yang boleh disimpan selagi mana manusia mahu ianya disimpan. Sedikit kelainan di hadapan kamera video, manusia boleh menangguhkan ekspresinya. Jika sedang gembira, di saat mahu dirakam, manusia boleh segera berubah menjadi sedih lalu menangis. Selesai rakaman, boleh segera kembali ketawa. 

Itu jika rakaman dibuat dalam keadaan sedar. Jika rakaman dibuat secara rahsia, ia sama seperti cermin. Rakaman adalah imej diri manusia yang sebenar. Perilaku dan ekspresi rakaman secara rahsia merupakan gambaran sebenar kejadian. Namun manusia boleh saja mengaku atau bersifat hipokrit menafikan jika imejnya berjaya dirakam samada secara rahsia atau terbuka. Imej di dalam cermin dan rakaman video adalah realiti kehidupan. Apa yang ada di dalam cermin dan rakaman secara terbuka atau rahsia, itulah diri manusia dalam kehidupan sebenar. Pantulan imej di dalam cermin dan rakaman video bukanlah drama kehidupan. Ia adalah cerminan watak manusia di dalam kehidupan sebenar.

Selagi manusia tidak mahu melihat imej sendiri di dalam cermin atau rakaman video dengan jujur, selagi itulah manusia tidak nampak keburukan di dalam diri sendiri. Jika ada keburukan di dalam diri sendiri, manusia akan terus hidup dalam sindrom penafian. Yang ditonjolkan hanya imej baik tapi penuh kepalsuan. Kita adalah diri kita. Diri kita tiada duanya. Selagi dibuai mimpi kehebatan diri sendiri, selagi itulah imej sendiri di dalam cermin dan rakaman video kelihatan kabur.

Sepasang mata kita melihat imej sendiri dengan penuh kekaburan, berjuta pasang mata lain melihat imej kita dengan terang dan jelas. Moga kita semua dijauhi dari sifat yang begini...

Demikianlah cerita imej di dalam cermin dan rakaman video. Jika ada yang terkait dengan cerita cermin dan video ini, ianya hanya kebetulan. Kebetulan saya di kampung ketika ini dan terlihat cermin usang dan alat perakam video lama yang semakin dimakan hari menanti untuk dibuang.....

Tuesday 25 June 2019

TRAGEDI PASIR GUDANG BERULANG LAGI: DIMANA SUARA PEJUANG ALAM SEKITAR PH KHUSUSNYA DAP?

1. Tragedi pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang Mac lalu masih segar dalam ingatan. Situasi gawat ketika kejadian berlaku sepatutnya menginsafkan kita agar ianya tidak berulang. Kerajaan negeri dan persekutuan sepatutnya lebih agresif memantau pembuangan sisa toksik supaya keadaan orangramai di kawasan sekitar lebih selamat dan terjamin.

2. Lagi pula, YB Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari DAP telah berjanji memastikan tragedi ini tidak akan berulang. Kerajaan negeri juga membuat komitmen akan mengerahkan segala kekuatan agar kawasan Pasir Gudang selamat dari pencemaran sisa toksik. Kini, disebalik janji-janji tersebut, kawasan Pasir Gudang sekali lagi dilanda tragedi pencemaran sisa toksik. Beberapa buah sekolah telah pun ditutup akibat murid-murid mengalami sesak nafas yang serius.

3. Apakah janji-janji ini hanya tinggal janji? Adakah ini satu lagi episod 'janji dicapati' oleh kerajaan negeri dan persekutuan dari kerajaan Pakatan Harapan. Nyata kenyataan YB Yeo Bee Yin bahawa kawasan sekitar Pasir Gudang telah selamat hanyalah satu pembohongan. Kenyataan terdahulu dari Exco Kesihatan Johor, Dr. Sharudin Jamal (kini Menteri Besar Johor) yang akan memantau sepenuhnya keadaan di Pasir Gudang tidak lebih dari sekadar 'janji manis' yang amat berbahaya.

4. Kejadian terbaru ini adalah sama bahaya dengan tragedi Sungai Kim Kim dahulu. Kerana itulah Perdana Menteri menyifatkan kejadian yang berulang ini adalah sesuatu yang sangat bodoh. Tidak masuk akal bagaimana tragedi yang menggemparkan negara sehingga ada cadangan diisytiharkan darurat, boleh berulang kembali. Tentunya Perdana Menteri menghidu sesuatu yang tidak kena sehingga boleh mengeluarkan perkataan bodoh.

5. Adakah tragedi kali ini melibatkan sisa buangan toksik baru? Jika benar, siapa pula yang terlibat kali ini. Jika ia melibatkan sisa toksik yang lama, kenapa masih mengeluarkan gas sedangkan YB menteri telah menyatakan sisa telah terhapus semuanya dan kawasan sekitar dijamin selamat. Apa pula yang terjadi dengan peruntukan RM10 juta bagi membersihkan sisa toksik yang diberi Mac lalu? Jika berkaitan, SPRM perlu bertindak menyiasat hal ini.

6. Tragedi ini adalah isu yang amat serius kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa manusia. Namun kita amat hairan, ke mana hilangnya suara-suara garang aktivis alam sekitar terutamanya dari DAP. Jika isu Lynas yang belum terbukti kesannya kepada manusia, tragedi Pasir Gudang pula amat jelas buktinya. Pening kepala, mabuk, muntah, sesak nafas dan bermacam-macam kesan lagi keatas masyarakat Pasir Gudang, bukti apa lagi yang DAP mahukan?

7. Dimana suara Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang menjadi juara Lynas suatu ketika dahulu? Kini beliau mempunyai kedudukan yang lebih berpengaruh dan tentunya suara beliau akan lebih didengari jika beliau bersuara dalam tragedi Pasir Gudang yang terkini? Begitu juga Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Mereka adalah antara pejuang alam sekitar yang bangga berbaju hijau berdemo anti Lynas sedikit masa dulu. Kini masing-masing amat berpengaruh di dalam kerajaan PH. Gunalah pengaruh yang ada untuk menghentikan tragedi ini dari berulang lagi.

8. Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Fuziah Salleh dan Xavier Jayakumar dari PKR juga lantang memakai baju hijau menentang Lynas dahulu. Kini mereka semua berjawatan tinggi dalam kerajaan dan mampu bertindak menghalang tragedi ini.  Namun kini, jangankan tindakan, suara bantahan terhadap pencemaran alam sekitar tidak lagi kedengaran dari mereka. Yang kita dengar dari mereka sekarang adalah mahu menjadi Perdana Menteri atau mempertahankan bos mereka untuk jawatan Perdana Menteri.

9. Dahulu ketika tiada jawatan, sibuk mendesak pihak membuat itu dan ini. Siap mengemukakan formula atau tindakan yang boleh menyelesaikan masalah rakyat . Kini, setelah memegang tampuk kuasa dan memegang jawatan berkaitan, tidak pula mereka sibuk nak menyelesaikan masalah rakyat. Yang mereka sibukkan adalah mengenai jawatan dan menjaga tembolok sendiri. Rakyat yang menanggung masalah kian dilupakan...

Masih belum terlambat untuk kerajaan PH bertindak membendung perkara ini. Rakyat Pasir Gudang masih menanti tindakan konkrit dari kerajaan agar nasib mereka terbela dari terkena tempias 'air kotor' Pakatan Harapan...

Friday 21 June 2019

AKTA AMLA DAN SENARAI LUCUTHAK OLEH SPRM: KENAPA UMNO DAN TIDAK PAS?

1. Langkah kerajaan melalui SPRM memulakan prosiding lucuthak dan menuntut kembali sejumlah wang yang didakwa dari 1MDB tidak mengejutkan. Tindakan ini memang dijangka susulan beberapa akaun UMNO telah dibekukan konon untuk siasatan. Setelah beberapa ketika, tindakan susulan perlu diambil atau perintah pembekuan akaun terpaksa dibatalkan. Apabila pembekuan akaun dibatalkan, bermakna UMNO akan mendapat kembali wang tersebut. Tentunya ini tidak akan dibiarkan berlaku.

2. Persoalan pokok dalam isu ini, mengapa PAS yang disebut-sebut menerima RM90 juta dari UMNO (wang 1MDB), tiada dalam senarai SPRM? Perkara ini menarik perhatian banyak pihak. Ini berlaku di saat kerjasama UMNO-PAS menuju puncak dengan penerimaan kerjasama ini di Muktamar Agung PAS. Apakah ada tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan ini yang cuba memecah-belahkan proses kerjasama UMNO-PAS? Jika ada, tentunya pihak yang paling terkesan dari kerjasama ini ialah Pakatan Harapan.

3. PPBM tentunya akan terkesan kerana selama setahun lebih selepas PRU ke 14, dilihat gagal membela membela nasib melayu dan islam di bumi sendiri. PKR apatah lagi, dengan idea-idea liberal dalam isu islam dan melayu. PKR dilihat akan menjahanamkan melayu-islam jika terus disokong. DAP memang jauh sekali mahu membela nasib umat melayu islam di negara ini. Bahkan DAP dilihat sangat anti melayu-islam kerana sering mempertikaikan hak-hak melayu-islam di dalam negara.

4. DAP tetap berpegang dengan prinsip 'Malaysian Malaysia' yang dilihat mengganggu gugat hak-hak melayu-islam-bumiputera dalam negara serta tidak menepati kontrak sosial yang telah dipersetujui dahulu. Parti AMANAH pula dilihat tidak lebih dari parti pengampu DAP dan PPBM. Lebih teruk lagi, AMANAH dilihat menjadi 'alat DAP' dalam menjahanamkan dasar-dasar afirmatif yang melindungi hak-hak orang melayu-islam-bumiputera di dalam negara.

5. Oleh itu, umum melihat kerjasama UMNO-PAS adalah pilihan terbaik PRU akan datang untuk mengembalikan kuasa melayu-islam-bumiputera. Tentunya kerjasama ini adalah ancaman terbesar buat Pakatan Harapan untuk terus berkuasa selepas PRU ke 15 nanti. Maka itu, kerjasama UMNO-PAS perlu dihalang. Menghalangnya secara langsung akan mengakibatkan PH semakin jauh dari pengundi melayu-islam. Jalan terbaik adalah memecahkan kerjasama ini dari dalam. Maka diciptalah pelbagai isu dan kontroversi bagi menghilangkan tumpuan ahli dan mencipta prejudis dikalangan ahli UMNO dan PAS.

6. Bagi PH, kerjasama peringkat bawahan yang ditunjukkan oleh jentera UMNO dan PAS semasa PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau harus dipecahkan. Kerjasama dan perpaduan peringkat bawah dan pertengahan inilah yang mencipta kemenangan (pastinya dengan izin Allah). Sebatang pokok jika akar tunjang kuat, pokok akan tetap teguh biarpun sekuat mana ribut yang melanda. Akan tetapi jika tunjang pokok tidak kuat, pokok mudah tumbang dan kayu pokok yang tumbang pula akan digunakan untuk menumbangkan pokok yang lain.

7. Dalam menghadapi isu ini, ahli UMNO dan PAS perlu kekal fokus dengan gerak kerja perpaduan serta tidak hilang fokus. Isu lucuthak sengaja dicipta bagi menimbulkan prejudis antara ahli UMNO dan PAS. Jangan nanti ada yang bertanya "kenapa aku kena dan engkau tidak?". Cabaran kerjasama UMNO-PAS adalah untuk memahamkan ahli dan jentera pilihanraya. Cabaran ini berjaya dipecahkan dengan semangat ukhuwwah antara ahli serta kunjung mengunjung dalam suasana lebaran ini. Malahan ada jentera UMNO dan PAS menganjurkan majlis rumah terbuka secara bersama, sesuatu yang tidak pernah berlaku zaman dahulu. Gerak kerja peringkat ini adalah kunci kejayaan kerjasama UMNO-PAS.

8. Maka itu, istiqamahlah dengan kerjasama ini. Abaikanlah isu-isu busuk yang dicipta bagi menghancurkan kerjasama murni ini. Bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat....

Thursday 30 May 2019

SINARAN 'TENAGA' YANG SURAM DI AIDILFITRI 

Seantero Malaysia membicarakan perihal bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tiba-tiba melambung mutakhir ini. TNB amat dekat di hati rakyat kerana 100% bangunan di Semenanjung Malaysia menggunakan khidmat TNB sebagai pemberi perkhidmatan berbayar elektrik tunggal di dalam negara.

 Pelbagai pihak menyalahkan meter baru yang ‘pintar’ dipasang TNB bagi menggantikan meter digital lama. Datuk Seri Najib Tun Razak pula mendedahkan kerajaan PH telah memansuhkan subsidi penggunaan elektrik kepada pengguna. Malangnya sehingga kini, tiada respon dari kerajaan PH berkaitan dakwaan Datuk Seri Najib.

Menteri kerajaan PH yang bertanggungjawab tentang tenaga pula mendedahkan bil TNB melambung naik akibat sistem komputer syarikat tersebut yang gagal mengemaskini bacaan meter di rumah-rumah kediaman. Ini setelah ribuan aduan kepada Suruhanjaya Tenaga dibuat oleh pengguna yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan.

Rakyat sudah cukup menderita setelah setahun pemerintahan kerajaan PH. Harga barangan terus naik walaupun dijanjikan rakyat akan menikmati harga barang yang rendah jika PH diberi peluang menjadi kerajaan. Begitu juga harga petrol, rakyat masih menantikan harga petrol RM1.50 seperti yang pernah dijanjikan pemimpin PH.

Pengenalan kembali cukai jualan dan perkhidmatan (SST) memburukkan lagi keadaan. Pembelian aplikasi di dalam talian akan dikenakan SST selepas ini. Pastinya ramai yang akan terkesan nanti terutamanya anak-anak muda. Sudahlah masalah anak muda seperti bayaran balik PTPTN tidak dihapus seperti janji di dalam manifesto PH, malah pembayaran balik tetap dilaksanakan.

Nampaknya rakyat terus kempunan untuk menikmati tol percuma di musim perayaan tahun ini. Ramai yang akan pulang ke kampung dalam keadaan gembira namun kehairanan mengapa bayaran tol masih dikenakan sedangkan kerajaan PH berjanji akan menghapuskan bayaran tol (terutamanya jika pulang melalui tol Simpang Renggam seperti yang pernah diwar-warkan Dr. Maszlee Malik).

Di kampung-kampung rakyat terus menderita akibat kenaikan harga barang. Pendapatan pula menurun akibat penurunan harga komoditi. Ibu bapa dan saudara mara kita di FELDA tidak dapat menikmati bonus hari raya pada tahun ini. Menteri Ekonomi umumkan tiada duit raya untuk FELDA tahun ini. Perdana Menteri pula kata tidak tahu. Rakyat seperti menunggu buah yang tidak gugur, masih menaruh harapan walaupun sudah hendak raya minggu hadapan.

Mahu guna elektrik di kampung masa balik raya nantipun kena fikir banyak kali. Sudahlah bonus tidak dapat, harga sawit dan getah jatuh merudum. Bukan apa, tidak mahulah kita bebankan ibubapa di kampung yang menanggung bil elektrik selepas semua anak cucu pulang ke bandar. Selepas cuti raya, kita kena mengadap musim rumah terbuka pula. Mungkin topik paling hangat semasa kunjung mengunjung dan rumah terbuka nanti ialah kenaikan bil elektrik yang melampau.

Apapun, raya tetap raya. Raya setahun sekali.

Harga barang, harga minyak, bil elektrik pula naik berkali-kali setahun. Lepas ini sudah diumum tarif air pula akan dinaikkan. Terima kasih kerajaan Pakatan Harapan kerana terus membebankan rakyat pada musim perayaan ini….. 

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI !!….

Wednesday 22 May 2019

DAP VS MASZLEE: MENYERANG ADALAH PERTAHANAN YANG TERBAIK.

1. Serangan demi serangan oleh DAP kepada Menteri Pendidikan kerajaan PH yang mana DAP adalah sebahagian darinya. Belum pernah terjadi dalam sejarah negara, anggota kerajaan menyerang menteri kerajaan sebegini hebat. Itulah DAP, jika kehendaknya tidak dipenuhi maka terimalah 'buah tangan' dari DAP. DAP tidak pernah malu-malu untuk menyerang rakannya sendiri manakala rakan yang diserang pula malu-malu untuk mempertahankan diri sendiri. Sekutu PH yang lain juga malu-malu dengan DAP untuk mempertahankan Dr. Maszlee.

2. Dalam kemelut DAP-Maszlee, kerajaan Pakatan Harapan dilihat menggunakan kekuatan dari anggota perkhidmatan awam untuk mempertahankan YB Menteri Pendidikan. Anggota perkhidmatan awam, majoritinya Naib-naib Canselor IPTA telah mengeluarkan kenyataan mempertahankan program matrikulasi khusus untuk bumiputera sekaligus menyokong Dr. Maszlee. Malangnya Naib-naib Canselor ini telah menjadi sasaran serangan DAP hanya kerana tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh DAP dan sekutunya.

3. Prof Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM telah 'dibuli' oleh ahli-ahli DAPSY hingga mempertikaikan kelayakan akademik Prof. Dr. Asma. Adakah DAP 'garang' menyerang Prof. Dr. Asma kerana beliau wanita? Jika benar, dimana suara pejuang-pejuang wanita DAP seperti Teresa Kok, Hannah Yeo, Chong Eng? Mereka ini antara pemimpin besar DAP dan boleh menasihatkan ahli CEC DAP serta ahli DAPSY agar tidak membuli wanita. Naib-naib Canselor dan bekas Naib Canselor juga diserang DAP walaupun tidak sehebat serangan terhadap Prof. Dr. Asma hanya kerana mereka mengemukakan fakta mengenai program matrikulasi.

4. Turut menambah 'garam dan kicap' dalam serangan DAP terhadap Dr. Maszlee ialah MCA dan GERAKAN. Barangkali GERAKAN dan MCA mahu membuktikan kepada masyarakat cina mereka masih wujud walaupun suara mereka tidak sekeras DAP. Serangan MCA terhadap Dr. Maszlee dimanipulasi oleh DAP bahawa BN juga menyokong DAP dalam isu ini. Manakala serangan GERAKAN terhadap Maszlee pula dianggap ketidakpuasan hati bekas komponen BN yang selama ini ditekan semasa didalam BN. Sungguh cekap DAP memanipulasi situasi. Setiap peluang yang terbuka, akan gunakan untuk menyerang lawan mereka.

5. Menteri-menteri DAP yang hadir semasa mesyuarat kabinet memutuskan untuk meneruskan program matrikulasi bumiputera, diam seribu bahasa. Tidak kedengaran langsung suara Lim Guan Eng, Gobind Singh, Teresa Kok, Hannah Yeo dan lain-lain menyatakan mereka ada bersama ketika keputusan dibuat. Sepatutnya merekalah yang perlu tampil ke hadapan membela Dr. Maszlee kerana mereka tahu dan turut berbincang (dalam mesyuarat kabinet) mengapa program matrikulasi bumiputera perlu diteruskan. Menteri DAP jangan jadi 'talam dua muka' atau 'duri dalam daging' kepada kabinet yang telah bersetuju program matrikulasi bumiputera diteruskan.

6. Serangan habis-habisan DAP dan sekutu mereka dalam isu matrikulasi bumiputera menepati strategi "menyerang adalah pertahanan yang terbaik". DAP tahu jika mereka tidak 'menyerang' di dalam isu ini, akan wujud ruang untuk rakyat khususnya masyarakat cina menghadam jawapan-jawapan akademik beserta fakta yang dikemukakan dalam isu ini. Serangan DAP dalam isu ini adalah 'serangan terancang' bagi memastikan isu ini kekal relevan bagi mengekalkan sokongan kepada DAP. Berilah apa jua jawapan yang rasional dan berfakta kepada DAP, mereka tidak akan mempedulikannya. 

7. Yang penting mereka akan terus menyerang dan menyerang. Apa saja platfom yang ada, akan digunakan. Ahli-ahli CEC, ahli-ahli DAPSY, NGO pro DAP, portal-portal berita pro DAP , individu tertentu pro DAP dan lain-lain akan ditentukan untuk menyerang sesuai kehendak DAP. Selagi sasaran tidak dimusnahkan atau kehendak mereka belum tercapai, selagi itu mereka tidak akan berhenti. Inilah realiti yang sedang ditanggung oleh Dr. Maszlee dan kerajaan Pakatan Harapan.....


P/S: Tahniah buat penjawat awam terutama Naib-naib Canselor IPTA yang mempertahankan dasar kerajaan walaupun anda sering dimusuhi oleh kerajaan PH.....

Monday 20 May 2019

TIDAK PELIK MASZLEE DISERANG DAP, PERINGATAN TELAH DIBERI "LAMA DAHHH"

1. Sebelum PRU ke 14 ada yang telah mengingatkan bahawa DAP ini adalah jenis parti yang kuat 'gigit kawan'. PAS yang pernah bersekutu dengan DAP dalam Pakatan Rakyat telah disingkirkan hanya kerana tidak bersetuju dengan cara dan dasar DAP mengendalikan Pakatan Rakyat ketika itu. Selepas penyingkiran, PAS diserang bertalu-talu oleh DAP dan sekutunya konon PAS adalah sebuah parti yang keras kepala dan tidak boleh bertoleransi dengan DAP.

2. Namun sebenarnya, DAP lah parti yang keras kepala dan tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan mereka. Bagi DAP, apabila PAS atau parti sekutu mereka mahu berbuat sesuatu, ianya mesti mendapat izin DAP dalam mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan mereka. Namun apabila DAP mahu berbuat sesuatu yang melibatkan kepentingan mereka, DAP boleh membuat keputusan sendiri tanpa memerlukan mesyuarat pimpinan tertinggi.

3. Itulah DAP, "kepentingan aku adalah hak aku, kepentingan engkau juga adalah hak aku yang menentukan". Dari gabungan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan, DAP atau lebih tepat lagi Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng lah yang menentukan segala dasar-dasar dalam gabungan mereka. Parti-parti 'besar' pembangkang ketika itu seperti Semangat 46 dan PAS amat tidak selesa dengan DAP.

4. Sebagaimana dahulu, begitulah juga sekarang. Inilah hakikatnya dalam isu Menteri Pendidikan kerajaan Pakatan Harapan dicaci dan diprotes dengan hebat sekali oleh DAP. DAP tetap konsisten menyerang sesiapa sahaja yang cuba mendedahkan siapa mereka atau sesiapa yang cuba menggangu kepentingan mereka. Yang lebih penting lagi, DAP tidak memerlukan izin atau restu mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk memulakan serangan tersebut.

5. Wakil-wakil rakyat DAP secara terbuka menyerang Menteri Pendidikan. 25 dari 30 orang exco pemuda DAP (DAPSY) juga menyerang Menteri Pendidikan hanya kerana Menteri Pendidikan mempertahankan kuota Bumiputera bagi kemasukan ke pengajian matrikulasi Kementerian Pendidikan selain mengulas isu Bahasa Mandarin yang tidak wajar dijadikan syarat penerimaan kerja.

6. DAP menyerang Menteri Pendidikan secara berjemaah dan bertalu-talu. Dr. Maszlee nampaknya diam apabila disebut 'bodoh' oleh Teng Chan Kim. Lim Kit Siang pula berlagak suci. Hanya mengulas dan menafikan sebaran poster DAP mahu Maszlee meletak jawatan dan digantikan oleh Teo Nie Ching. Kit Siang tidak pula mengulas petisyen anjuran DAP yang mahukan PM segera menyingkirkan Maszlee sebagai anggota kabinet. Adakah Kit 'baling batu sembunyi tangan' dalam hal ini?

7. Sementara itu, rakan-rakan Maszlee dalam PPBM dan AMANAH hanya bersuara seperti dalam kelambu dalam mempertahankan Maszlee. Belum dengar lagi rakan-rakan Maszlee dari PKR terutamanya bakal PM mengaum mempertahankan Maszlee. Macai-macai PH pula sibuk mengumpul kekuatan dari luar PH bagi mempertahankan Maszlee. Kononnya sekaranglah masa untuk 'melayu' bersatu. Peliknya dalam dalam isu perpaduan melayu islam UMNO-PAS, tidak pula dianggap melayu bersatu, malah perpaduan UMNO-PAS pula dikata rasis dan punca perpecahan!

8. Peringatan telah diberikan dahulu, DAP tidak boleh dipercayai. Mengundi PH bermakna mengundi DAP. Gabungan PH adalah 'DAP led Pakatan', berbeza sekali dengan 'UMNO led BN'. Malangnya semua ini dipandang sinis, kononnya MCA dan DAP itu sama. Sekurang-kurangnya MCA dahulu menghormati perlembagaan dan warisan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V. Sambanthan. (Cuma sekarang ini barangkali MCA sudah terikut-ikut rentak DAP apabila UMNO tidak lagi berkuasa.)

9. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang pelik apabila DAP akan terus menyerang Dr. Maszlee. Percayalah, bukan Dr. Maszlee sahaja. Sesiapa sahaja yang menyanggah DAP atau tidak tunduk kepada DAP, tunggulah serangan agresif daripada DAP seperti yang berlaku sekarang. Kita sebagai melayu islam tidak punya pilihan selain menyokong Dr. Maszlee dalam hal ini. Namun bukan mahu memulangkan paku buah keras kepada macai PH, cuma sekadar peringatan yang boleh dijadikan pengajaran. Peringatan telah diberikan. Sila baca frasa ini dengan intonasi Perdana Menteri ke-4,

 'Lama dahhhh'........

Monday 6 May 2019

SETAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN: MAMPUKAH MAHATHIR TERUS BERTAHAN SEBAGAI PERDANA MENTERI - BAHAGIAN 1

1. Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir menghampiri usia setahun menjelang 10 Mei 2018 (Pilihanraya diadakan pada 9 Mei 2018). Menghadapi masalah seawal hari pertama selepas menang PRU ke 14, Tun Mahathir hanya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 7 pada 10 Mei 2018 jam 9.56 malam. 3 orang menteri kanan diumum pada 12 Mei 2018 manakala 10 orang lagi diumum pada 18 Mei 2018. Barisan kabinet penuh pula hanya diumum pada 2 Julai 2018.

2. Tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia pengumuman barisan menteri dan timbalan menteri dilakukan dua kali dengan skala yang besar. Difahamkan berlaku ketidakpuasan hati pemimpin PKR semasa pembentukan kabinet fasa 1 yang menyebabkan Tun Mahathir pergi berjumpa Anwar Ibrahim di hospital Kuala Lumpur (Anwar belum dibebaskan ketika itu). PKR dikatakan menuntut jawatan Menteri Kewangan. Mahathir pula 'terpaksa' melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

3. PKR adalah pemenang kerusi terbanyak dalam PH dengan 49 kerusi semasa PRU 14. Logo mereka juga digunakan PH ketika itu.  Namun PKR hanya diberi kerusi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi. Berbanding PPBM (12 kerusi), parti ini mendapat jawatan Perdana Menteri dan menteri kanan di KDN. AMANAH juga mendapat jawatan menteri kanan di MINDEF walaupun hanya menang 10 kerusi parlimen. DAP yang menang 42 kerusi parlimen telah mendapat jawatan di Kementerian Kewangan dan kementerian strategik iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

4. Ketidakpuasan hati PKR berterusan apabila pengumuman kabinet penuh yang menyaksikan pembahagian kerusi kabinet yang seimbang antara parti tanpa mengambil kira bilangan kerusi yang dimenangi sesebuah parti dalam PH. PKR menang 49 kerusi parlimen namun hanya mendapat 7 jawatan menteri termasuk TPM. PPBM hanya menang 12 kerusi tetapi mendapat 6 jawatan menteri termasuk jawatan PM. AMANAH pula mendapat 4 jawatan menteri walaupun hanya menang 10 kerusi. DAP pula mendapat 6 menteri dengan kemenangan 42 kerusi parlimen.

5. Setelah selesai pembentukan kabinet, bermulalah era 'mungkir janji' kerajaan Pakatan Harapan. Rakyat mula menuntut janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan. Ekonomi jatuh merudum. Harga komoditi juga menjunam. Harga barangan keperluan juga tidak turun seperti yang dijanjikan. Sebaliknya harga barangan terus menaik. Harga petrol juga tidak turun malahan harganya terpaksa diapungkan secara mingguan seperti zaman BN. Rakyat tertipu dengan janji penghapusan GST dan hanya menikmati 3 bulan fasa 'bebas cukai' sebelum kerajaan PH memperkenalkan cukai SST yang merangkumi 10% cukai jualan dan 6% cukai perkhidmatan. Jumlah kesemuanya adalah 16% berbanding GST 6% sahaja.

6. Walaupun ketidaksefahaman PKR dan Mahathir nampak selesai di atas permukaan, ianya bergelora dibawah. Bermula Ogos dan September, PKR menggunakan pemilihan dan Kongres Nasional mereka untuk menyerang Mahathir. Rafizi yang bertanding  jawatan Timbalan Presiden dijadikan taruhan mengetuai pasukan bagi menghentam Mahathir. Ahli Parlimen Kapar (Abdullah Sani) dan Setiawangsa (Nik Nazmi Ahmad) antara yang awal mendedahkan konon Mahathir dan Daim ada agenda mahu 'mengenakan' Anwar sekali lagi. Mereka menjelajah ke seluruh negara memburukkan Mahathir.

7. Rupa-rupanya ini adalah strategi Anwar mewujudkan situasi 'tidak selamat' bagi PKR. 'Mind-setting' yang cuba diterapkan kepada ahli PKR adalah Anwar perlu menjadi ahli parlimen bagi menjamin Mahathir mengotakan janjinya. Bagi Anwar pula, tindakan ini perlu sebagai persediaan sekiranya benar Mahathir mahu mungkir janji tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri, beliau boleh bertindak balas di parlimen. Ini juga langkah untuk meletakkan Anwar di landasan yang tepat dan segera ke arah jawatan Perdana Menteri.  

Bersambung ke bahagian 2...

SETAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN: MAMPUKAH MAHATHIR TERUS BERTAHAN SEBAGAI PERDANA MENTERI - BAHAGIAN 2

1. Sejurus setelah menang di Port Dickson, pertentangan Mahathir-Anwar semakin terserlah. Walaupun kedua-duanya menafikan dan berlagak keadaan seperti biasa, tindak tanduk masing-masing menggambarkan sebaliknya. Mahathir cuba menjadikan PPBM sebagai parti yang kuat dalam Pakatan Harapan. Sasaran utama Mahathir adalah ahli parlimen UMNO. Terkini PPBM memiliki 22 kerusi parlimen dan Mahathir mendapat sokongan rasmi UMNO dan PAS bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri ketika ini.

2. Anwar pula masih mencongak bilangan yang mencukupi bagi menggerakkan agendanya. Anwar dikatakan mendapat sokongan majoriti ahli parlimen DAP dan sebahagian dari PKR jika mahu 'melanggar' Mahathir. Jumlah ini masih belum cukup dan Anwar tahu beliau akan kecundang jika masih mahu melakukannya. Anwar umpama sang dubuk, menanti kesempatan terbaik mahu mencuri makanan hasil pemburuan sang singa. Kini harapan yang dikatakan semakin menipis bagi Anwar untuk melawan Mahathir, kembali terbuka.

3. Terkini, Tan Sri Muhyiddin Yasin secara terbuka muncul dengan menambah bilangan 'musuh politik' Mahathir di dalam negara. Ianya mengulangi era lama Mahathir ketika di dalam UMNO yang sering 'bergaduh' dengan timbalannya. Cuma kali ini Mahathir bergaduh dengan presiden parti beliau sendiri. Rombakan Exco Johor yang dibuat serta melanggar arahan Mahathir nyata amat mengecewakan beliau. Muhyiddin yang diharap menyokong Mahathir mengekalkan barisan Exco Johor, tidak berbuat demikian. Sebaliknya Muhyiddin menggunakan kesempatan ini mengukuhkan kedudukan beliau di Johor dengan mencadangkan nama dua orang kuat beliau sebagai anggota EXCO yang baru.

4. Hubungan yang sudah terluka ini agak susah untuk sembuh. Walaupun sembuh, parutnya tetap ada. Mengenali Mahathir, agak payah untuk Muhyiddin membetulkan keadaan. Hasil dari mesyuarat tersebut, dikatakan Mahathir mendapat sokongan padu majlis tertinggi PPBM. Hukuman pertama buat Muhyiddin telah dilaksanakan. Muhyiddin dibuang dari jawatan Pengerusi PPBM Johor. Calon yang disingkirkan sebagai Exco Johor telah menggantikan tempat Muhyiddin sebagai Pengerusi PPBM Johor. Ia segera diumum Mahathir walaupun akan berkuat kuasa hujung bulan Mei nanti. Muhyiddin juga dimalukan dengan pengumuman awal bakal Ketua Polis Negara oleh Mahathir walaupun ia adalah bidangkuasa Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri.

5. Bagi menjaga air muka, pilihan yang ada bagi Muhyiddin adalah terus kekal dalam PPBM sambil menyusun kekuatan dari dalam PPBM. Seperti Anwar, Muhyiddin mungkin menunggu masa yang sesuai untuk melawan Mahathir. Rintangan yang bakal dihadapi Muhyiddin mungkin sedikit berbeza dengan Anwar. Ini kerana Muhyiddin menganggotai parti yang sama dengan Mahathir. Segala urusan parti adalah dibawah Pengerusi PPBM walaupun Muhyiddin adalah Presiden PPBM. Pergerakan Muhyiddin agak terbatas namun peluangnya mungkin lebih baik kerana berpeluang berbuat sesuatu semasa pemilihan PPBM nanti.

6. Kini Mahathir dilihat akan berhadapan dengan lawan politik dari pasukannya sendiri iaitu Anwar dan Muhyiddin. Tidak dapat dipastikan sejauh manakah kerjasama Anwar-Muhyiddin bagi menjatuhkan Mahathir. Mungkin ada, mungkin juga tiada. Cuma sejarah pernah membuktikan Anwar dan Muhyiddin pernah bergabung dalam 'Team Wawasan' semasa pemilihan di dalam UMNO dulu. Untuk rekod, seorang lagi personaliti politik dalam 'team wawasan' yang kini menjadi musuh utama Mahathir ialah Datuk Seri Najib.

7. Dalam usia 94 tahun, adakah Mahathir masih mampu bertahan untuk memimpin? Dalam masa yang sama juga, mampukah Mahathir bertahan menghadapi musuh politik yang ramai dalam satu masa? Jangan lupa Mahathir adalah Perdana Menteri ketika ini dan ini adalah 'advantage' yang ada pada beliau dalam menghadapi lawan-lawan politik beliau.

 Bersambung ke bahagian 3.

SETAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN: MAMPUKAH MAHATHIR TERUS BERTAHAN SEBAGAI PERDANA MENTERI - BAHAGIAN 3 (AKHIR)

1. Sebagai Perdana Menteri, Mahathir mungkin boleh memerintah secara 'diktator' seperti beliau menjadi Perdana Menteri ke-4 dahulu (kenyataan ini hanya mengulangi dakwaan Lim Kit Siang sekian lama). Mahathir dikatakan menyalah guna agensi-agensi kerajaan bagi mengukuhkan kuasanya. Malahan Anwar juga pernah menuduh Mahathir menggunakan badan kehakiman, SPRM dan PDRM ketika beliau berhadapan tuduhan liwat dahulu. Mahathir menafikan dan akhirnya Anwar didapati bersalah oleh mahkamah. 

2. Jika benar seperti yang pernah dikatakan oleh Anwar dahulu, apakah kali ini Mahathir akan memastikan Ketua Hakim Negara dipilih dari kalangan orang pilihannya? Begitu juga dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Adakah Mahathir melantik orang kepercayaanya bagi memudahkan segala perancangan beliau? Anwar juga banyak kali mendakwa Mahathir dan PDRM terlibat dalam konspirasi menjatuhkan beliau dahulu. Jika benar begitu, apakah Mahathir akan melantik orang kepercayaan beliau sebagai Ketua Polis Negara bagi memudahkan segala urusan Mahathir bagi menghadapi lawan politiknya? Apakah Mahathir sekarang masih sama seperti Mahathir yang dahulu? 

3. Sebagai Pengerusi PPBM yang mendapat sokongan majoriti dari Majlis Tertinggi PPBM, banyak yang Mahathir boleh lakukan terhadap Muhyiddin. Mahathir pernah memanggil mesyuarat khas MT UMNO dan memecat Anwar semasa dalam UMNO. Tidak mustahil beliau mengulanginya terhadap Muhyiddin di dalam PPBM. Mahathir juga pernah menggunakan Muhyiddin untuk menjatuhkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Tidak mustahil Mahathir akan menggunakan Mazlan Bujang, Pengerusi PPBM Johor yang baru dilantik untuk menjatuhkan Muhyiddin di Johor dan Presiden PPBM. 

4. Dalam menghadapi serangan dalaman dari Anwar, Muhyiddin dan DAP, mampukah Mahathir bertahan dan berapa lama? Mengenali Mahathir, jika beliau kurang mampu untuk bertahan, beliau akan menukar 'padang permainan', sekaligus menjadikan permainan tersebut memberi kelebihan kepada beliau. Mungkin kerana itu Mahathir begitu teruja menerima keahlian ahli-ahli parlimen UMNO yang menyeberang ke PPBM. Mahathir sanggup 'u-turn' dalam soal ini serta langsung tidak memperdulikan bantahan-bantahan dari rakan sekutu Pakatan Harapan.

5. Mahathir juga dilihat sedang melemahkan PKR dari dalam dengan memberi peranan yang besar kepada Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR. Sewaktu Wan Azizah masih Presiden PKR, Azizah kelihatan seperti melukut di tepi gantang. Ada tidak menambah, tiada tidak mengurang. Sekarang pun mungkin begitu juga. Apabila Anwar menjadi Presiden PKR dan ahli parlimen, keadaan kekal begitu juga. Anwar hanya hebat dengan gelaran 'bakal' Perdana Menteri sahaja. Tidak diberi peranan langsung dalam kabinet Mahathir. 

6. Selepas ini mungkin kita boleh menyaksikan kedudukan Muhyiddin pula akan dilemahkan sedikit demi sedikit. Jika tujuan Mahathir memanggil mesyuarat tergempar selepas pengumuman barisan Exco Johor bagi mendapatkan sokongan, beliau telah berjaya melakukannya. Yang lebih penting, Mahathir berjaya melakukannya di hadapan Muhyiddin! Namun Muhyiddin dilihat tidak akan berdiam diri. Beliau boleh bertindakbalas dengan menjadikan Johor sebagai pangkalan hadapan untuk menyerang Mahathir. Ketua-ketua bahagian PPBM Johor adalah taruhan terbaik Muhyiddin melemahkan Mahathir di Johor. 

7. Jika benar Mahathir telah menguasai kerajaan, menguasai PPBM, berjaya melemahkan PKR dan sedang bermain tarik tali dengan DAP, apakah 'political game' yang seterusnya? Mampukah Mahathir terus bertahan dan menghabiskan penggal sebagai PM ke-7? Atas kertas, beliau punya kelebihan sebagai Perdana Menteri yang berkuasa. Beliau punya banyak pilihan mencorakkan politik Malaysia. 

8. Namun persoalan yang lebih menarik untuk kita nantikan, jika Mahathir dapat bertahan, apakah Pakatan Harapan juga akan bertahan? Dengan kemelut dalaman mereka yang semakin meruncing, sama-sama kita nantikan apakah episod lanjut dari drama ini...

Tuesday 16 April 2019

PRA PRK SANDAKAN: DAP PERLU BERI LALUAN PARTI WARISAN BERTANDING ATAS SEMANGAT MA63

1. Setelah BN menang bergaya di PRK Rantau, tumpuan kini terarah ke PRK Sandakan yang akan diadakan dalam masa terdekat. Hampir pasti DAP akan meletakkan calon mereka berdasarkan perkembangan semasa politik negara.

2. Parti WARISAN 'Sabah based' hanya mampu menyokong kenyataan 'abang besar' dalam Pakatan Harapan iaitu DAP yang akan bertanding di parlimen Sandakan nanti, kenyataan yang telah dibuat tanpa menunggu keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir.

3. Sepatutnya WARISAN sebagai parti tempatan diberi keutamaan menentukan calon PH di Sandakan, bukan DAP. DAP adalah parti 'persekutuan' dan tentunya bukan 'Sabah based'. Akan ada yang berhujah, walaupun DAP parti luar, calon mereka nanti adalah anak tempatan Sandakan.

4. Mengenali DAP, seseorang calon pilihanraya bagi DAP akan diputuskan oleh Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Jika bukan dari kelompok anak beranak Lim, sukar untuk mana-mana ahli DAP terpilih sebagai calon. Calon DAP juga mestilah seorang yang taat setia kepada anak beranak Lim.

5. Jika ini terjadi, wakil rakyat DAP Sandakan nanti akan berketuakan anak beranak Lim dari luar Sabah. Wakil rakyat DAP akan banyak menghabiskan masa membela kepentingan politik anak beranak Lim dari membela rakyat tempatan yang telah memilih mereka seperti yang berlaku kepada kebanyakan wakil rakyat DAP sekarang.

6. Kepercayaan masyarakat terhadap DAP kian terhakis. Banyak situasi, rakaman ceramah dan program membuktikan DAP adalah parti paling rasis di Malaysia. Sebahagian ahli DAP juga mula sedar dan menyalahkan anak beranak Lim kerana menyemai politik rasis dan kebencian. Kerana itu anak beranak Lim akan memastikan calon mereka bertanding di Sandakan menang bagi memulihkan sedikit imej mereka dan DAP di kalangan penyokong tegar DAP.

7. Sebagai parti yang mengetuai kerajaan negeri Sabah, amat wajar WARISAN diberi peluang mewakili PH pada PRK Sandakan. Ini lebih bermakna kerana sekiranya calon WARISAN diberi peluang bertanding dan menang, ianya akan memudahkan koordinasi di peringkat parti dan kerajaan di Sabah. Lagi pula, WARISAN wajar diberi 'pampasan' oleh PH kerana sedia berkorban menerima kemasukan parti PPBM ke Sabah walaupun dalam keadaan paksarela.

8. Apa pun, kita tengok sejauh mana DAP mahu berkorban dan menyerahkan kerusi Sandakan kepada WARISAN. Kita lihat juga sejauh mana keberanian pemimpin PH menyanggah kemahuan anak beranak Lim dan DAP yang sering bertindak mendahulukan kepentingan DAP dari kepentingan PH. Jika benar DAP ada semangat MA63 yang mahu membela kepentingan Sabah dan Sarawak, inilah masa DAP membuktikan dengan memberi laluan laluan kepada parti tempatan Sabah mewakili PH di Sandakan.

9. Untuk BN dan PAS, saya berpandangan tidak perlu terikut-ikut langkah DAP yang tetap mahu bertanding di Sandakan. BN dan PAS perlu masa 'bertenang' setelah berjuang dan menang bergaya di tiga PRK lalu. Tempoh bertenang boleh dimanfaatkan dengan berbincang dan merangka kerjasama yang lebih luas lagi bagi membina kejayaan cemerlang masa hadapan. Jika ada, BN dan PAS boleh memberikan sokongan kepada parti dan calon anak tempatan yang 'mesra' BN dan PAS bagi membuktikan BN dan PAS komited membantu Sabah dan Sarawak membina masa depa cemerlang di dalam negara Malaysia....

Friday 15 March 2019

BENCANA ALAM SEKITAR DI PASIR GUDANG: DI MANA BANTAHAN DAP SEPERTI ISU LYNAS?

 1. Setakat hari ini keadaan di Pasir Gudang masih kritikal. Jumlah rasmi mangsa yang terjejas akibat sisa toksik adalah seramai 2775 orang. Ini angka rasmi yang dikeluarkan. Belum termasuk jumlah mereka yang meninggalkan rumah di Pasir Gudang atau kawasan sekitar. Ini adalah bencana alam sekitar terburuk dalam sejarah negara. 114 buah sekolah terpaksa ditutup bagi mengelakkan kontroversi murid-murid sekolah terkesan dari sisa toksik.

2. Di saat satu negara mengecam pelaku atau syarikat yang membuang sisa toksik tersebut, aktivis alam sekitar DAP atau pro DAP diam menikus. Jika dahulu konon mereka begitu prihatin, sanggup berjalan kaki dari Bentong ke Kuala Lumpur sebagai bantahan pembukaan kilang Lynas di Bentong, kini aksi sebegitu sudah tiada lagi. Sudah matikah mereka? Atau sudah berpindah masuk ke dalam gua? Atau sudah terputus hubungan dengan dunia luar sehingga tidak mengetahui tragedi di Pasir Gudang ini?

3. Wong Tack, ahli parlimen DAP Bentong merupakan aktivis tegar anti Lynas. Beliau membantah pembangunan Lynas atas isu alam sekitar. Beliau juga pernah didakwa kerana berhimpun secara haram memperjuangkan alam sekitar. Namun kini suaranya tidak kedengaran langsung dalam isu alam sekitar di Pasir Gudang. Apakah kerana sudah berjaya memanipulasi isu Lynas di Bentong dan menang kerusi tersebut, Pasir Gudang tidak membawa sebarang makna lagi bagi Wong Tack?

4. Atau ini memang perangai buruk DAP turun temurun? Ada isu yang mereka boleh 'spin' yang membawa keuntungan politik, mereka akan berbuat demikian semaksima mungkin. Jika tidak, mereka tidak peduli langsung. Atau mereka malu-malu untuk menyatakan bantahan di Pasir Gudang kerana ianya melibatkan sekutu mereka? Supremo DAP Lim Kit Siang yang kawasan Parlimennya (Iskandar Puteri) berhampiran dengan Pasir Gudang pun turut membisu.

5. Lim Kit Siang yang diiktiraf sebagai Menteri Hal Ehwal Najib (MENHEN) tidak memberi komen dalam isu pencemaran alam sekitar yang melanda Pasir Gudang. Mungkin Kit Siang sedang mencari jalan bagaimana mahu melibatkan Najib dalam isu Pasir Gudang, barulah beliau akan bersuara? Atau mungkin isu yang amat besar melibatkan rakyat tidak mendapat tempat di hati Lim Kit Siang? Maklum saja beliau kini adalah bapa kepada Menteri Kewangan Malaysia yang sibuk 'menjaga' kewangan negara.

6. Menteri Alam Sekitar DAP yang bertanggungjawab dalam isu di Pasir Gudang terpaksa memendekkan cuti 'honey moon' kerana insiden ini. Yeo Bee Yin yang baru melangsungkan perkahwinan dengan anak jutawan syarikat IOI dengan 'gah' memberitahu tiga wakil dari syarikat yang membuang sisa toksik secara haram itu akan didakwa. Malangnya hingga hari ini pendakwaan masih gagal dibuat sedangkan insiden semakin memburuk.

7. Tiada waki DAP membahaskan usul darurat di Pasir Gudang yang dibawa oleh ahli parlimen Pasir Gudang. Perkara ini amatlah mengejutkan kerana umum mengetahui DAP adalah juara memelihara alam sekitar. Wong Tack mahupun Lim Kit Siang sepatutnya menjuarai isu alam sekitar di parlimen ketika mereka berkuasa melakukannya. Namun kelibat suara mereka tidak kedengaran. Kita mahu tahu pendirian DAP dalam isu pencemaran alam sekitar yang melanda Pasir Gudang.

8. Amat janggal sekali apabila DAP tidak bersuara dan membantah keras dalam isu Pasir Gudang. Apakah ada udang di sebalik mee? Rakyat Malaysia boleh menilai perjuangan dan keikhlasan DAP bermula dari insiden yang melanda Pasir Gudang ini...

Wednesday 6 March 2019

PRA PRK RANTAU : ISLAM BUKAN UNTUK DIJUAL, MELAYU BUKAN UNTUK DIGADAI.

1. Ikatan kerjasama secara rasmi UMNO-PAS telah menarik perhatian semua pihak di dalam negara. UMNO dan PAS telah menjelaskan ianya adalah kerjasama demi kekuatan dan kelangsungan ummah. Ia seharusnya khabar gembira buat semua rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan kedamaian.

2. Namun khabar ini disambut sinis oleh sesetengah pihak yang tidak senang dengan kerjasama UMNO-PAS. Muncul pelbagai analogi negatif dan kecaman terhadap usaha memperkasa kekuatan melayu-islam. Paling 'panas punggung' dengan kerjasama ini ialah parti rasis DAP. Lim Guan Eng secara terbuka mengatakan kerjasama ini adalah 'perang' terhadap golongan bukan melayu-islam di Malaysia. Ini adalah satu pengkhianatan terhadap negara  dari seorang menteri kerajaan yang konon memimpin parti 'demokratik' pelbagai kaum. Ia jelas menggambarkan pendirian DAP yang mahukan 'perang' walaupun Guan Eng telah membuat 'u-turn' berkaitan kenyataannya.

3. Walaupun UMNO dan PAS adalah parti politik, kerjasama ini melangkaui batas politik. Sebagai dua buah parti politik melayu-islam terbesar, kerjasama UMNO-PAS adalah benteng pertahanan umat islam yang kini dihina dan diasak teruk di era Pakatan Harapan. Tidak pernah terjadi dalam sejarah moden Malaysia, melayu-islam dihina dan diperlekeh sebegini rupa. Kenyataan menghina Allah, menghina Rasulullah, menghina Al Quran dibuat secara terbuka dan berleluasa di media-media sosial.

4. Bangsa Melayu juga tidak terlepas dari penghinaan oleh mereka yang yang tidak bertamadun ini. Melayu dihina, dicaci, diusir serta dihentam. Mereka yang menghina dan mencaci melayu-islam bertindak tanpa takut dan berleluasa. Seolah-olah melepaskan dendam kesumat yang terpendam sekian lama. Saya percaya ramai juga dari kalangan bukan melayu-islam yang tidak bersetuju dengan tindakan segelintir dari mereka. Namun jika ini tidak dibendung dengan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, ia bakal mengundang padah di masa hadapan.

5. Keadaan diburukkan lagi apabila muncul golongan melayu-islam yang seolah-olah mempertahankan penghinaan terhadap melayu-islam. Lihat sahaja apabila Nabi Muhammad dihina, muncul orang 'agama' yang mengatakan orang islam pun ada yang menghina Nabi Muhammad. Jika benar ada umat islam yang menghina islam, hukumlah mereka sesuai syariat islam. Jika ada bukan islam menghina Nabi Muhammad, maka hukumlah mereka juga sesuai dengan undang-undang. Inilah keadilan sebenarnya, bukannya membela perlakuan mereka yang salah.

6. Dua tokoh utama melayu dalam PH pula sangat 'fobia' dengan kerjasama UMNO-PAS. Kebimbangan mereka tentunya atas pertimbangan politik. UMNO-PAS tidak pernah bekerjasama sebaik sekarang di zaman PM ke-4. Mahathir telah lama 'menjual' islam demi kelangsungan politik peribadi. PAS digambarkan sebagai 'sesat' dan punca perpecahan. PAS juga menjadi mangsa kebobrokan Anwar semasa beliau di dalam UMNO. Anwar adalah senjata utama Mahathir menyerang PAS. Anwar juga 'menggadai' melayu demi meraih sokongan politik kepada beliau. Meneliti ucapan-ucapan Anwar semasa di dalam UMNO,  melayu UMNO lebih islamik dari melayu PAS! Kenyataan ini jelas memperbodoh masyarakat umum ketika itu.

7. Kini, apabila dua parti terbesar umat melayu-islam di Malaysia sanggup bermaafan dan melupakan kisah lalu lantas mahu bekerjasama, mengapa Mahathir dan Anwar yang menggelabah? Secara perbandingan, apa yang Mahathir tak kata kepada DAP? Jika mereka boleh bekerjasama dan bermaafan atas kepentingan politik, mengapa UMNO-PAS tidak boleh bermaafan dan bekerjasama atas kepentingan ummah? Mahathir juga pernah mengeji Anwar sebagai peliwat dan macam-macam kejian lagi. Anwar telah memaafkan Mahathir walaupun Mahathir jauh sekali memohon maaf kepada Anwar. Kini boleh pula Mahathir bekerjasama dengan peliwat atas tuntutan politik. Bukankah kerjasama politik UMNO-PAS atas tuntutan agama, bangsa dan tanahair ini lebih mulia dari kerjasama Mahathir-Anwar atas kepentingan peribadi?

8. Jelas masyarakat melayu-islam di Malaysia mendambakan kerjasama ini sebagai benteng pertahanan menyelamatkan agama, bangsa dan tanahair. Ramai yang mengalu-alukan kerjasama ini termasuk dari kalangan bukan melayu-islam. Ini kerana mereka tahu kepimpinan melayu-islam menjamin hak semua warganegara Malaysia berdasarkan perlembagaan, muafakat dan toleransi. Hanya Pakatan Harapan yang gerun dengan kerjasama UMNO-PAS ini. Ini adalah kerana pemimpin PH bertopengkan manusia prihatin, peduli rakyat, tidak korup sedangkan hakikatnya mereka menjual islam dan melayu demi kuasa untuk kepentingan peribadi.

Buat UMNO dan PAS,  teruskan usaha murni ini. Buktikan kita boleh bersatu dan bekerjasama dengan baik tanpa Mahathir dan Anwar. Jauh sekali memerlukan restu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk bekerjasama. Usah dilayan pimpinan Pakatan Harapan yang berkokok bak ayam jantan, riuh sekampung namun ekor bergelumang tahi.....

Monday 4 March 2019

PASCA PRK SEMENYIH : JANGAN PANIK, PPBM MASIH UTUH SERTA KUAT

1. Pasca PRK Semenyih membuktikan PPBM masih kuat serta teguh dalam politik tanahair. Biarpun tewas dengan majoriti 1914 undi, PPBM tetap unggul dalam Pakatan Harapan. Jawatan Perdana Menteri Malaysia masih dimiliki PPBM yang memenangi 12 kerusi parlimen pada PRU lalu. Terkini PPBM memiliki 22 kerusi parlimen, bilangan kerusi paling sedikit dalam PH namun yang paling berkuasa.

2. Komponen PH pun tiada yang menyalahkan PPBM atas kegagalan mereka mempertahankan kerusi yang menangi menangi semasa PRU 14. Jika adapun, mereka seperti malu-malu untuk bersuara. TPM Wan Azizah telah mengeluarkan kenyataan menyalahkan pentadbiran 60 tahun BN yang sukar diubah. Ini menunjukkan 'kecerdikan melampau' TPM yang tidak tercapai akal rakyat biasa untuk memikirkannya. 'Kanda' Mujahid pula mengatakan calon BN yang menang itu tidaklah hebat mana pun. Ini juga kenyataan 'bertaraf dunia' dari seorang menteri hebat berkelulusan PhD.

3. Lim Guan Eng pula mengeluarkan kenyataan mahu melihat wakil rakyat BN yang menang membawa pembangunan di Semenyih. Ini benar-benar menepati 'maqasid syariah' kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan di bawah pemerintahan PH. Ahli Parlimen Hulu Langat dari PAN yang menaungi DUN Semenyih barangkali boleh turut sama mengeluarkan kenyataan menyertai 'kecerdikan' sekutu PH yang lain.

4. Semasa kempen berlangsung, PH dan PPBM sangat kuat dan berkuasa. Mereka menjanjikan hospital, klinik, jalanraya, pembangunan dan boleh meluluskan peruntukan membaiki dewan (dibatalkan kemudiannya) dan bermacam janji lain. Selepas tamat PRK, PPBM dan PH tetap unggul, kuat dan berkuasa. Tiada tindakan dari pihak berkuasa walaupun pihak berkuasa sendiri mengatakan perlakuan PPBM dan PH ini menyalahi tatacara kempen dan boleh dikenakan tindakan. Kesalahan tatacara kempen PH dan DAP semasa PRK Cameron Highlands sehingga kini pun masih tiada tindakan. Ini membuktikan PH diterajui PPBM tetap berkuasa.

5. Mereka tidak peduli pun rungutan serta keluhan rakyat bawahan yang semakin terhimpit kehidupan mereka akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu. Keluhan rakyat tidak mereka pedulikan. Di saat rakyat menderita akibat kenaikan harga barang, keutamaan PPBM adalah kereta nasional ke-3, dan terkini, kereta terbang. Menteri Pembangunan Usahawan PPBM telah mengumumkannya. Di saat rakyat terbeban dengan kenaikan kos sara hidup, pejabat PM dari PPBM mengumumkan cadangan 'magic show' berkaitan tol. Tol tetap dikenakan, cuma tukar nama kepada caj kesesakan. Ini menunjukkan PPBM parti yang tetap utuh serta unggul menerajui pemerintahan negara.

6. Dari segi politik, PPBM berkuasa membuat apa yang mereka suka biarpun komponen PH yang lain malu-malu untuk menegur. 'Katak' dari UMNO diterima menyertai PPBM walaupun dibantah keras DAP dan PKR. PPBM tetap melebarkan sayapnya ke Sabah walaupun PKR dan WARISAN tidak bersetuju dengan tindakan PPBM. PPBM tetap 'bermain mata' dengan PAS biarpun DAP dan PKR separuh mati membantah permainan politik licik ketua PPBM ini. Ketua PPBM memekakkan telinga terhadap desakan PKR yang mahukan DS Anwar diberi tempat dalam kerajaan hari ini. Ini juga bukti betapa kuatnya PPBM sebagai sebuah parti politik.

7. Oleh itu, siapa saja yang mengatakan PPBM tidak kuat dan ketandusan pemimpin, mereka mungkin silap. Anak Ketua PPBM yang kini Timbalan Presiden PPBM bila-bila masa bersedia mengambil alih tampuk kepimpinan PPBM. Tambahan pula Presiden PPBM sebagai Pengarah PRK Semenyih gagal mengekalkan kerusi yang telah mereka menangi dahulu. Presiden PPBM juga dikatakan mempunyai masalah kesihatan. Tentunya, PPBM akan bertambah kukuh serta kuat setelah anak dan bapa menerajui parti tersebut.

8. Tentunya PPBM akan terus bertambah kukuh serta kuat jika anak Perdana Menteri diberi laluan mudah sebagai Perdana Menteri menggantikan 'bakal' Perdana Menteri paling lama dalam sejarah Malaysia. Jika ini berlaku, maka PPBM adalah parti yang paling utuh, jitu serta terkuat dalam sejarah Malaysia. Bolehlah mana-mana ahli parlimen dari kerajaan atau pembangkang yang berhasrat menjadi 'katak', menyertai parti yang paling kuat ini....

Thursday 21 February 2019

PRK SEMENYIH : KISAH DS NAJIB DAN KUNG FU PANDA

1. Saya amat tertarik mengulas mengenai filem animasi Kung Fu Panda 2 yang ditonton bersama keluarga hujung minggu lepas. Sebuah naratif watak antagonis 'Shen', seekor burung merak yang punya cita-cita besar hingga lupa nilai-nilai positif dalam hidupnya. Sanggup membunuh untuk berkuasa dan memenjarakan saingannya untuk terus berkuasa. Namun cita-citanya tidak kesampaian lalu mati akibat dendam amarahnya yang terlalu tinggi hinggakan tidak lagi boleh berfikir secara rasional.

2. Dialog menarik di penghujung cerita semasa pertempuran terakhir di antara 'Shen' dan Pahlawan Naga 'Po' membuat saya terfikir ianya berkait rapat dengan kehidupan kita seharian. Shen bertanya kepada Po bagaimana Po beroleh ketenangan serta mampu bertarung dengan baik walaupun Po dibebani luka lama yang menyedihkan. Po mengatakan "parut akan sembuh". Shen yang dibebani perasaan amarah serta dendam terlampau tidak bersetuju lalu mengatakan "tidak, hanya luka yang akan sembuh tetapi parut tidak akan hilang". Shen menjawab "kita sendiri yang tentukan yang terbaik untuk diri kita".

3. Maksudnya, jika kita mahu, kita boleh sahaja memandang ke hadapan dan meneruskan kehidupan dengan positif tanpa menoleh ke belakang dan dibebani masalah silam. Kita juga boleh teruskan kehidupan dengan dibebani dendam kesumat lantaran kehidupan silam yang tidak menepati kemahuan kita kita.

4. Dalam konteks ini, gerak kerja kempen Pakatan Harapan di PRK Semenyih menyamai cara kehidupan Shen di dalam cerita Kung Fu Panda 2. Penuh dendam kesumat serta tidak henti-henti menyerang Datuk Seri Najib. Tidak cukup dengan dasar-dasar Najib semasa menjadi Perdana Menteri, keluarga Najib juga menjadi sasaran dalam kempen penuh dendam PH. Datin Seri Rosmah Mansur 'diusik' dalam ceramah-ceramah PH. Nama Tun Razak juga tidak terlepas dari ungkitan mereka walaupun Tun Razak telah lama meninggal dunia. Manusia bernama Najib Razak terus-terusan menjadi cacian Pakatan Harapan. Hingga ada cubaan menghalang Najib melawat pasar pagi di Semenyih!

5. Begitu hebat dan banyak sekali kata-kata yang memperlekehkan 'tagline' bosku dari para pemimpin PH. Barangkali mereka terlupa menjual produk-produk dari PH sebagai bahan kempen mereka. Atau apakah PH tidak ada produk-produk baru yang boleh dijual sebagai bahan kempen bagi menarik pengundi? Mungkin produk 'salin kulit' atau tukar nama PH tidak mendapat sambutan dari orangramai.

6. Berbeza dengan Najib, beliau dilihat meneruskan kehidupan dengan tenang dan terus memandang ke hadapan. Walaupun PH menekan beliau dengan hebat dari semua segi, beliau dilihat tidak tertekan dan terkesan dari tindakan ini. Mungkin beliau tidak menzahirkan kerisauan beliau di khalayak ramai. Beliau juga tidak panik dan agresif menghasut rakyat turun ke jalanan bagi membela beliau. Beliau dilihat 'enjoy' dengan kehidupannya sekarang. Menaiki motosikal, makan di food court, busking di jalanan, berswafoto serta beramah mesra dengan segenap lapisan masyarakat. Segalanya dilakukan dengan penuh rasa teruja.

7. Dalam masa yang sama, Najib juga dilihat menerima kenyataan dan telah menjadi pembangkang yang berwibawa. Semua dasar-dasar kerajaan PH di ulas dengan fakta dan kritikan berhemah. Begitu juga dengan serangan terhadap dasar-dasar negara semasa beliau menjadi PM, dijawabnya dengan penuh tertib, berfakta serta berhemah. Najib telah menentukan arah mana beliau mahu berperanan sekarang. Beliau tenang meneruskan kehidupan dan dilihat tidak terbeban dengan masa silam walaupun PH tetap mengecam dan menghina beliau.

8. Dendam hanya menyemarakkan kemarahan dan kemarahan akan membinasakan. Itulah yang terjadi kepada PH sekarang. 'Luka' mereka telah bercantum dengan kemenangan di PRU 14, namun 'parut' yang ditinggalkan timbul besar di kulit mereka. Tiada cara mahu membuang parut tersebut. Kerana itulah mereka 'galak' melempiaskan dendam mereka dengan menghina, mengeji serta melekehkan Najib. Namun Najib dilihat tidak terkesan dengan perlakuan PH ini. Yang mana patut beliau ulas, beliau ulas dengan tertib. Yang mana patut beliau 'troll', beliau buat dengan tajam sekali. Yang mana patut beliau puji, beliau puji tanpa mengira fahaman politik. Yang penting 'enjoy' kehidupan kita dan senyum selalu.

Buat Datuk Seri Najib, "Ular menyusur akar takkan hilang bisanya"...

Monday 18 February 2019

PPBM KE SABAH, PENDEDAHAN SALAH LAKU HAKIM : SUATU 'KEBETULAN' YANG DIRANCANG

1. Franklin D Roosevelt telah lama menyebut tiada yang 'kebetulan' di dalam politik. "Jika itu berlaku, anda boleh bertaruh mengenainya", ujarnya lagi. Master Hoogway di dalam filem Kung Fu Panda juga menyebut perkara yang sama dalam konteks yang lebih luas. "There is no coincidence in life", ucapnya dalam filem tersebut. Begitu juga di Malaysia, pelbagai perkara berlaku di arena politik tanahair di bawah kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir mutakhir ini.

2. Mahathir memberi amaran akan bertukar parti jika ada komponen PH yang belot (dari beliau). Enam orang bekas ahli parlimen UMNO diterima masuk ke dalam PPBM. PKR dan DAP membantah kemasukan ini. Mahathir juga mengumumkan PPBM akan masuk ke Sabah. PKR Sabah melahirkan rasa terkejut dengan tindakan PPBM. Presiden WARISAN pula malu-malu untuk bersuara mengulas kemasukan PPBM ke Sabah. Kemudian keluar khabar angin dua orang menteri dari PKR menyertai PPBM. Ini dinafikan oleh PKR kemudiannya. DS Anwar Ibrahim pula hanya memikirkan mahu menjadi Perdana Menteri. Terbaru dalam wawancara, beliau menegaskan akan menjadi Perdana Menteri dalam masa dua tahun.

3. Tidak cukup dengan itu, muncul pula pendedahan kes salah laku hakim yang rasuah oleh YA Hakim Hamid Sultan. Nik Nazmi dari PKR telah membuat laporan polis mengenai perkara ini dan tentunya mengharap akan ada tindakan lanjut berkaitan aduannya. Mahathir pula secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan PAS tidak akan menyokong UMNO/BN di PRK Semenyih. PAS bertindak balas dengan mengeluarkan kenyataan menyokong Mahathir dalam bab kepentingan ummah dan islam serta mendukung konsep 'federalisma' demi pembangunan negara.

4. Semua yang berlaku ini bukan secara kebetulan. Ia seperti perancangan dari dari dua kumpulan politik yang berebut jawatan demi kelangsungan politik masing-masing. Ia adalah manifestasi dendam lantaran gabungan rapuh yang terbentuk demi agenda politik peribadi. Saya pernah menulis apabila Mahathir membuat keputusan mahu segera masuk ke Sabah, ia membawa maksud Mahathir mahukan bilangan yang cukup di parlimen tanpa tercicir satu kerusi pun. Mahathir juga mahukan kepastian dari PAS untuk menyokong beliau jika terjadi 'sesuatu' di parlimen. Pendirian PAS jelas menyokong Mahathir sekiranya 'sesuatu' terjadi di parlimen.

5. Mahathir tahu serangan ke atas beliau kini dilakukan secara terbuka. Bukan dari BN, tetapi dari PH sendiri! PKR dan DAP silih berganti menghentam Mahathir. Ambiga pula dengan berani mengatakan PPBM adalah UMNO 2.0 dan PPBM adalah parti Mahathir. Serangan yang lebih besar lagi adalah pendedahan salah laku hakim oleh YA Hakim Hamid Sultan semasa pemerintahan terdahulu. Ianya ditujukan kepada Mahathir. Ibarat pepatah membunuh dua ekor burung dengan seketul batu. Serangan nyata adalah kepada Najib tapi serangan halus yang sebenar adalah kepada Mahathir. Ini bagi membunuh 'karektor' Mahathir yang dilihat semakin merosot kerana cakap tidak serupa bikin.

6. Anwar Ibrahim pula mengatakan akan menjadi PM dalam masa dua tahun. Apakah ini kata dua Anwar kepada Mahathir? Berundur dengan sukarela atau banyak lagi skandal bakal didedahkan? Anwar dilihat masih 'main selamat' dalam setiap langkahnya dengan Mahathir. Kata-katanya masih lagi berlapik walaupun tidak senang dengan tindakan Mahathir membawa PPBM ke Sabah. PPBM bakal menjadi saingan kepada PKR di Sabah, bukan WARISAN. Kemasukan PPBM ke Sabah boleh 'membunuh' PKR yang lebih dahulu bertapak di Sabah. Sebagai parti 'malaya', PPBM dan PKR akan saling berebut pengaruh yang menyaksikan Shafie Afdal mungkin berpihak kepada PPBM ketika ini.

7. Sebagai ahli politik berpengalaman, Mahathir boleh menghidu gerakan bagi menjatuhkannya. Mengenali Mahathir, beliau tentunya lebih dari bersedia berhadapan cabaran kali ini. Tidak mudah untuk mengunci pergerakan politik Mahathir.

Sekali lagi, mari kita sediakan 'popcorn' bagi menonton drama yang belum nampak akan tamat ini....

Tuesday 12 February 2019

MAHATHIR KIAN MENCENGKAM, BIARKAN ANWAR 'BUNUH' DIRINYA SENDIRI

1. Tun Mahathir semakin mencengkam dalam politik negara. Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi pada 11 Febuari 2019 adalah untuk meluaskan kuasa Mahathir yang menjadi Perdana Menteri tanpa apa-apa potfolio sebagai menteri.  Bagi merasionalkan langkah taktikal Mahathir, Datuk A. Kadir Jasin mengeluarkan kenyataan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi kerana Mahathir tidak berpuashati dengan prestasi barisan kabinet beliau.

2. Terma rujukan atau bidang kuasa Majlis Tindakan Ekonomi ini tidak pula diumumkan. Jika ianya beroperasi seperti Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) sebelum ini (yang ditubuh sejurus PH menubuhkan kerajaan), majlis ini adalah sangat 'berkuasa'. Semua menteri dan kementerian hanya akan bertindak melalui arahan atau kelulusan majlis ini yang dipengerusikan oleh Mahathir sendiri.

3. Sudah dua kali Timbalan Perdana Menteri dan 'bakal Perdana Menteri' diketepikan apabila Mahathir mengumumkan penubuhan majlis yang sangat 'berkuasa'. Kali pertama, Wan Azizah dan Anwar tidak tersenarai sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan. Terkini, mereka berdua juga tidak tersenarai sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi. Sebaliknya saingan Anwar dan Azizah iaitu Azmin tersenarai kali ini. Turut tersenarai ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

4. Agak meragukan apabila orang nombor dua negara tidak tersenarai di dalam majlis yang sangat penting ini. Majlis ini melibatkan halatuju ekonomi dan pembangunan negara. Begitu juga dengan 'bakal PM'. Beliau menjelajah ke serata dunia kononnya membawa pelaburan untuk Malaysia, namun Mahathir tidak melibatkan 'bakal PM' di dalam majlis yang amat penting ini. Jika mengikut logik, alangkah ruginya Mahathir tidak menggunakan manusia 'anugerah tuhan' ini dan bekas Menteri Kewangan terbaik Asia.

5. Pada 12 Febuari 2019 pula, Mahathir menerima kemasukan 6 orang ahli parlimen ke dalam PPBM secara rasmi. Ini meningkatkan jumlah kerusi PPBM di parlimen sekaligus memperkukuhkan kedudukan Mahathir. Mahathir juga menyebut persefahaman antara PPBM dan WARISAN di Sabah bukanlah satu persefahaman yang tidak boleh diubah! Ini bermakna PPBM boleh dikembangkan di Sabah dan membayangkan Mahathir boleh mendapatkan ahli parlimen dari Sabah yang tidak selesa dengan Shafie Afdal tetapi 'mesra' PPBM dan Mahathir.

6. Apabila Mahathir telah membayangkan perkara ini, kemungkinan besar ianya bakal berlaku. Mahathir tidak peduli dengan WARISAN sebagaimana beliau tidak peduli dengan bantahan sekutu PH yang lain untuk tidak menerima bekas ahli parlimen UMNO ke dalam PPBM. Nanti 'penjilat' Mahathir akan mengatakan langkah ini akan menguatkan PH walaupun sebenarnya ia adalah langkah menguatkan Mahathir.

7. Jika ini berlaku, PH bakal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen, dengan kerusi PPBM bertambah di parlimen dengan penyertaan ahli parlimen ke dalam PPBM dari Sabah dan Sarawak. Ini sekaligus akan memperkukuh kedudukan Mahathir sebagai Pengerusi PH dengan jawatan Perdana Menteri. Manakala Anwar pula hanya kekal sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, Presiden PKR dan 'bakal Perdana Menteri' tanpa apa-apa jawatan dalam kerajaan.

8. Setakat hari ini, Mahathir terus dengan langkah taktikal beliau 'membunuh' pengaruh Anwar dalam Pakatan Harapan. Mahathir membiarkan sahaja Anwar mengelilingi dunia serta bertindak selaku 'bakal PM', namun tanpa apa-apa jawatan rasmi dalam kerajaan. Anwar akan terus berlegar-legar tanpa tujuan yang jelas. Mahathir pula akan terus membiarkan Anwar terbang setinggi-tingginya kerana Mahathir tahu Anwar akan penat terbang dan akan jatuh 'membunuh diri sendiri' setelah kepenatan terbang tanpa arah tujuan.

Sekali lagi, kita hanya perlu menyediakan 'popcorn' untuk menonton adegan drama ini selanjutnya.....

Sunday 10 February 2019

JANGAN SAMPAI MUKRIZ MAHATHIR TAK MENGAKU RAKYAT MALAYSIA LAGI

Penutup minggu kedua Febuari 2019 kita dihidangkan dengan adegan lawak 'kelulusan akademik' dari pemimpin kerajaan PH. Bagaikan siri sitkom di kaca TV, ianya seakan-akan bersiri dengan episod dan watak baru dari pemimpin PH.

Kali ini Setiausaha Agung PPBM merangkap Timbalan Menteri Luar mengambil tempat sebagai watak utama. Saya percaya ramai yang mengikuti komedi ini atau sekurang-kurangnya tahu kerana ia dikatakan 'trending' minggu ini. Bukan sahaja di dalam negara, bahkan di luar negara.

Media Singapura melapor berita kelulusan Setiausaha Agung PPBM merangkap Timbalan Menteri Luar ini. Agensi berita antarabangsa AFP juga melaporkannya. Hebat sungguh cerita 'komedi' yang dihidangkan PH kali ini. Susulan komedi yang ditimbulkan Setiausaha Agung PPBM ini, dua orang Menteri Besar dari PPBM turut terpalit dengan komedi yang sama.

Cerita kelulusan akademik Menteri Besar Perak ini adalah cerita lama. Akan tetapi, ianya tetap menghiburkan rakyat Malaysia. Cerita kelulusan akademik Menteri Besar Johor pula timbul seiring dengan cerita rakan beliau Setiausaha Agung PPBM. Beberapa pemimpin sekutu PH dari PKR, PAN dan DAP turut sama menerima tempias cerita komedi minggu ini.

Setiausaha Agung PPBM merangkap Timbalan Menteri Luar telah menjawab persoalan yang timbul. "Cambridge di Amerika, bukan Cambridge UK" jawab beliau lalu mengemukakan transkrip keputusan peperiksaan beliau. Namun ianya menambah lagi 'geli hati' rakyat Malaysia apabila perkara lain pula timbul.

Menteri Besar Perak menyerahkan kepada rakyat untuk menilai kelulusan akademik beliau samada tulin atau palsu. Menteri Besar Johor pula membuat 'silent comedy' dengan mengunci mulut beliau. Namun tetap lawak apabila UPM mengeluarkan kenyataan memerlukan tempoh yang agak lama untuk memeriksa kelulusan Perakaunan MB Johor dari UPM (seperti yang didakwa).

Menteri KPKT dari PKR mendakwa tidak pernah mengaku berkelulusan dari Universiti Kebangsaan Singapura. Sebaliknya menyalahkan pihak lain kerana tidak memeriksa dahulu dengan beliau sebelum mengeluarkan biodata beliau. Jadinya, apa kelulusan beliau?

Menteri Pertahanan memang 'gentleman'. Mengaku tiada kelulusan ijazah. 'Full stop'. Tiada lawak susulan apabila berterus terang. Manakala seorang ADUN DAP Tronoh berhempas pulas menjawap dakwaan ijazah MBA dari Universiti Akamai Amerika Syarikat tidak diiktiraf.

Memang minggu ini kita diwarnai dengan lawak 'kelulusan akademik'. Ditambah lagi lagi dengan jawapan-jawapan menyokong pelawak-pelawak tersebut terutamanya jawapan membela Setiausaha Agung PPBM. Malahan ada yang membandingkan kes Datuk Seri Marzuki Yahya ini dengan Mark Zuckenberg (pemilik Facebook). Memang cukup menghiburkan.

Jawapan ketua Marzuki Yahya dalam PPBM juga menghiburkan. Datuk Seri Mukriz Mahathir mengatakan Marzuki dilantik bukan berdasarkan kelulusan beliau. Saya kira ini jawapan yang benar-benar 'telus' dari Mukriz Mahathir. Dengan jawapan Mukriz, mungkin Marzuki dilantik sebagai Setiausaha Agung PPBM berdasarkan 'kesetiaan' beliau kepada Mukriz. Mungkin juga Marzuki dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar berdasarkan kefasihan bahasa Inggeris beliau dari Universiti Antarabangsa Cambridge Amerika Syarikat.

Cuma saya berharap kepada Marzuki Yahya jika beliau terus kekal sebagai Timbalan Menteri Luar dan Setiausaha Agung PPBM, janganlah memalukan Malaysia. Adegan pemimpin menipu kelulusan cukup memualkan. Biar tiada kelulusan, asal tidak menipu! Tambahan pula ianya begitu rancak dilaporkan media antarabangsa.

Bukan apa, saya cuma bimbang Datuk Seri Mukriz akan malu untuk mengaku beliau adalah rakyat Malaysia lagi selepas ini. Nanti di luar negara jika ada yang bertanya kepada Mukriz beliau dari negara mana, mungkin beliau akan menjawab beliau adalah dari India pula selepas ini....

Friday 8 February 2019

SYABAS TOK MAT HASAN. TS JOHAN JAAFAR BERTEMU BUKU DENGAN RUAS

1. Syabas Datuk Seri Mohamad Hasan kerana telah membuktikan beliau berada dalam kelas yang tersendiri semasa menjadi tetamu rancangan Bicara Minda di Sinar Harian semalam. Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden telah membuktikan beliau memang layak dan pilihan terbaik mengemudi UMNO ketika ini.

2. Bahasanya penuh madah dan kiasan. Penerangannya jelas. Sindiran beliau berlapik namun menusuk jiwa. Dialek 'nogori' DS Mohamad Hasan asyik didengar. Segala yang keluar dari mulut beliau semalam disusun rapi. Persoalan yang timbul dijawab dengan kemas. Tiada retorik, semuanya dijawab dengan ikhlas biarpun sesetengah jawapan itu agak pahit buat UMNO.

3. DS Mohamad Hasan sangat realistik serta tidak mempunyai sifat 'denial'. Sementara beliau mengakui segala kelemahan UMNO sehingga hilang kuasa pada PRU 14, beliau turut menggariskan banyak kekuatan dan kelebihan UMNO bagi menghadapi PRU 15. Menurut beliau, akar umbi adalah kekuatan utama UMNO.  Beliau juga positif tentang masa depan serta bersedia menghadapinya bersama UMNO.

4. DS Mohamad Hasan langsung tidak hipokrit apatah lagi apologetik apabila berbicara tentang kepentingan melayu dan bumiputera. UMNO akan tetap memperjuangkan kepentingan melayu/bumiputera, dan ini tidak boleh dianggap rasis. Namun dalam masa yang sama, hak kaum lain juga tetap dibela dan tidak diusik. Jelas pendirian UMNO tidak akan menukar matlamat perjuangan semata-mata mahu mendapatkan undi dan kuasa.

5. Dalam suasana yang santai dan bersahaja, DS Mohamad bijak mengawal suasana. Bagi saya, kali ini moderator Tan Sri Johan Jaafar bertemu buku dengan ruas. Soalan-soalan provokasi dari TS Johan ditepis dengan madah dan seloka oleh DS Mohamad Hasan. TS Johan dilihat 'cuba' memandu dan mengawal perbincangan dalam rancangan tersebut semalam.

6. Namun DS Mohamad Hasan bijak mengganggu tumpuan TS Johan dan akhirnya DS Mohamad yang dilihat mengawal perbincangan. Jawapan DS Mohamad Hasan yang sinikal, lucu, bidasan dan nasihat membuatkan TS Johan tergamam. DS Mohamad juga bijak 'memulangkan paku buah keras' terhadap soalan-soalan sinikal dari TS Johan yang membuatkan TS Johan tidak senang duduk.

7. Walau bagaimanapun, program tersebut lancar dan menepati objektif. Tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah memberi semangat dan menyedarkan masyarakat bahawa UMNO masih utuh dan bersedia untuk bangkit kembali. Tahniah juga kepada moderator Tan Sri Johan Jaafar yang profesional dan tenang walaupun disindir DS Mohamad Hasan beberapa kali dibatas pentas. Perbincangan yang menarik. Tahniah juga kepada Sinar Harian selaku penganjur.

8. Namun jika ada perkara yang memberi kesan kepada Pakatan Harapan tentang program ini, mungkin Lim Kit Siang akan bertanya kepada Setiausaha Politik beliau Syahrezan Johan, apakah bapanya akan menerima pelawaan DS Mohamad Hasan untuk bapanya menyertai UMNO...