Thursday 30 May 2019

SINARAN 'TENAGA' YANG SURAM DI AIDILFITRI 

Seantero Malaysia membicarakan perihal bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tiba-tiba melambung mutakhir ini. TNB amat dekat di hati rakyat kerana 100% bangunan di Semenanjung Malaysia menggunakan khidmat TNB sebagai pemberi perkhidmatan berbayar elektrik tunggal di dalam negara.

 Pelbagai pihak menyalahkan meter baru yang ‘pintar’ dipasang TNB bagi menggantikan meter digital lama. Datuk Seri Najib Tun Razak pula mendedahkan kerajaan PH telah memansuhkan subsidi penggunaan elektrik kepada pengguna. Malangnya sehingga kini, tiada respon dari kerajaan PH berkaitan dakwaan Datuk Seri Najib.

Menteri kerajaan PH yang bertanggungjawab tentang tenaga pula mendedahkan bil TNB melambung naik akibat sistem komputer syarikat tersebut yang gagal mengemaskini bacaan meter di rumah-rumah kediaman. Ini setelah ribuan aduan kepada Suruhanjaya Tenaga dibuat oleh pengguna yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan.

Rakyat sudah cukup menderita setelah setahun pemerintahan kerajaan PH. Harga barangan terus naik walaupun dijanjikan rakyat akan menikmati harga barang yang rendah jika PH diberi peluang menjadi kerajaan. Begitu juga harga petrol, rakyat masih menantikan harga petrol RM1.50 seperti yang pernah dijanjikan pemimpin PH.

Pengenalan kembali cukai jualan dan perkhidmatan (SST) memburukkan lagi keadaan. Pembelian aplikasi di dalam talian akan dikenakan SST selepas ini. Pastinya ramai yang akan terkesan nanti terutamanya anak-anak muda. Sudahlah masalah anak muda seperti bayaran balik PTPTN tidak dihapus seperti janji di dalam manifesto PH, malah pembayaran balik tetap dilaksanakan.

Nampaknya rakyat terus kempunan untuk menikmati tol percuma di musim perayaan tahun ini. Ramai yang akan pulang ke kampung dalam keadaan gembira namun kehairanan mengapa bayaran tol masih dikenakan sedangkan kerajaan PH berjanji akan menghapuskan bayaran tol (terutamanya jika pulang melalui tol Simpang Renggam seperti yang pernah diwar-warkan Dr. Maszlee Malik).

Di kampung-kampung rakyat terus menderita akibat kenaikan harga barang. Pendapatan pula menurun akibat penurunan harga komoditi. Ibu bapa dan saudara mara kita di FELDA tidak dapat menikmati bonus hari raya pada tahun ini. Menteri Ekonomi umumkan tiada duit raya untuk FELDA tahun ini. Perdana Menteri pula kata tidak tahu. Rakyat seperti menunggu buah yang tidak gugur, masih menaruh harapan walaupun sudah hendak raya minggu hadapan.

Mahu guna elektrik di kampung masa balik raya nantipun kena fikir banyak kali. Sudahlah bonus tidak dapat, harga sawit dan getah jatuh merudum. Bukan apa, tidak mahulah kita bebankan ibubapa di kampung yang menanggung bil elektrik selepas semua anak cucu pulang ke bandar. Selepas cuti raya, kita kena mengadap musim rumah terbuka pula. Mungkin topik paling hangat semasa kunjung mengunjung dan rumah terbuka nanti ialah kenaikan bil elektrik yang melampau.

Apapun, raya tetap raya. Raya setahun sekali.

Harga barang, harga minyak, bil elektrik pula naik berkali-kali setahun. Lepas ini sudah diumum tarif air pula akan dinaikkan. Terima kasih kerajaan Pakatan Harapan kerana terus membebankan rakyat pada musim perayaan ini….. 

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI !!….

Wednesday 22 May 2019

DAP VS MASZLEE: MENYERANG ADALAH PERTAHANAN YANG TERBAIK.

1. Serangan demi serangan oleh DAP kepada Menteri Pendidikan kerajaan PH yang mana DAP adalah sebahagian darinya. Belum pernah terjadi dalam sejarah negara, anggota kerajaan menyerang menteri kerajaan sebegini hebat. Itulah DAP, jika kehendaknya tidak dipenuhi maka terimalah 'buah tangan' dari DAP. DAP tidak pernah malu-malu untuk menyerang rakannya sendiri manakala rakan yang diserang pula malu-malu untuk mempertahankan diri sendiri. Sekutu PH yang lain juga malu-malu dengan DAP untuk mempertahankan Dr. Maszlee.

2. Dalam kemelut DAP-Maszlee, kerajaan Pakatan Harapan dilihat menggunakan kekuatan dari anggota perkhidmatan awam untuk mempertahankan YB Menteri Pendidikan. Anggota perkhidmatan awam, majoritinya Naib-naib Canselor IPTA telah mengeluarkan kenyataan mempertahankan program matrikulasi khusus untuk bumiputera sekaligus menyokong Dr. Maszlee. Malangnya Naib-naib Canselor ini telah menjadi sasaran serangan DAP hanya kerana tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh DAP dan sekutunya.

3. Prof Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM telah 'dibuli' oleh ahli-ahli DAPSY hingga mempertikaikan kelayakan akademik Prof. Dr. Asma. Adakah DAP 'garang' menyerang Prof. Dr. Asma kerana beliau wanita? Jika benar, dimana suara pejuang-pejuang wanita DAP seperti Teresa Kok, Hannah Yeo, Chong Eng? Mereka ini antara pemimpin besar DAP dan boleh menasihatkan ahli CEC DAP serta ahli DAPSY agar tidak membuli wanita. Naib-naib Canselor dan bekas Naib Canselor juga diserang DAP walaupun tidak sehebat serangan terhadap Prof. Dr. Asma hanya kerana mereka mengemukakan fakta mengenai program matrikulasi.

4. Turut menambah 'garam dan kicap' dalam serangan DAP terhadap Dr. Maszlee ialah MCA dan GERAKAN. Barangkali GERAKAN dan MCA mahu membuktikan kepada masyarakat cina mereka masih wujud walaupun suara mereka tidak sekeras DAP. Serangan MCA terhadap Dr. Maszlee dimanipulasi oleh DAP bahawa BN juga menyokong DAP dalam isu ini. Manakala serangan GERAKAN terhadap Maszlee pula dianggap ketidakpuasan hati bekas komponen BN yang selama ini ditekan semasa didalam BN. Sungguh cekap DAP memanipulasi situasi. Setiap peluang yang terbuka, akan gunakan untuk menyerang lawan mereka.

5. Menteri-menteri DAP yang hadir semasa mesyuarat kabinet memutuskan untuk meneruskan program matrikulasi bumiputera, diam seribu bahasa. Tidak kedengaran langsung suara Lim Guan Eng, Gobind Singh, Teresa Kok, Hannah Yeo dan lain-lain menyatakan mereka ada bersama ketika keputusan dibuat. Sepatutnya merekalah yang perlu tampil ke hadapan membela Dr. Maszlee kerana mereka tahu dan turut berbincang (dalam mesyuarat kabinet) mengapa program matrikulasi bumiputera perlu diteruskan. Menteri DAP jangan jadi 'talam dua muka' atau 'duri dalam daging' kepada kabinet yang telah bersetuju program matrikulasi bumiputera diteruskan.

6. Serangan habis-habisan DAP dan sekutu mereka dalam isu matrikulasi bumiputera menepati strategi "menyerang adalah pertahanan yang terbaik". DAP tahu jika mereka tidak 'menyerang' di dalam isu ini, akan wujud ruang untuk rakyat khususnya masyarakat cina menghadam jawapan-jawapan akademik beserta fakta yang dikemukakan dalam isu ini. Serangan DAP dalam isu ini adalah 'serangan terancang' bagi memastikan isu ini kekal relevan bagi mengekalkan sokongan kepada DAP. Berilah apa jua jawapan yang rasional dan berfakta kepada DAP, mereka tidak akan mempedulikannya. 

7. Yang penting mereka akan terus menyerang dan menyerang. Apa saja platfom yang ada, akan digunakan. Ahli-ahli CEC, ahli-ahli DAPSY, NGO pro DAP, portal-portal berita pro DAP , individu tertentu pro DAP dan lain-lain akan ditentukan untuk menyerang sesuai kehendak DAP. Selagi sasaran tidak dimusnahkan atau kehendak mereka belum tercapai, selagi itu mereka tidak akan berhenti. Inilah realiti yang sedang ditanggung oleh Dr. Maszlee dan kerajaan Pakatan Harapan.....


P/S: Tahniah buat penjawat awam terutama Naib-naib Canselor IPTA yang mempertahankan dasar kerajaan walaupun anda sering dimusuhi oleh kerajaan PH.....

Monday 20 May 2019

TIDAK PELIK MASZLEE DISERANG DAP, PERINGATAN TELAH DIBERI "LAMA DAHHH"

1. Sebelum PRU ke 14 ada yang telah mengingatkan bahawa DAP ini adalah jenis parti yang kuat 'gigit kawan'. PAS yang pernah bersekutu dengan DAP dalam Pakatan Rakyat telah disingkirkan hanya kerana tidak bersetuju dengan cara dan dasar DAP mengendalikan Pakatan Rakyat ketika itu. Selepas penyingkiran, PAS diserang bertalu-talu oleh DAP dan sekutunya konon PAS adalah sebuah parti yang keras kepala dan tidak boleh bertoleransi dengan DAP.

2. Namun sebenarnya, DAP lah parti yang keras kepala dan tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan mereka. Bagi DAP, apabila PAS atau parti sekutu mereka mahu berbuat sesuatu, ianya mesti mendapat izin DAP dalam mesyuarat pimpinan tertinggi pakatan mereka. Namun apabila DAP mahu berbuat sesuatu yang melibatkan kepentingan mereka, DAP boleh membuat keputusan sendiri tanpa memerlukan mesyuarat pimpinan tertinggi.

3. Itulah DAP, "kepentingan aku adalah hak aku, kepentingan engkau juga adalah hak aku yang menentukan". Dari gabungan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat hinggalah membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan, DAP atau lebih tepat lagi Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng lah yang menentukan segala dasar-dasar dalam gabungan mereka. Parti-parti 'besar' pembangkang ketika itu seperti Semangat 46 dan PAS amat tidak selesa dengan DAP.

4. Sebagaimana dahulu, begitulah juga sekarang. Inilah hakikatnya dalam isu Menteri Pendidikan kerajaan Pakatan Harapan dicaci dan diprotes dengan hebat sekali oleh DAP. DAP tetap konsisten menyerang sesiapa sahaja yang cuba mendedahkan siapa mereka atau sesiapa yang cuba menggangu kepentingan mereka. Yang lebih penting lagi, DAP tidak memerlukan izin atau restu mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk memulakan serangan tersebut.

5. Wakil-wakil rakyat DAP secara terbuka menyerang Menteri Pendidikan. 25 dari 30 orang exco pemuda DAP (DAPSY) juga menyerang Menteri Pendidikan hanya kerana Menteri Pendidikan mempertahankan kuota Bumiputera bagi kemasukan ke pengajian matrikulasi Kementerian Pendidikan selain mengulas isu Bahasa Mandarin yang tidak wajar dijadikan syarat penerimaan kerja.

6. DAP menyerang Menteri Pendidikan secara berjemaah dan bertalu-talu. Dr. Maszlee nampaknya diam apabila disebut 'bodoh' oleh Teng Chan Kim. Lim Kit Siang pula berlagak suci. Hanya mengulas dan menafikan sebaran poster DAP mahu Maszlee meletak jawatan dan digantikan oleh Teo Nie Ching. Kit Siang tidak pula mengulas petisyen anjuran DAP yang mahukan PM segera menyingkirkan Maszlee sebagai anggota kabinet. Adakah Kit 'baling batu sembunyi tangan' dalam hal ini?

7. Sementara itu, rakan-rakan Maszlee dalam PPBM dan AMANAH hanya bersuara seperti dalam kelambu dalam mempertahankan Maszlee. Belum dengar lagi rakan-rakan Maszlee dari PKR terutamanya bakal PM mengaum mempertahankan Maszlee. Macai-macai PH pula sibuk mengumpul kekuatan dari luar PH bagi mempertahankan Maszlee. Kononnya sekaranglah masa untuk 'melayu' bersatu. Peliknya dalam dalam isu perpaduan melayu islam UMNO-PAS, tidak pula dianggap melayu bersatu, malah perpaduan UMNO-PAS pula dikata rasis dan punca perpecahan!

8. Peringatan telah diberikan dahulu, DAP tidak boleh dipercayai. Mengundi PH bermakna mengundi DAP. Gabungan PH adalah 'DAP led Pakatan', berbeza sekali dengan 'UMNO led BN'. Malangnya semua ini dipandang sinis, kononnya MCA dan DAP itu sama. Sekurang-kurangnya MCA dahulu menghormati perlembagaan dan warisan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V. Sambanthan. (Cuma sekarang ini barangkali MCA sudah terikut-ikut rentak DAP apabila UMNO tidak lagi berkuasa.)

9. Oleh itu, bukanlah sesuatu yang pelik apabila DAP akan terus menyerang Dr. Maszlee. Percayalah, bukan Dr. Maszlee sahaja. Sesiapa sahaja yang menyanggah DAP atau tidak tunduk kepada DAP, tunggulah serangan agresif daripada DAP seperti yang berlaku sekarang. Kita sebagai melayu islam tidak punya pilihan selain menyokong Dr. Maszlee dalam hal ini. Namun bukan mahu memulangkan paku buah keras kepada macai PH, cuma sekadar peringatan yang boleh dijadikan pengajaran. Peringatan telah diberikan. Sila baca frasa ini dengan intonasi Perdana Menteri ke-4,

 'Lama dahhhh'........

Monday 6 May 2019

SETAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN: MAMPUKAH MAHATHIR TERUS BERTAHAN SEBAGAI PERDANA MENTERI - BAHAGIAN 1

1. Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir menghampiri usia setahun menjelang 10 Mei 2018 (Pilihanraya diadakan pada 9 Mei 2018). Menghadapi masalah seawal hari pertama selepas menang PRU ke 14, Tun Mahathir hanya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 7 pada 10 Mei 2018 jam 9.56 malam. 3 orang menteri kanan diumum pada 12 Mei 2018 manakala 10 orang lagi diumum pada 18 Mei 2018. Barisan kabinet penuh pula hanya diumum pada 2 Julai 2018.

2. Tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia pengumuman barisan menteri dan timbalan menteri dilakukan dua kali dengan skala yang besar. Difahamkan berlaku ketidakpuasan hati pemimpin PKR semasa pembentukan kabinet fasa 1 yang menyebabkan Tun Mahathir pergi berjumpa Anwar Ibrahim di hospital Kuala Lumpur (Anwar belum dibebaskan ketika itu). PKR dikatakan menuntut jawatan Menteri Kewangan. Mahathir pula 'terpaksa' melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

3. PKR adalah pemenang kerusi terbanyak dalam PH dengan 49 kerusi semasa PRU 14. Logo mereka juga digunakan PH ketika itu.  Namun PKR hanya diberi kerusi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi. Berbanding PPBM (12 kerusi), parti ini mendapat jawatan Perdana Menteri dan menteri kanan di KDN. AMANAH juga mendapat jawatan menteri kanan di MINDEF walaupun hanya menang 10 kerusi parlimen. DAP yang menang 42 kerusi parlimen telah mendapat jawatan di Kementerian Kewangan dan kementerian strategik iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

4. Ketidakpuasan hati PKR berterusan apabila pengumuman kabinet penuh yang menyaksikan pembahagian kerusi kabinet yang seimbang antara parti tanpa mengambil kira bilangan kerusi yang dimenangi sesebuah parti dalam PH. PKR menang 49 kerusi parlimen namun hanya mendapat 7 jawatan menteri termasuk TPM. PPBM hanya menang 12 kerusi tetapi mendapat 6 jawatan menteri termasuk jawatan PM. AMANAH pula mendapat 4 jawatan menteri walaupun hanya menang 10 kerusi. DAP pula mendapat 6 menteri dengan kemenangan 42 kerusi parlimen.

5. Setelah selesai pembentukan kabinet, bermulalah era 'mungkir janji' kerajaan Pakatan Harapan. Rakyat mula menuntut janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan. Ekonomi jatuh merudum. Harga komoditi juga menjunam. Harga barangan keperluan juga tidak turun seperti yang dijanjikan. Sebaliknya harga barangan terus menaik. Harga petrol juga tidak turun malahan harganya terpaksa diapungkan secara mingguan seperti zaman BN. Rakyat tertipu dengan janji penghapusan GST dan hanya menikmati 3 bulan fasa 'bebas cukai' sebelum kerajaan PH memperkenalkan cukai SST yang merangkumi 10% cukai jualan dan 6% cukai perkhidmatan. Jumlah kesemuanya adalah 16% berbanding GST 6% sahaja.

6. Walaupun ketidaksefahaman PKR dan Mahathir nampak selesai di atas permukaan, ianya bergelora dibawah. Bermula Ogos dan September, PKR menggunakan pemilihan dan Kongres Nasional mereka untuk menyerang Mahathir. Rafizi yang bertanding  jawatan Timbalan Presiden dijadikan taruhan mengetuai pasukan bagi menghentam Mahathir. Ahli Parlimen Kapar (Abdullah Sani) dan Setiawangsa (Nik Nazmi Ahmad) antara yang awal mendedahkan konon Mahathir dan Daim ada agenda mahu 'mengenakan' Anwar sekali lagi. Mereka menjelajah ke seluruh negara memburukkan Mahathir.

7. Rupa-rupanya ini adalah strategi Anwar mewujudkan situasi 'tidak selamat' bagi PKR. 'Mind-setting' yang cuba diterapkan kepada ahli PKR adalah Anwar perlu menjadi ahli parlimen bagi menjamin Mahathir mengotakan janjinya. Bagi Anwar pula, tindakan ini perlu sebagai persediaan sekiranya benar Mahathir mahu mungkir janji tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri, beliau boleh bertindak balas di parlimen. Ini juga langkah untuk meletakkan Anwar di landasan yang tepat dan segera ke arah jawatan Perdana Menteri.  

Bersambung ke bahagian 2...

SETAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN: MAMPUKAH MAHATHIR TERUS BERTAHAN SEBAGAI PERDANA MENTERI - BAHAGIAN 2

1. Sejurus setelah menang di Port Dickson, pertentangan Mahathir-Anwar semakin terserlah. Walaupun kedua-duanya menafikan dan berlagak keadaan seperti biasa, tindak tanduk masing-masing menggambarkan sebaliknya. Mahathir cuba menjadikan PPBM sebagai parti yang kuat dalam Pakatan Harapan. Sasaran utama Mahathir adalah ahli parlimen UMNO. Terkini PPBM memiliki 22 kerusi parlimen dan Mahathir mendapat sokongan rasmi UMNO dan PAS bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri ketika ini.

2. Anwar pula masih mencongak bilangan yang mencukupi bagi menggerakkan agendanya. Anwar dikatakan mendapat sokongan majoriti ahli parlimen DAP dan sebahagian dari PKR jika mahu 'melanggar' Mahathir. Jumlah ini masih belum cukup dan Anwar tahu beliau akan kecundang jika masih mahu melakukannya. Anwar umpama sang dubuk, menanti kesempatan terbaik mahu mencuri makanan hasil pemburuan sang singa. Kini harapan yang dikatakan semakin menipis bagi Anwar untuk melawan Mahathir, kembali terbuka.

3. Terkini, Tan Sri Muhyiddin Yasin secara terbuka muncul dengan menambah bilangan 'musuh politik' Mahathir di dalam negara. Ianya mengulangi era lama Mahathir ketika di dalam UMNO yang sering 'bergaduh' dengan timbalannya. Cuma kali ini Mahathir bergaduh dengan presiden parti beliau sendiri. Rombakan Exco Johor yang dibuat serta melanggar arahan Mahathir nyata amat mengecewakan beliau. Muhyiddin yang diharap menyokong Mahathir mengekalkan barisan Exco Johor, tidak berbuat demikian. Sebaliknya Muhyiddin menggunakan kesempatan ini mengukuhkan kedudukan beliau di Johor dengan mencadangkan nama dua orang kuat beliau sebagai anggota EXCO yang baru.

4. Hubungan yang sudah terluka ini agak susah untuk sembuh. Walaupun sembuh, parutnya tetap ada. Mengenali Mahathir, agak payah untuk Muhyiddin membetulkan keadaan. Hasil dari mesyuarat tersebut, dikatakan Mahathir mendapat sokongan padu majlis tertinggi PPBM. Hukuman pertama buat Muhyiddin telah dilaksanakan. Muhyiddin dibuang dari jawatan Pengerusi PPBM Johor. Calon yang disingkirkan sebagai Exco Johor telah menggantikan tempat Muhyiddin sebagai Pengerusi PPBM Johor. Ia segera diumum Mahathir walaupun akan berkuat kuasa hujung bulan Mei nanti. Muhyiddin juga dimalukan dengan pengumuman awal bakal Ketua Polis Negara oleh Mahathir walaupun ia adalah bidangkuasa Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri.

5. Bagi menjaga air muka, pilihan yang ada bagi Muhyiddin adalah terus kekal dalam PPBM sambil menyusun kekuatan dari dalam PPBM. Seperti Anwar, Muhyiddin mungkin menunggu masa yang sesuai untuk melawan Mahathir. Rintangan yang bakal dihadapi Muhyiddin mungkin sedikit berbeza dengan Anwar. Ini kerana Muhyiddin menganggotai parti yang sama dengan Mahathir. Segala urusan parti adalah dibawah Pengerusi PPBM walaupun Muhyiddin adalah Presiden PPBM. Pergerakan Muhyiddin agak terbatas namun peluangnya mungkin lebih baik kerana berpeluang berbuat sesuatu semasa pemilihan PPBM nanti.

6. Kini Mahathir dilihat akan berhadapan dengan lawan politik dari pasukannya sendiri iaitu Anwar dan Muhyiddin. Tidak dapat dipastikan sejauh manakah kerjasama Anwar-Muhyiddin bagi menjatuhkan Mahathir. Mungkin ada, mungkin juga tiada. Cuma sejarah pernah membuktikan Anwar dan Muhyiddin pernah bergabung dalam 'Team Wawasan' semasa pemilihan di dalam UMNO dulu. Untuk rekod, seorang lagi personaliti politik dalam 'team wawasan' yang kini menjadi musuh utama Mahathir ialah Datuk Seri Najib.

7. Dalam usia 94 tahun, adakah Mahathir masih mampu bertahan untuk memimpin? Dalam masa yang sama juga, mampukah Mahathir bertahan menghadapi musuh politik yang ramai dalam satu masa? Jangan lupa Mahathir adalah Perdana Menteri ketika ini dan ini adalah 'advantage' yang ada pada beliau dalam menghadapi lawan-lawan politik beliau.

 Bersambung ke bahagian 3.

SETAHUN KERAJAAN PAKATAN HARAPAN: MAMPUKAH MAHATHIR TERUS BERTAHAN SEBAGAI PERDANA MENTERI - BAHAGIAN 3 (AKHIR)

1. Sebagai Perdana Menteri, Mahathir mungkin boleh memerintah secara 'diktator' seperti beliau menjadi Perdana Menteri ke-4 dahulu (kenyataan ini hanya mengulangi dakwaan Lim Kit Siang sekian lama). Mahathir dikatakan menyalah guna agensi-agensi kerajaan bagi mengukuhkan kuasanya. Malahan Anwar juga pernah menuduh Mahathir menggunakan badan kehakiman, SPRM dan PDRM ketika beliau berhadapan tuduhan liwat dahulu. Mahathir menafikan dan akhirnya Anwar didapati bersalah oleh mahkamah. 

2. Jika benar seperti yang pernah dikatakan oleh Anwar dahulu, apakah kali ini Mahathir akan memastikan Ketua Hakim Negara dipilih dari kalangan orang pilihannya? Begitu juga dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Adakah Mahathir melantik orang kepercayaanya bagi memudahkan segala perancangan beliau? Anwar juga banyak kali mendakwa Mahathir dan PDRM terlibat dalam konspirasi menjatuhkan beliau dahulu. Jika benar begitu, apakah Mahathir akan melantik orang kepercayaan beliau sebagai Ketua Polis Negara bagi memudahkan segala urusan Mahathir bagi menghadapi lawan politiknya? Apakah Mahathir sekarang masih sama seperti Mahathir yang dahulu? 

3. Sebagai Pengerusi PPBM yang mendapat sokongan majoriti dari Majlis Tertinggi PPBM, banyak yang Mahathir boleh lakukan terhadap Muhyiddin. Mahathir pernah memanggil mesyuarat khas MT UMNO dan memecat Anwar semasa dalam UMNO. Tidak mustahil beliau mengulanginya terhadap Muhyiddin di dalam PPBM. Mahathir juga pernah menggunakan Muhyiddin untuk menjatuhkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Tidak mustahil Mahathir akan menggunakan Mazlan Bujang, Pengerusi PPBM Johor yang baru dilantik untuk menjatuhkan Muhyiddin di Johor dan Presiden PPBM. 

4. Dalam menghadapi serangan dalaman dari Anwar, Muhyiddin dan DAP, mampukah Mahathir bertahan dan berapa lama? Mengenali Mahathir, jika beliau kurang mampu untuk bertahan, beliau akan menukar 'padang permainan', sekaligus menjadikan permainan tersebut memberi kelebihan kepada beliau. Mungkin kerana itu Mahathir begitu teruja menerima keahlian ahli-ahli parlimen UMNO yang menyeberang ke PPBM. Mahathir sanggup 'u-turn' dalam soal ini serta langsung tidak memperdulikan bantahan-bantahan dari rakan sekutu Pakatan Harapan.

5. Mahathir juga dilihat sedang melemahkan PKR dari dalam dengan memberi peranan yang besar kepada Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR. Sewaktu Wan Azizah masih Presiden PKR, Azizah kelihatan seperti melukut di tepi gantang. Ada tidak menambah, tiada tidak mengurang. Sekarang pun mungkin begitu juga. Apabila Anwar menjadi Presiden PKR dan ahli parlimen, keadaan kekal begitu juga. Anwar hanya hebat dengan gelaran 'bakal' Perdana Menteri sahaja. Tidak diberi peranan langsung dalam kabinet Mahathir. 

6. Selepas ini mungkin kita boleh menyaksikan kedudukan Muhyiddin pula akan dilemahkan sedikit demi sedikit. Jika tujuan Mahathir memanggil mesyuarat tergempar selepas pengumuman barisan Exco Johor bagi mendapatkan sokongan, beliau telah berjaya melakukannya. Yang lebih penting, Mahathir berjaya melakukannya di hadapan Muhyiddin! Namun Muhyiddin dilihat tidak akan berdiam diri. Beliau boleh bertindakbalas dengan menjadikan Johor sebagai pangkalan hadapan untuk menyerang Mahathir. Ketua-ketua bahagian PPBM Johor adalah taruhan terbaik Muhyiddin melemahkan Mahathir di Johor. 

7. Jika benar Mahathir telah menguasai kerajaan, menguasai PPBM, berjaya melemahkan PKR dan sedang bermain tarik tali dengan DAP, apakah 'political game' yang seterusnya? Mampukah Mahathir terus bertahan dan menghabiskan penggal sebagai PM ke-7? Atas kertas, beliau punya kelebihan sebagai Perdana Menteri yang berkuasa. Beliau punya banyak pilihan mencorakkan politik Malaysia. 

8. Namun persoalan yang lebih menarik untuk kita nantikan, jika Mahathir dapat bertahan, apakah Pakatan Harapan juga akan bertahan? Dengan kemelut dalaman mereka yang semakin meruncing, sama-sama kita nantikan apakah episod lanjut dari drama ini...