Thursday 21 February 2019

PRK SEMENYIH : KISAH DS NAJIB DAN KUNG FU PANDA

1. Saya amat tertarik mengulas mengenai filem animasi Kung Fu Panda 2 yang ditonton bersama keluarga hujung minggu lepas. Sebuah naratif watak antagonis 'Shen', seekor burung merak yang punya cita-cita besar hingga lupa nilai-nilai positif dalam hidupnya. Sanggup membunuh untuk berkuasa dan memenjarakan saingannya untuk terus berkuasa. Namun cita-citanya tidak kesampaian lalu mati akibat dendam amarahnya yang terlalu tinggi hinggakan tidak lagi boleh berfikir secara rasional.

2. Dialog menarik di penghujung cerita semasa pertempuran terakhir di antara 'Shen' dan Pahlawan Naga 'Po' membuat saya terfikir ianya berkait rapat dengan kehidupan kita seharian. Shen bertanya kepada Po bagaimana Po beroleh ketenangan serta mampu bertarung dengan baik walaupun Po dibebani luka lama yang menyedihkan. Po mengatakan "parut akan sembuh". Shen yang dibebani perasaan amarah serta dendam terlampau tidak bersetuju lalu mengatakan "tidak, hanya luka yang akan sembuh tetapi parut tidak akan hilang". Shen menjawab "kita sendiri yang tentukan yang terbaik untuk diri kita".

3. Maksudnya, jika kita mahu, kita boleh sahaja memandang ke hadapan dan meneruskan kehidupan dengan positif tanpa menoleh ke belakang dan dibebani masalah silam. Kita juga boleh teruskan kehidupan dengan dibebani dendam kesumat lantaran kehidupan silam yang tidak menepati kemahuan kita kita.

4. Dalam konteks ini, gerak kerja kempen Pakatan Harapan di PRK Semenyih menyamai cara kehidupan Shen di dalam cerita Kung Fu Panda 2. Penuh dendam kesumat serta tidak henti-henti menyerang Datuk Seri Najib. Tidak cukup dengan dasar-dasar Najib semasa menjadi Perdana Menteri, keluarga Najib juga menjadi sasaran dalam kempen penuh dendam PH. Datin Seri Rosmah Mansur 'diusik' dalam ceramah-ceramah PH. Nama Tun Razak juga tidak terlepas dari ungkitan mereka walaupun Tun Razak telah lama meninggal dunia. Manusia bernama Najib Razak terus-terusan menjadi cacian Pakatan Harapan. Hingga ada cubaan menghalang Najib melawat pasar pagi di Semenyih!

5. Begitu hebat dan banyak sekali kata-kata yang memperlekehkan 'tagline' bosku dari para pemimpin PH. Barangkali mereka terlupa menjual produk-produk dari PH sebagai bahan kempen mereka. Atau apakah PH tidak ada produk-produk baru yang boleh dijual sebagai bahan kempen bagi menarik pengundi? Mungkin produk 'salin kulit' atau tukar nama PH tidak mendapat sambutan dari orangramai.

6. Berbeza dengan Najib, beliau dilihat meneruskan kehidupan dengan tenang dan terus memandang ke hadapan. Walaupun PH menekan beliau dengan hebat dari semua segi, beliau dilihat tidak tertekan dan terkesan dari tindakan ini. Mungkin beliau tidak menzahirkan kerisauan beliau di khalayak ramai. Beliau juga tidak panik dan agresif menghasut rakyat turun ke jalanan bagi membela beliau. Beliau dilihat 'enjoy' dengan kehidupannya sekarang. Menaiki motosikal, makan di food court, busking di jalanan, berswafoto serta beramah mesra dengan segenap lapisan masyarakat. Segalanya dilakukan dengan penuh rasa teruja.

7. Dalam masa yang sama, Najib juga dilihat menerima kenyataan dan telah menjadi pembangkang yang berwibawa. Semua dasar-dasar kerajaan PH di ulas dengan fakta dan kritikan berhemah. Begitu juga dengan serangan terhadap dasar-dasar negara semasa beliau menjadi PM, dijawabnya dengan penuh tertib, berfakta serta berhemah. Najib telah menentukan arah mana beliau mahu berperanan sekarang. Beliau tenang meneruskan kehidupan dan dilihat tidak terbeban dengan masa silam walaupun PH tetap mengecam dan menghina beliau.

8. Dendam hanya menyemarakkan kemarahan dan kemarahan akan membinasakan. Itulah yang terjadi kepada PH sekarang. 'Luka' mereka telah bercantum dengan kemenangan di PRU 14, namun 'parut' yang ditinggalkan timbul besar di kulit mereka. Tiada cara mahu membuang parut tersebut. Kerana itulah mereka 'galak' melempiaskan dendam mereka dengan menghina, mengeji serta melekehkan Najib. Namun Najib dilihat tidak terkesan dengan perlakuan PH ini. Yang mana patut beliau ulas, beliau ulas dengan tertib. Yang mana patut beliau 'troll', beliau buat dengan tajam sekali. Yang mana patut beliau puji, beliau puji tanpa mengira fahaman politik. Yang penting 'enjoy' kehidupan kita dan senyum selalu.

Buat Datuk Seri Najib, "Ular menyusur akar takkan hilang bisanya"...

Monday 18 February 2019

PPBM KE SABAH, PENDEDAHAN SALAH LAKU HAKIM : SUATU 'KEBETULAN' YANG DIRANCANG

1. Franklin D Roosevelt telah lama menyebut tiada yang 'kebetulan' di dalam politik. "Jika itu berlaku, anda boleh bertaruh mengenainya", ujarnya lagi. Master Hoogway di dalam filem Kung Fu Panda juga menyebut perkara yang sama dalam konteks yang lebih luas. "There is no coincidence in life", ucapnya dalam filem tersebut. Begitu juga di Malaysia, pelbagai perkara berlaku di arena politik tanahair di bawah kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir mutakhir ini.

2. Mahathir memberi amaran akan bertukar parti jika ada komponen PH yang belot (dari beliau). Enam orang bekas ahli parlimen UMNO diterima masuk ke dalam PPBM. PKR dan DAP membantah kemasukan ini. Mahathir juga mengumumkan PPBM akan masuk ke Sabah. PKR Sabah melahirkan rasa terkejut dengan tindakan PPBM. Presiden WARISAN pula malu-malu untuk bersuara mengulas kemasukan PPBM ke Sabah. Kemudian keluar khabar angin dua orang menteri dari PKR menyertai PPBM. Ini dinafikan oleh PKR kemudiannya. DS Anwar Ibrahim pula hanya memikirkan mahu menjadi Perdana Menteri. Terbaru dalam wawancara, beliau menegaskan akan menjadi Perdana Menteri dalam masa dua tahun.

3. Tidak cukup dengan itu, muncul pula pendedahan kes salah laku hakim yang rasuah oleh YA Hakim Hamid Sultan. Nik Nazmi dari PKR telah membuat laporan polis mengenai perkara ini dan tentunya mengharap akan ada tindakan lanjut berkaitan aduannya. Mahathir pula secara tiba-tiba mengeluarkan kenyataan PAS tidak akan menyokong UMNO/BN di PRK Semenyih. PAS bertindak balas dengan mengeluarkan kenyataan menyokong Mahathir dalam bab kepentingan ummah dan islam serta mendukung konsep 'federalisma' demi pembangunan negara.

4. Semua yang berlaku ini bukan secara kebetulan. Ia seperti perancangan dari dari dua kumpulan politik yang berebut jawatan demi kelangsungan politik masing-masing. Ia adalah manifestasi dendam lantaran gabungan rapuh yang terbentuk demi agenda politik peribadi. Saya pernah menulis apabila Mahathir membuat keputusan mahu segera masuk ke Sabah, ia membawa maksud Mahathir mahukan bilangan yang cukup di parlimen tanpa tercicir satu kerusi pun. Mahathir juga mahukan kepastian dari PAS untuk menyokong beliau jika terjadi 'sesuatu' di parlimen. Pendirian PAS jelas menyokong Mahathir sekiranya 'sesuatu' terjadi di parlimen.

5. Mahathir tahu serangan ke atas beliau kini dilakukan secara terbuka. Bukan dari BN, tetapi dari PH sendiri! PKR dan DAP silih berganti menghentam Mahathir. Ambiga pula dengan berani mengatakan PPBM adalah UMNO 2.0 dan PPBM adalah parti Mahathir. Serangan yang lebih besar lagi adalah pendedahan salah laku hakim oleh YA Hakim Hamid Sultan semasa pemerintahan terdahulu. Ianya ditujukan kepada Mahathir. Ibarat pepatah membunuh dua ekor burung dengan seketul batu. Serangan nyata adalah kepada Najib tapi serangan halus yang sebenar adalah kepada Mahathir. Ini bagi membunuh 'karektor' Mahathir yang dilihat semakin merosot kerana cakap tidak serupa bikin.

6. Anwar Ibrahim pula mengatakan akan menjadi PM dalam masa dua tahun. Apakah ini kata dua Anwar kepada Mahathir? Berundur dengan sukarela atau banyak lagi skandal bakal didedahkan? Anwar dilihat masih 'main selamat' dalam setiap langkahnya dengan Mahathir. Kata-katanya masih lagi berlapik walaupun tidak senang dengan tindakan Mahathir membawa PPBM ke Sabah. PPBM bakal menjadi saingan kepada PKR di Sabah, bukan WARISAN. Kemasukan PPBM ke Sabah boleh 'membunuh' PKR yang lebih dahulu bertapak di Sabah. Sebagai parti 'malaya', PPBM dan PKR akan saling berebut pengaruh yang menyaksikan Shafie Afdal mungkin berpihak kepada PPBM ketika ini.

7. Sebagai ahli politik berpengalaman, Mahathir boleh menghidu gerakan bagi menjatuhkannya. Mengenali Mahathir, beliau tentunya lebih dari bersedia berhadapan cabaran kali ini. Tidak mudah untuk mengunci pergerakan politik Mahathir.

Sekali lagi, mari kita sediakan 'popcorn' bagi menonton drama yang belum nampak akan tamat ini....

Tuesday 12 February 2019

MAHATHIR KIAN MENCENGKAM, BIARKAN ANWAR 'BUNUH' DIRINYA SENDIRI

1. Tun Mahathir semakin mencengkam dalam politik negara. Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi pada 11 Febuari 2019 adalah untuk meluaskan kuasa Mahathir yang menjadi Perdana Menteri tanpa apa-apa potfolio sebagai menteri.  Bagi merasionalkan langkah taktikal Mahathir, Datuk A. Kadir Jasin mengeluarkan kenyataan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi kerana Mahathir tidak berpuashati dengan prestasi barisan kabinet beliau.

2. Terma rujukan atau bidang kuasa Majlis Tindakan Ekonomi ini tidak pula diumumkan. Jika ianya beroperasi seperti Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) sebelum ini (yang ditubuh sejurus PH menubuhkan kerajaan), majlis ini adalah sangat 'berkuasa'. Semua menteri dan kementerian hanya akan bertindak melalui arahan atau kelulusan majlis ini yang dipengerusikan oleh Mahathir sendiri.

3. Sudah dua kali Timbalan Perdana Menteri dan 'bakal Perdana Menteri' diketepikan apabila Mahathir mengumumkan penubuhan majlis yang sangat 'berkuasa'. Kali pertama, Wan Azizah dan Anwar tidak tersenarai sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan. Terkini, mereka berdua juga tidak tersenarai sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi. Sebaliknya saingan Anwar dan Azizah iaitu Azmin tersenarai kali ini. Turut tersenarai ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

4. Agak meragukan apabila orang nombor dua negara tidak tersenarai di dalam majlis yang sangat penting ini. Majlis ini melibatkan halatuju ekonomi dan pembangunan negara. Begitu juga dengan 'bakal PM'. Beliau menjelajah ke serata dunia kononnya membawa pelaburan untuk Malaysia, namun Mahathir tidak melibatkan 'bakal PM' di dalam majlis yang amat penting ini. Jika mengikut logik, alangkah ruginya Mahathir tidak menggunakan manusia 'anugerah tuhan' ini dan bekas Menteri Kewangan terbaik Asia.

5. Pada 12 Febuari 2019 pula, Mahathir menerima kemasukan 6 orang ahli parlimen ke dalam PPBM secara rasmi. Ini meningkatkan jumlah kerusi PPBM di parlimen sekaligus memperkukuhkan kedudukan Mahathir. Mahathir juga menyebut persefahaman antara PPBM dan WARISAN di Sabah bukanlah satu persefahaman yang tidak boleh diubah! Ini bermakna PPBM boleh dikembangkan di Sabah dan membayangkan Mahathir boleh mendapatkan ahli parlimen dari Sabah yang tidak selesa dengan Shafie Afdal tetapi 'mesra' PPBM dan Mahathir.

6. Apabila Mahathir telah membayangkan perkara ini, kemungkinan besar ianya bakal berlaku. Mahathir tidak peduli dengan WARISAN sebagaimana beliau tidak peduli dengan bantahan sekutu PH yang lain untuk tidak menerima bekas ahli parlimen UMNO ke dalam PPBM. Nanti 'penjilat' Mahathir akan mengatakan langkah ini akan menguatkan PH walaupun sebenarnya ia adalah langkah menguatkan Mahathir.

7. Jika ini berlaku, PH bakal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen, dengan kerusi PPBM bertambah di parlimen dengan penyertaan ahli parlimen ke dalam PPBM dari Sabah dan Sarawak. Ini sekaligus akan memperkukuh kedudukan Mahathir sebagai Pengerusi PH dengan jawatan Perdana Menteri. Manakala Anwar pula hanya kekal sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, Presiden PKR dan 'bakal Perdana Menteri' tanpa apa-apa jawatan dalam kerajaan.

8. Setakat hari ini, Mahathir terus dengan langkah taktikal beliau 'membunuh' pengaruh Anwar dalam Pakatan Harapan. Mahathir membiarkan sahaja Anwar mengelilingi dunia serta bertindak selaku 'bakal PM', namun tanpa apa-apa jawatan rasmi dalam kerajaan. Anwar akan terus berlegar-legar tanpa tujuan yang jelas. Mahathir pula akan terus membiarkan Anwar terbang setinggi-tingginya kerana Mahathir tahu Anwar akan penat terbang dan akan jatuh 'membunuh diri sendiri' setelah kepenatan terbang tanpa arah tujuan.

Sekali lagi, kita hanya perlu menyediakan 'popcorn' untuk menonton adegan drama ini selanjutnya.....

Sunday 10 February 2019

JANGAN SAMPAI MUKRIZ MAHATHIR TAK MENGAKU RAKYAT MALAYSIA LAGI

Penutup minggu kedua Febuari 2019 kita dihidangkan dengan adegan lawak 'kelulusan akademik' dari pemimpin kerajaan PH. Bagaikan siri sitkom di kaca TV, ianya seakan-akan bersiri dengan episod dan watak baru dari pemimpin PH.

Kali ini Setiausaha Agung PPBM merangkap Timbalan Menteri Luar mengambil tempat sebagai watak utama. Saya percaya ramai yang mengikuti komedi ini atau sekurang-kurangnya tahu kerana ia dikatakan 'trending' minggu ini. Bukan sahaja di dalam negara, bahkan di luar negara.

Media Singapura melapor berita kelulusan Setiausaha Agung PPBM merangkap Timbalan Menteri Luar ini. Agensi berita antarabangsa AFP juga melaporkannya. Hebat sungguh cerita 'komedi' yang dihidangkan PH kali ini. Susulan komedi yang ditimbulkan Setiausaha Agung PPBM ini, dua orang Menteri Besar dari PPBM turut terpalit dengan komedi yang sama.

Cerita kelulusan akademik Menteri Besar Perak ini adalah cerita lama. Akan tetapi, ianya tetap menghiburkan rakyat Malaysia. Cerita kelulusan akademik Menteri Besar Johor pula timbul seiring dengan cerita rakan beliau Setiausaha Agung PPBM. Beberapa pemimpin sekutu PH dari PKR, PAN dan DAP turut sama menerima tempias cerita komedi minggu ini.

Setiausaha Agung PPBM merangkap Timbalan Menteri Luar telah menjawab persoalan yang timbul. "Cambridge di Amerika, bukan Cambridge UK" jawab beliau lalu mengemukakan transkrip keputusan peperiksaan beliau. Namun ianya menambah lagi 'geli hati' rakyat Malaysia apabila perkara lain pula timbul.

Menteri Besar Perak menyerahkan kepada rakyat untuk menilai kelulusan akademik beliau samada tulin atau palsu. Menteri Besar Johor pula membuat 'silent comedy' dengan mengunci mulut beliau. Namun tetap lawak apabila UPM mengeluarkan kenyataan memerlukan tempoh yang agak lama untuk memeriksa kelulusan Perakaunan MB Johor dari UPM (seperti yang didakwa).

Menteri KPKT dari PKR mendakwa tidak pernah mengaku berkelulusan dari Universiti Kebangsaan Singapura. Sebaliknya menyalahkan pihak lain kerana tidak memeriksa dahulu dengan beliau sebelum mengeluarkan biodata beliau. Jadinya, apa kelulusan beliau?

Menteri Pertahanan memang 'gentleman'. Mengaku tiada kelulusan ijazah. 'Full stop'. Tiada lawak susulan apabila berterus terang. Manakala seorang ADUN DAP Tronoh berhempas pulas menjawap dakwaan ijazah MBA dari Universiti Akamai Amerika Syarikat tidak diiktiraf.

Memang minggu ini kita diwarnai dengan lawak 'kelulusan akademik'. Ditambah lagi lagi dengan jawapan-jawapan menyokong pelawak-pelawak tersebut terutamanya jawapan membela Setiausaha Agung PPBM. Malahan ada yang membandingkan kes Datuk Seri Marzuki Yahya ini dengan Mark Zuckenberg (pemilik Facebook). Memang cukup menghiburkan.

Jawapan ketua Marzuki Yahya dalam PPBM juga menghiburkan. Datuk Seri Mukriz Mahathir mengatakan Marzuki dilantik bukan berdasarkan kelulusan beliau. Saya kira ini jawapan yang benar-benar 'telus' dari Mukriz Mahathir. Dengan jawapan Mukriz, mungkin Marzuki dilantik sebagai Setiausaha Agung PPBM berdasarkan 'kesetiaan' beliau kepada Mukriz. Mungkin juga Marzuki dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar berdasarkan kefasihan bahasa Inggeris beliau dari Universiti Antarabangsa Cambridge Amerika Syarikat.

Cuma saya berharap kepada Marzuki Yahya jika beliau terus kekal sebagai Timbalan Menteri Luar dan Setiausaha Agung PPBM, janganlah memalukan Malaysia. Adegan pemimpin menipu kelulusan cukup memualkan. Biar tiada kelulusan, asal tidak menipu! Tambahan pula ianya begitu rancak dilaporkan media antarabangsa.

Bukan apa, saya cuma bimbang Datuk Seri Mukriz akan malu untuk mengaku beliau adalah rakyat Malaysia lagi selepas ini. Nanti di luar negara jika ada yang bertanya kepada Mukriz beliau dari negara mana, mungkin beliau akan menjawab beliau adalah dari India pula selepas ini....

Friday 8 February 2019

SYABAS TOK MAT HASAN. TS JOHAN JAAFAR BERTEMU BUKU DENGAN RUAS

1. Syabas Datuk Seri Mohamad Hasan kerana telah membuktikan beliau berada dalam kelas yang tersendiri semasa menjadi tetamu rancangan Bicara Minda di Sinar Harian semalam. Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden telah membuktikan beliau memang layak dan pilihan terbaik mengemudi UMNO ketika ini.

2. Bahasanya penuh madah dan kiasan. Penerangannya jelas. Sindiran beliau berlapik namun menusuk jiwa. Dialek 'nogori' DS Mohamad Hasan asyik didengar. Segala yang keluar dari mulut beliau semalam disusun rapi. Persoalan yang timbul dijawab dengan kemas. Tiada retorik, semuanya dijawab dengan ikhlas biarpun sesetengah jawapan itu agak pahit buat UMNO.

3. DS Mohamad Hasan sangat realistik serta tidak mempunyai sifat 'denial'. Sementara beliau mengakui segala kelemahan UMNO sehingga hilang kuasa pada PRU 14, beliau turut menggariskan banyak kekuatan dan kelebihan UMNO bagi menghadapi PRU 15. Menurut beliau, akar umbi adalah kekuatan utama UMNO.  Beliau juga positif tentang masa depan serta bersedia menghadapinya bersama UMNO.

4. DS Mohamad Hasan langsung tidak hipokrit apatah lagi apologetik apabila berbicara tentang kepentingan melayu dan bumiputera. UMNO akan tetap memperjuangkan kepentingan melayu/bumiputera, dan ini tidak boleh dianggap rasis. Namun dalam masa yang sama, hak kaum lain juga tetap dibela dan tidak diusik. Jelas pendirian UMNO tidak akan menukar matlamat perjuangan semata-mata mahu mendapatkan undi dan kuasa.

5. Dalam suasana yang santai dan bersahaja, DS Mohamad bijak mengawal suasana. Bagi saya, kali ini moderator Tan Sri Johan Jaafar bertemu buku dengan ruas. Soalan-soalan provokasi dari TS Johan ditepis dengan madah dan seloka oleh DS Mohamad Hasan. TS Johan dilihat 'cuba' memandu dan mengawal perbincangan dalam rancangan tersebut semalam.

6. Namun DS Mohamad Hasan bijak mengganggu tumpuan TS Johan dan akhirnya DS Mohamad yang dilihat mengawal perbincangan. Jawapan DS Mohamad Hasan yang sinikal, lucu, bidasan dan nasihat membuatkan TS Johan tergamam. DS Mohamad juga bijak 'memulangkan paku buah keras' terhadap soalan-soalan sinikal dari TS Johan yang membuatkan TS Johan tidak senang duduk.

7. Walau bagaimanapun, program tersebut lancar dan menepati objektif. Tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah memberi semangat dan menyedarkan masyarakat bahawa UMNO masih utuh dan bersedia untuk bangkit kembali. Tahniah juga kepada moderator Tan Sri Johan Jaafar yang profesional dan tenang walaupun disindir DS Mohamad Hasan beberapa kali dibatas pentas. Perbincangan yang menarik. Tahniah juga kepada Sinar Harian selaku penganjur.

8. Namun jika ada perkara yang memberi kesan kepada Pakatan Harapan tentang program ini, mungkin Lim Kit Siang akan bertanya kepada Setiausaha Politik beliau Syahrezan Johan, apakah bapanya akan menerima pelawaan DS Mohamad Hasan untuk bapanya menyertai UMNO...

Tuesday 5 February 2019

AZMIN TPM? APAKAH MALAYSIA BAKAL DILANDA KRISIS LAGI?

1. Jika benar Wan Azizah mahu digantikan sebagai TPM, beliau akan menjadi TPM paling singkat dan juga timbalan yang paling awal gugur ditangan Mahathir di pusingan kedua Mahathir menjadi PM. Jika benar bagai dilapor, Dr. Mahathir bakal mencipta satu lagi 'krisis' dengan tindakan beliau itu.

 2. Amat malang Malaysia Baharu yang ber 'PM' kan orang lama yang gemar dengan krisis. Kita imbas kembali beberapa peristiwa ketika Tun Mahathir menjadi PM ke 4 yang menyaksikan tiga orang TPM gugur di tangan Mahathir. Ia sekadar peringatan buat panduan kita semua yang kadang-kadang lupa dengan sejarah.

 i) 1982 - Dr. Mahathir berjaya memujuk Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Sedikit sebanyak UMNO bergolak apabila ada bantahan dalaman. PAS juga terkesan kerana ada ahli yang mengikut Anwar menyertai UMNO.
ii) 19 November 1985 - Peristiwa Memali. Nama Tun Musa Hitam dikaitkan sebagai orang yang bertanggungjawab. Namun Tun Musa kemudiannya telah mendedahkan Dr. Mahathir berada dalam negara ketika kejadian berlaku. Tun Musa juga mendakwa menghubungi Tun Mahathir bagi meminta kebenaran sebelum polis bertindak.
iii) 29 Feb 1986 - Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai TPM dan Menteri Dalam Negeri namun masih kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO. Umum mengetahui Mahathir menekan Musa Hitam agar meletakkan jawatan TPM. YB En. Ghafar Baba dilantik TPM dan krisis dalaman UMNO bermula secara terbuka.
iv) 24 April 1987 - Pertembungan sengit 'Team A' dan 'Team B' dalam UMNO. Ini adalah kemuncak strategi serampang dua mata Mahathir 'membunuh' lawannya dan melemahkan UMNO. Walaupun luarannya UMNO kembali gagah selepas pertandingan, UMNO sebenarnya lemah kerana sudah tiada semak dan imbang ketika itu. Pemimpin yang baik berjaya didiamkan oleh Mahathir.
v) 4 Feb 1988 - UMNO diharamkan oleh mahkamah. Mahathir segera menubuhkan UMNO (Baru) beberapa hari selepas itu dan menidakkan keahlian sebilangan besar pemimpin 'Team B' ke dalam UMNO (Baru). Tahun yang sama juga berlaku krisis antara badan eksekutif dan kehakiman apabila Tun Salleh Abas dipecat sebagai Ketua Hakim Negara. UMNO kekal dibawah telunjuk Mahathir tanpa semak dan imbang dari kelompok pertengahan dan bawahan UMNO.
vi) 15 Oktober 1993 - Tun Ghafar Baba meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah jumlah pencalonan sebagai Timbalan Presiden UMNO yang diperolehi beliau sangat kecil berbanding calon 'favourite' ketika itu iaitu DS Anwar Ibrahim. DS Anwar kemudiannya dilantik TPM pada Nov 93 setelah menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO sebelum itu.
vii) 2 September 1998, DS Anwar dipecat sebagai TPM  dan berikutnya sebagai Timbalan Presiden UMNO. Ini menimbulkan krisis besar dalam politik negara. DS Anwar dipukul semasa dalam tahanan dan hebahan mengenai kes liwat DS Anwar sangat memualkan.
viii) 31 Oktober 2003, Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan digantikan dengan Datuk Seri Abdullah Badawi ketika itu.

 3. Oleh itu, jika benar seperti berita yang ditulis Sinar Harian, ianya tidak menghairankan. Tiada apa yang baharu di zaman Malaysia Baharu ini. Yang ada hanyalah amalan lama, dari seorang pemerintah lama, di zaman yang berlainan. Mahathir gemarkan krisis dan beliau 'kuat' atas krisis.

 4. Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Yang pasti, sejarah mengesahkan memang ada TPM yang pernah disingkirkan Mahathir demi kelangsungan politik beliau. Cuma yang bersekutu dengan Mahathir sahaja sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga dengan segala kerosakan yang telah dibuat Tun Mahathir, termasuklah TPM sekarang. 

Barangkali inilah harga yang perlu dibayar apabila berketuakan Mahathir. Ibarat kata, habis madu, sepah dibuang. Nasib Azizah barangkali sudah seperti telur di hujung tanduk. Menanti waktu untuk jatuh atau dijatuhkan. Memburukkan keadaan, hubungan sesama PH juga ibarat retak menanti belah.

 Kerajaan PH hanya sibuk berpolitik. Kesan langsung adalah kepada rakyat yang mengharapkan nasib mereka dibela. Namun ianya ianya tak kunjung tiba. Rakyat berharap dan terus berharap. Inikah Malaysia Baharu yang diharapkan?

Saturday 2 February 2019

AES : ANTARA PH, MAHFUZ DAN LAWAK 'MR. BEAN'

1. Episod AES adalah ulangan sketsa lawak bodoh dari kerajaan PH. Dahulu siap ada Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dipengerusikan Datuk Mahfuz Omar. Rakyat dihasut agar tidak membayar saman AES yang kononnya membebankan rakyat. Siap berdemo dan buat 'flash mob' di tepi jalan membantah AES.

 2. Lanjutan itu, PH dalam manifesto mereka menampilkan janji manis mahu menghapuskan Automated Enforcement System (AES) yang menjadi kemarahan pengguna jalanraya terhadap pemerintahan BN sebelum PRU ke 14.

 3. Kini PH telah pun menjadi kerajaan. Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar pun telah menjadi Timbalan Menteri. Tidak pula kedengaran suara dan aksi 'guling-guling' Datuk Mahfuz dan rakan-rakan membantah peguatkuasaan AES seperti yang telah diumumkan Menteri Pengangkutan kerajaan PH baru-baru ini. Bila di "troll" DS Najib, tahu pula malu terkata. 

4. Untuk 'damage control' dan acah-acah macho, Mahfuz hanya mampu mengalih isu dan perhatian mengatakan tidak mahu melayan orang kecewa seperti DS Najib. Namun isu pokok (penguatkuasaan AES) tidak pula dijawab oleh beliau yang menentang keras penguatkuasaan AES suatu masa dahulu. Mahfuz hanya mampu menjilat ludahnya sendiri di zaman kerajaan PH. Janji menghapuskan AES juga telah dicapati oleh kerajaan PH.

 5. Bukan sahaja janji dicapati, bilangan kamera AES telah ditambah dari sebelumnya. Tidak cukup dengan itu, kos bagi sebuah kamera juga melebihi kos seunit dari zaman BN. Tidak cukup lagi, ditambah pula beban kepada pengguna jalanraya. Menteri dengan angkuh serta bongkak menjawab "No discount, I don't care" bila mengulas isu diskaun saman AES.

 6. Jika keadaan ini berlaku di zaman Mahfuz dan Anthony Loke menjadi pembangkang, pasti berbakul-bakul makian kepada kerajaan. Pasti juga timbul tohmahan mengatakan kerajaan merompak duit rakyat dengan saman tersebut. Akan ada juga kedengaran yang Malaysia dah bankrap, duit dah habis, maka terpaksa kutip dari rakyat. Kerajaan zalim dan macam-macam lagi.

 7. Kini boleh pula jilat ludah mereka sendiri kembali. Boleh pula kata AES ini bertujuan mendidik masyarakat serta mahu mengurangkan kadar kemalangan jalanraya. Inilah tujuan kerajaan terdahulu melaksanakan AES tetapi dengan kos yang lebih murah. Apabila PH buat benda yang sama, kos telah meningkat pula. Hairan bin ajaib jadinya.

 8. Inilah kerajaan HARAPAN yang tidak boleh diharap. Janji yang mereka sendiri tabur, mereka sendiri yang khianati. Adegan kerajaan PH kini seperti siri 'Mr. Bean' di kaca TV yang menampilkan cerita lawak yang berulang-ulang. Jalan lawaknya tetap sama, cuma penceritaan yang berbeza. Siri 'Mr. Bean' juga tiada cerita baharu, hanya cerita lama diulang tayang di kaca-kaca TV.

 9. Begitu juga kerajaan PH, sentiasa menampilkan lawak bodoh yang berulang-ulang. Cuma subjek lawak sahaja yang berbeza. Tiada pelan baru yang konkrit dalam pembangunan negara. Hanya mengulangi apa yang telah dibuat oleh kerajaan dahulu atau tukar nama sahaja. 

 10. Akan tiba masanya rakyat akan bosan dengan kerajaan seperti ini, seperti mana ada penonton yang merasa bosan menonton 'Mr. Bean' yang telah ditonton lalu segera menukar siaran. Begitu juga harapan kebanyakan rakyat Malaysia, kerajaan ini perlu ditukar bila sampai waktunya dan kita amat berharap waktu itu akan segera tiba....