Thursday 16 January 2014

BILA AZMIN MERENGEK, ANWAR MENENGGEK.

1. Saya secara peribadi tidak terkejut apabila Anwar mula bersuara membela Azmin dlm isu pengguguran Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS. Ia hanya episod lama plot drama yang diputar kembali dengan skrip yang baru. Cuma kali ini ianya melibatkan GLC kerajaan negeri di bawah kuasa mereka. Anwar nyata tidak mampu menahan rengekan Azmin yang mahu 'ditelanjangkan' oleh golongan yang tidak sehaluan di kalangan mereka sendiri di negeri Selangor.

2. Jangan dilupa bahawa yang meneraju negeri Selangor dengan kuasa eksekutif adalah Menteri Besar. Anwar hanya Penasihat Ekonomi Negeri tanpa apa-apa kuasa eksekutif. Begitu juga Azmin, beliau hanya Ahli Parlimen serta ADUN yang diberi 'ehsan' oleh Menteri Besar melalui EXCO bagi menganggotai Ahli Lembaga Pengarah di mana-mana GLC Selangor. Nyata di sini, kerajaan menguasai parti dipraktikkan oleh Menteri Besar apabila membuat keputusan di negeri.

3. Anwar sedar akan fenomena ini, namun apabila orang 'kesayangan' beliau diusik, beliau tidak mampu berdiam diri. Sikap Azmin seperti anak kecil merengek minta dibuatkan susu tentunya, apabila bertemu Anwar untuk mengadu hal juga pasti memeningkan Anwar. Rengekan Azmin juga buka sedikit, malahan mampu meruntuhkan Anwar jika tidak ditangani dengan betul. Azmin juga menggunakan orang bawahannya dalam parti bagi menyerang serta mempersoalkan Menteri Besar.

4. Azmin cuba menggunakan jalan 'atas dan bawah' dan juga jalan 'belakang' bagi memastikan beliau kekal relevan di Selangor. Beliau dilihat tidak mengkritik Menteri Besar secara berdepan konon atas kepentingan parti, namun penyokongnya bersuara keras menghentam Menteri Besar. Cuma jalan yang merentasi Dr. Wan Azizah sahaja yang tidak dapat dilalui oleh Azmin. Wan Azizah kekal senyap dalam isu ini namun pasti tersenyum sinis memerhatikan gelagat Azmin dari luar.

5. Saya mengandaikan tindakan ini sebenarnya amaran halus dari Wan Azizah kepada Azmin jika Azmin bercita-cita mahu 'melanggar' beliau sebagai Presiden. Dalam situasi ini, Wan Azizah bijak meletakkan Menteri Besar dan pegawainya di Selangor sebagai benteng menghalang kemaraan Azmin dalam PKR. W/pun Azmin bangga dengan askar-askar beliau di Selangor, namun panglima memerintah Selangor adalah askar kepada Wan Azizah yang mempunyai kepentingan bersama! 

6. Wan Azizah sudah sekian lama tidak sebulu dengan Azmin. Tan Sri Khalid Ibrahim tentunya bimbang kedudukan beliau dirampas Azmin. Barisan exco dari PKR pasti menyokong TS Khalid sebagai talian hayat mereka. PAS Selangor juga berdendam dengan Azmin sebagai Pengarah p/raya PKR yang mahu merampas kerusi yang secara tradisinya dimiliki oleh PAS sekian lama. Manakala DAP pula selesa dengan Tan Sri Khalid serta berdendam dengan Azmin atas sebab yang sama dengan PAS.

7. Sebenarnya Azmin sendirian di Selangor w/pun dibantu oleh askar-askarnya yang tidak kuat. Kekuatan Azmin jelas hanya bersandar kepada Anwar sahaja. Dalam situasi ini, Anwar amat tersepit. Anwar boleh sahaja mengeluarkan kenyataan membela Azmin, namun sama-sama kita lihat sejauh mana Anwar mampu 'menenggek' setiap kali Azmin merengek. 

8. Dalam isu ini, jelas Anwar sudah tidak lagi relevan dalam partinya sendiri. Ini fakta yang perlu disedari oleh para penyokong PR. Mereka hanya melihat Anwar kuat melalui propaganda oleh kalangan mereka sendiri. Hakikatnya, Anwar semakin lemah serta semakin ditolak termasuk dari pimpinan PKR sendiri.  Yang pasti, Wan Azizah tersenyum lebar memerhatikan Azmin seperti cacing kepanasan digugurkan jawatan tersebut menjelang pemilihan PKR pertengahan tahun ini....

Sekian.