Friday 10 April 2020

PKR PARTI 'SONGSANG', PENAFIAN HANYA TINDAKAN 'DAMAGE CONTROL'


1. PKR memang parti yang bergerak secara songsang. Di balik seruan pelbagai pihak agar dunia dan Malaysia khususnya, bersatu memerangi pandemik covid-19, PKR berkempen membuat video pendek 'mencari' salah kerajaan. Ini seperti laporan portal FMT

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/04/10/di-sebalik-krisis-covid-19-pkr-tawar-ganjaran-untuk-tiup-sentimen-anti-kerajaan/ 

Biarpun ada penafian dari PKR, penafian ini hanyalah tindakan "damage control" dari pimpinan PKR. Tiada tindakan keras seperti saman fitnah terhadap FMT kerana menyebarkan berita palsu.

Kegilaan apakah ini? Apakah mereka yang menganjurkan kempen ini sudah hilang nilai kemanusiaan dan sentiasa mahu berpolitik walaupun di saat kritikal begini?

2. Seantero dunia berhempas pulas memerah otak dan keringat mencari jalan mengekang wabak yang telah membunuh ratusan ribu manusia di seluruh dunia. Di Malaysia, angka kematian telah mencapai 70 orang dan lebih 40 orang pesakit yang kritikal (setakat 10 April 2020). 

Kerajaan melalui para petugas agensi kesihatan dan keselamatan sedang berbuat 'sehabis baik' demi melindungi semua rakyat Malaysia dari dijangkiti wabak yang masih belum ada penawarnya hingga kini.

3. Manakala PKR pula tergamak mengeluarkan arahan membuat pertandingan video pendek 'kesalahan-kesalahan' kerajaan. Elemen mempertahankan Presiden PKR juga adalah sebahagian isi video tersebut. Sebagai insentif, yang menghasilkan video terbaik ditawarkan ganjaran. Sekali lagi, apakah mereka ini sudah gila dan mahu berpolitik sebilang masa?

Strategi serampang dua mata. Kecam kerajaan dan sokong presiden mereka. Nampak sangat politiknya. Tak salah mahu menyokong presiden mereka sepenuh hati, namun tak perlulah membabi buta.

4. PKR dan pembangkang yang lain nampaknya bimbang kehadiran mereka tidak dirasai langsung ketika ini. Kerana itulah, para pemimpin mereka tidak habis-habis bercakap mahukan sidang parlimen bagi meluluskan bajet pakej bantuan covid-19. Mereka juga sibuk membela pesalah-pesalah yang engkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk apa mereka terus terpekik dan terlolong jika bukan untuk kepentingan politik mereka? Mereka langsung tidak mempedulikan hal-hal yang boleh membendung wabak ini dari merebak sekaligus mengambil nyawa orang awam di Malaysia. Sebagai ahli politik, sepatutnya mereka menenangkan dan menganjurkan penyokong agar berbuat baik kepada semua.

Bukannya terus menyemarakkan api kebencian terhadap kerajaan dan mencari kesalahan mereka.

5. Para petugas dari kalangan menteri, pegawai kerajaan, petugas kesihatan dan keselamatan tidaklah sempurna. Namun mereka sedang berbuat yang terbaik demi mengawal wabak ini. Jika ada pun sedikit kekhilafan, saya percaya ianya boleh ditegur secara berhemah. 

Dalam situasi begini, perasaan insaf dan rendah diri tentunya akan membuat para petugas mendengar segala kekurangan dan berusaha untuk membetulkan tindakan mereka. Membuat video pendek tentang kesalahan para petugas kerajaan dan menularkannya, hanya menyemarakkan rasa benci dan perasaan negatif di kalangan kita.

6. Benarlah telahan umum yang mengatakan PKR ini sebagai parti kian rosak. Rosak kerana suka mengamalkan gaya songsang. 

Di saat seruan agar kita membudayakan gaya politik baru (ketepikan fahaman politik, bersatu perangi covid-19), mereka tetap mahu gaya songsang (mungkin fitrah mereka) yang "semua mesti dipolitikkan" dan "bangkang walaupun benda baik".

Sebelum ini pun dah banyak cara songsang yang kita dengar dari parti ini. Pertandingan video ini hanya mengesahkan PKR ini parti yang memang suka perkara yang 'songsang'...


Saturday 4 April 2020

JANGAN HUKUM PENGUATKUASA KERANA MENGUATKUASAKAN UNDANG-UNDANG




1. Menonton beberapa klip video 'drama' rakyat Malaysia membuatkan kita terfikir, apakah masyarakat kita mula hilang pertimbangan ketika ini. Apakah kita mula hilang rasa kemanusiaan dan saling menghormati?

2. Selain wabak Covid19 yang berjangkit, perangai negatif masyarakat juga agak cepat jangkitannya. Hampir setiap hari, kita dihidangkan dengan sikap angkuh manusia yang mencemuh dan melawan pihak berkuasa. 

3. Barangkali ramai yang mula 'stress' kena duduk rumah. Maklum saja, bila terkurung ramai-ramai, 'tension' dengan kebisingan dan kelakuan masing-masing. Bila terkurung dalam keadaan tidak ramai, mungkin ramai yang murung pula. Tiada suara atau gelak tawa keluarga atau rakan-rakan. 

Lantaran itu, adakah kerana 'stress', 'tension' dan murung menyebabkan kita semakin hilang pertimbangan?

4. Ada yang engkar perintah kawalan. Ramai juga memaki hamun petugas-petugas keselamatan yang saban hari berada di jalan-jalanraya ketika ini. Tidak kurang yang membuat hantaran di media-media sosial mencabar pihak berkuasa yang hanya menjalankan tugas mereka. 

5. Apakah kita sudah hilang pertimbangan hanya kerana tidak dapat melakukan sesuatu yang kita kehendaki? Naluri manusia memang begitu, akan memberontak jika kehendaknya dihalang. Hanya kerana kita dihalang pergi makan di tempat yang kita suka, ada yang sanggup meninggi suara memaki hamun polis dan pasukan keselamatan.

6. Walaupun status sosial kita mungkin lebih tinggi di kalangan manusia lain, kita juga rakyat Malaysia yang terikat dengan undang-undang negara. Sekadar contoh, jika kita seorang doktor pakar, kita tetap perlu patuh arahan seorang kontabel polis. 

Selagi mana arahan tersebut dalam bidang kuasa beliau (polis tersebut) dan tidak melanggar undang-undang negara, patuhilah ia. Tidak perlu bertegang urat menegakkan benang basah mempertahankan ego kita. Jika kita ada wang lebih mahu berlawan di mahkamah, lebih elok digunakan untuk perkara lain yang lebih bermanfaat. 

7. Ibubapa pula perlulah menunjukkan contoh kepada anak-anak. Prinsip "ikut apa yang saya cakap, jangan ikut yang saya buat" jangan sekali-kali kita ikuti. Ibu bapa memainkan peranan besar membantu negara memerangi wabak Covid19 ini. Isilah masa lapang dengan keluarga dan hanya keluar jika perlu sahaja. 

Ingatkan anak-anak agar sentiasa menghormati barisan petugas hadapan negara ketika ini. Hormati dan hargailah pengorbanan mereka. Di saat kita 'dikawal' agar duduk di rumah bersama keluarga, para petugas barisan hadapan berkorban masa dan tenaga menyahut panggilan negara 'berperang' melawan wabak ini.

8. Para petugas ini tentunya juga adalah ibu, bapa, anak, abang, kakak atau apa saja peranan mereka dalam keluarga. Tentu saja banyak tugas dan tanggungjawab yang terpaksa mereka lepaskan demi menyahut panggilan negara. Jika kita tidak mampu membantu para petugas ini, sekurang-kurangnya hormatilah mereka. Mengenang jasa dan pengorbanan mereka juga adalah satu kebaikan.

9. Jangan disuburkan budaya individualistik. Ini hanya mengundang budaya 'melanggar arahan' yang lebih parah kerana kita hanya mempertimbangkan kepentingan diri sendiri sahaja. Demi mencapainya, kita akan menentang siapa yang menghalang kita. Maka semakin membiaklah unsur-unsur negatif dalam diri kita. Hendaknya janganlah kita jadi begitu. 

Jangan fikir kita saja yang boleh 'stress', 'tension' dan murung. Para petugas barisan hadapan negara pun boleh 'stress' dan 'tension' dengan perangai orang awan yang engkar dengan arahan. Tidak hairanlah para petugas juga boleh naik angin melihat tingkah laku kita. Lebih-lebih lagi jika ada unsur provokasi seolah-olah sengaja mahu melanggar undang-undang negara.

10. Maka itu, suburkanlah nilai-nilai positif dalam kehidupan, sekarang dan masa hadapan. Penyebaran nilai-nilai positif dalam kehidupan mampu menghindar kita dari jangkitan penyakit 'stress', 'tension' dan murung atau rasa terkurung ketika ini.

Janganlah dihukum para petugas kerana mereka hanya menjalankan tugas. Sebaliknya hukumlah mereka yang seolah-olah sengaja melanggar undang-undang negara dan mencabar pihak berkuasa...