Wednesday 17 February 2016

KEMBALI BERTEMU

1. Memang lama sungguh saya tidak bersiaran. Namun sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya senantiasa mengikuti perkembangan politik tanahair. Jelas di sini, rakyat kita semakin hilang nilai budaya menghormati sesama manusia. Laman sosial dijadikan medium memaki hamun sesama sendiri.

2. Budaya hormat menghormati semakin terhakis dari budaya kita. Masing-masing cuba mempertahankan idealisme sendiri dengan mengabaikan etika sosial. Sopan santun dalam menyuarakan pendapat tidak lagi menjadi teras dalam berkomunikasi. Malahan lebih teruk lagi, amalan begini seolah mendapat restu dari sesetengah manusia yang menggelar diri mereka 'pemimpin'!

3. Apabila pihak berkuasa menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi menangani masalah ini, wujud rungutan atas nama kebebasan bersuara. Harus diingat, kebebasan bersuara kita haruslah mengikut acuan kita sendiri. Agama Islam menggariskan beberapa nilai murni dan etika dalam berkomunikasi.

4. Begitu juga dengan agama lain. Nilai hormat menghormati ini merupakan nilai yang universal serta menjadi amalan seluruh dunia. Apabila nilai ini teguh di dalam diri kita, kita akan menyuarakan pendapat secara beradab, tidak menipu serta rasional dalam menilai pendapat orang lain biarpun dari musuh kita yang sangat dibenci.

5. Apa yang memeranjatkan, fenomena ini hanya banyak terjadi di Asia Tenggara. Satu kajian oleh sebuah firma antarabangsa, menunjukkan aduan yang paling banyak diterima tentang salah laku perkataan di media-media sosial adalah dari Asia Tenggara. Agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab terhadap media sosial Malaysia juga mencatatkan jumlah aduan yang tinggi.

6. Oleh itu, masyarakat kita perlu sedar serta kembali kepada fitrah. Kita boleh sahaja berbeda pendapat, namun itu tidak membenarkan kita memaki dan menghina orang lain. Jawapan 'cliche' tentang ini persoalan ini adalah, "dia yang mulakan". Jika perkara ini mahu teruskan didebatkan, ianya tiada kesudahan. Barangkali akan menjadi cerita ayam dengan telur, siapa yang lebih keluar di bumi ini.

Janganlah kita menjadi begitu hendaknya. Kita mestilah maju seiring dengan teknologi komunikasi masakini. Jangan sampai kita dilabelkan mempunyai pelbagai kemudahan kelas satu tetapi mempunyai mentaliti kelas tiga. Makian dan penghinaan menjadi ulam penyedap rasa dalam kehidupan kita.....

Ingatlah bahawa kita masih boleh berkawan biarpun berbeda pendapat

Salam Hormat......