Sunday 19 January 2020

BUJANG TIDAK SEMESTINYA JADI REBUTAN, YANG LAMA TETAP DI HATI


1. Tumpuan pastinya terarah kepada orang 'bujang'. Maklumlah, orang bujang tentu saja jadi rebutan kerana segala-galanya masih baru, tenaga juga masih baru serta wangi-wangian masih kuat baunya. Orang bujang juga kuat bergaya, sanggup berhabis mengenakan aksesori seluruh badan menonjolkan kehebatan mereka.

2. Manakala orang 'lama' pula bak cencaru makan petang. Tetap 'steady', tidak cepat melatah dan membiarkan saja orang bujang dengan lagak mereka yang angkuh. Diherdik, dicaci, dihina, orang lama tetap senyum. Orang lama tetap fokus memperbaiki diri, berubah demi kekal relevan di mata masyarakat. Namun akarnya tetap utuh dengan sejarah dan budaya nenek moyang dahulu.

3. Ibarat mahu mengurat gadis, sesetengah orang bujang amat gelojoh, tidak berpengalaman. Mereka hanya menumpukan perhatian mahu memiliki hati seseorang gadis sahaja. Sama juga dengan sesetengah gadis muda, tidak berfikir panjang. Mereka menyambut lamaran seseorang kerana dikaburi dengan janji-janji manis atau ditipu dengan aksesori wang ringgit yang banyak.

Hasilnya setelah sesuatu ikatan terjadi, barulah pecah tembelang sang 'bujang' tersebut. Janji tidak ditepati malah dikhianati. Janji mahu menyediakan rumah mewah, namun selepas gadis tersebut menjalinkan ikatan, rumah pun tiada. Si gadis pula yang terpaksa menanggung perbelanjaan mahu membina rumah. Bila bergaduh pula, segalanya diungkit. Janji tidak lagi menjadi paksi hubungan.

4. Namun bagi orang lama atau orang yang berpengalaman, perjalanan mengurat seorang gadis dibuat dengan berhati-hati. Mahu mendapatkan gadis, ibu dan bapa gadis tersebut disantuni dahulu. Setelah mendapat izin, barulah gadis tersebut diikat dengan janji suci, tidak perlu fitnah dan berbohong. Ikatan begini lebih bertahan lama dan diingati.

Kerana itu, orang lama lebih diingati. Bukan kerana mereka lebih tampan. Keikhlasan menyunting dan mendapatkan tetap jadi bualan. Setelah gadis disunting, 'orang lama' menjaganya dengan baik. Gaduh atau tercalar sedikit asam garam sesuatu hubungan. Masih ada ruang kembali ke pangkal jalan.

5. Kerana itu, yang lama akan tetap diingati dan dirindui. Seboleh mungkin, selamatkan hubungan. Jika sudah berpisah, masih ada waktu untuk kembali selagi tidak bertalak tiga. Berpisah dahulu pun kerana termakan fitnah, mahu cuba-cuba. Sekarang sudah terang lagi bersuluh, yang baru itu tidak semestinya bagus. 

'Bujang juga' tidak semestinya jadi rebutan, yang lama juga tetap di hati...

Thursday 16 January 2020

MALAYSIA KIAN PARAH, HIPOKRASI PH DI TAHAP TERTINGGI

1. Gegak gempita cubaan memadamkan apa yang didakwa sebagai api perkauman. Pelbagai alasan diberi merasionalkan sambutan perayaan kaum dirayakan bersama.
Terakhir, Menteri Perpaduan mendakwa telah ada keputusan kabinet perayaan berasaskan kebudayaan harus dirayakan bersama bagi memupuk perpaduan kononnya.
2. Merayakan sesuatu perayaan secara bersama tidaklah memupuk perpaduan. Tidak perlu memaksa seseorang atau sesuatu kaum merayakan perayaan kebudayaan kaum lain. Konon untuk memupuk perpaduan, sebaliknya tindakan ini hanya memecah belahkan masyarakat.
Sebenarnya tunjang utama perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia adalah kefahaman dan toleransi. Sesuatu yang telah terbina sekian lama di Malaysia tercinta ini.
3. Semenjak Merdeka, apa sahaja perayaan berkaitan agama dan kebudayaan bebas dirayakan di Malaysia. Sesuatu kaum amat sedar di mana kedudukan mereka dan tidak akan menyentuh sensitiviti kaum lain yang merayakannya.
Mereka hanya merayakannya di kalangan kelompok mereka dan tidak bersusah payah memaksa kaum lain merayakannya. Bagi yang merayakan, mereka juga sangat sensitif. Seboleh mungkin mereka akan merayakannya tanpa mengganggu kaum lain.
4. Saya ulangi, inilah nilai yang dipupuk sekian lama di Malaysia, saling menghormati, memahami serta bertoleransi. Tiada yang berani mempersoalkan peranan JAKIM, tiada yang berani mempersoalkan tabung atau tanah kuil. Bukan kerana masyarakat takut, tetapi sistem nilai (menghormati dan toleransi) yang diterapkan kepada masyarakat amat tebal dipraktikkan.
Namun kini, ia tidak lagi berlaku. Wujud ahli-ahli politik yang mahu menjadi hero sesuatu kaum serta menghina kaum lain dengan tidak berpandukan Perlembagaan. Wujud juga ahli politik yang membela pertubuhan rasis seperti Dong Zhong atas paksi agama.
5. Mereka ini warganegara Malaysia, akan tetapi kiblat mereka bukannya Malaysia. Mereka tidak mahu dikatakan sebagai pendatang namun dari sisi lain, mereka tetap memberi contoh negara asal seperti yang didakwa lebih baik dari Malaysia.
Bersongkok itu budaya Malaysia, namun ada yang lebih rela mengenakan budaya asal mereka di kepala hanya kerana tidak mahu dikatakan Melayu atau Islam. Jawi itu bahasa Malaysia, namun mereka membantah separuh mati hanya kerana takut masuk Islam. Mungkin juga kerana takut dipotong ‘anu’nya itu, sedangkan ia baik untuk kesihatan.
6. Beginilah hipokritnya mereka. Mereka menggariskan perayaan berasaskan kebudayaan perlu disambut bersama.
Namun apabila JAKIM mengeluarkan garis panduan antara perayaan agama dan perayaan kebudayaan, mereka melenting separuh mati. JAKIM pula dituduh pemecah perpaduan dan mahu JAKIM ditutup sedangkan JAKIM tidak melarang mereka merayakan perayaan mereka.
Apa yang berlaku, JAKIM hanya melarang umat Islam turut sama merayakan kerana dibimbangi akan terkeluar dari landasan Islam. Adakah salah menasihati umat sendiri agar berhati-hati?
7. Kerana itu sistem nilai negara ini tidak boleh diasaskan dengan nilai prejudis. Ahli-ahli politik ekstrem perlu disingkirkan dari sistem pentadbiran negara.
Kita perlu kembali kepada perpaduan yang berasaskan Perlembagaan seperti sekian lama. Ia terbukti semenjak Malaysia merdeka hingga kini.
Meruntuhkan sesuatu yang dibina sekian lama amatlah mudah. Perlukan beberapa saat sahaja, pasti hancur sekelip mata.
Namun untuk membinanya kembali, pasti mengambil masa yang lama.
Perpaduan dan toleransi yang kita ada telah sampai sejauh ini semenjak Merdeka.
8. Usah diulangi tragedi hitam perpaduan negara suatu ketika dahulu. Hanya kerana kita mendengar kata-kata ahli politik yang tidak siuman, segalanya hancur ketika itu.
Kini, tolaklah mereka yang ‘berselindung’ di balik topeng rakyat. Konon mahukan perpaduan, namun sebaliknya hanya menambahkan perpecahan….

Friday 3 January 2020

KRISIS PH : MENGAPA MASZLEE KORBAN PERTAMA?

Cubaan merasionalkan mengapa Dr. Maszlee Malik tersingkir sebagai Menteri Pendidikan kerajaan PH sangat memualkan. Ada yang mengatakan Dr. Maszlee ibarat lilin, membakar diri sendiri bagi menerangi pihak lain.
Dr. Maszlee sendiri dalam kenyataannya telah mengeluarkan ‘ayat baik-baik’ berkaitan peletakan jawatan beliau.
Adatnya begitulah, jika boleh, Dr. Maszlee akan berbuat sebaik mungkin agar semuanya kelihatan elok dengan peletakan jawatan beliau. Namun tidak selamanya PH mampu menyapu semua sampah mereka ke bawah karpet. Sampah PH semakin menggunung, menunggu masa meletup sahaja.
Sebenarnya antara sebab Maszlee tersingkir sebagai Menteri Pendidikan adalah kerana:
1. Dr. Maszlee bukanlah seorang ‘politician‘ dan tidak punya sokongan akar umbi yang kuat di dalam parti dan di kawasan. Beliau adalah pendatang baru yang terlalu mudah dinyahkan. Struktur PPBM di Simpang Renggam masih kacau-bilau.
Maszlee juga mempunyai hubungan yang biasa-biasa sahaja dengan masyarakat Simpang Renggam. Maka apabila Maszlee disingkirkan, tiada apa yang luar biasa akan berlaku di Simpang Renggam. Jika ada, mungkin sahaja nanti PM akan umum sedikit pembangunan di kawasan tersebut, selesailah masalah.
2. Dr. Maszlee dilihat cenderung kepada Anwar Ibrahim. Walaupun dari PPBM, Maszlee tidak sinonim dengan pemikiran Dr. Mahathir. Sebagai ‘orang dakwah’ tidak hairanlah mengapa Maszlee dilihat begitu.
Pemikirannya, kawan-kawan rapatnya, persekitarannya berada dalam lingkungan Anwar Ibrahim. Maszlee juga melantik Nurul Izzah sebagai Pengerusi TVET di Kementerian Pendidikan sebelum Izzah meletakkan jawatan.
3. Dr. Maszlee adalah liabiliti buat Pakatan Harapan. Misi utama yang perlu dibuat Dr. Maszlee apabila dilantik sebagai Menteri Pendidikan adalah merentasi sempadan politik. Sebagai orang ‘fresh‘, Maszlee adalah calon terbaik PH untuk meraih sokongan semua rakyat Malaysia melalui Kementerian Pendidikan. Malangnya, Maszlee sendiri yang bermain politik di situ.
Maszlee adalah rakyat Malaysia pertama dari PH yang menjawat jawatan Menteri Pendidikan merangkap Presiden UIA. Bila ditegur, beliau memberikan seribu satu alasan cuba mempertahankan jawatan di UIA.
Akhirnya setelah dipanggil mengadap Presiden PPBM, barulah beliau akur dan melepaskan jawatan di UIA. Maszlee juga bermain politik dengan pelantikan jawatan-jawatan utama IPTA dari kalangan kelompok beliau.
Kementerian Pendidikan yang sepatutnya menjadi kementerian ‘merentas sempadan’ fahaman politik bagi meningkatkan sokongan terhadap PH, telah menjadi sebaliknya. Kementerian Pendidikan kini menjadi tempat teratas mengapa rakyat Malaysia membenci PH.
4. Mempunyai seorang timbalan dari DAP, membuatkan Maszlee sering dalam dilema dan mungkin rasa rendah diri. Tentunya Maszlee agak murung apabila peruntukan yang diperolehi dari Kementerian Kewangan oleh timbalannya dari DAP jauh lebih tinggi dari yang beliau perolehi.
Bantuan kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan IPTS berorientasi masyarakat Cina dibuat tanpa memperdulikan kedudukan beliau sebagai Menteri Pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan boleh pula menjemput Menteri Kewangan bagi menyempurnakan penyampaian bantuan peruntukan Kementerian Pendidikan. Hal ini tentunya menggugat maruah dan kredibiliti Menteri Pendidikan.
5. Apapun, banyak lagi faktor mengapa Maszlee disingkirkan dari kabinet. Yang paling utama, dalam kerajaan sekarang, komponen kerajaan janganlah bergaduh dengan DAP. Pengajaran ini boleh kita ambil dari kisah penyingkiran Maszlee.
Tun Mahathir nampaknya lebih menyayangi DAP dari ahli parti sendiri. Tambahan pula jika ahli parti tersebut tidak langsung punya kekuatan di peringkat akar umbi.
Jika hal ini boleh terjadi kepada seorang ahli PPBM, ahli-ahli komponen PH dari parti yang berlainan perlulah mengambil iktibar. Ahli dan penyokong PH jangan menyesal, kerana anda sendiri yang telah memilih.
Tidak perlu melankolik dengan penyingkiran Dr. Maszlee. Beliau tentunya tahu menceburi bidang politik tentu punya risiko. Hal ini telah beliau ucapkan di UIA dengan menyatakan tujuan utama beliau masuk politik adalah kerana mahu menjatuhkan DS Najib.
Tentunya beliau tahu apabila beliau mahu menjatuhkan seseorang, akan ada orang lain pula yang akan menjatuhkan beliau. Dan kini beliau jatuh kerana kawan sendiri, bukan kerana musuh beliau.
Akhir kata, terima kasih buat Dr. Maszlee dan selamat maju jaya.
Syabas juga diucapkan kerana di hujung perkhidmatan saudara, saudara telah meninggalkan pesanan yang amat berguna kepada semua menteri PH iaitu “BACA”…