Monday, 24 February 2020

KRISIS MAHATHIR-ANWAR: SUATU CATATAN PENGALAMAN


Sekadar catatan pengalaman ketika krisis 1998 pemecatan Anwar sebagai TPM dan Timb. Presiden UMNO.

Enam (6) sebelum 2 Sept 1998 (tarikh Anwar dipecat).

Dr. Mahathir- "Saya tidak akan pecat Anwar, dia timbalan yang bagus. Anwar lulus cemerlang ketika memangku jawatan PM selama saya bercuti."

Anwar Ibrahim- "Dr. Mahathir ketua yang baik. Hubungan saya dengan Dr. Mahathir umpama anak beranak. Mahathir sudah seperti bapa saya. Saya amat menghormati beliau dan tidak mungkin beliau akan membuang saya." 

31 Ogos 1998

Dr. Mahathir- "saya tidak akan pecat Anwar. Semua itu hanya cerita rekaan. Hubungan saya dengan Anwar amat baik. Lihat, saya mai Penang negeri Anwar ni. Kami tak gaduh."

Anwar Ibrahim- "semua itu (pemecatan) saya hanya spekulasi. Hubungan saya dengan Dr. Mahathir cukup baik. Semalam saya ada bincang banyak perkara mengenai negara sambil minum teh dengan beliau".

1 September 1998

Dr. Mahathir- "saya tidak akan pecat Anwar. Anwar adalah seorang menteri kewangan yang bagus. Ketika ekonomi negara tidak baik, kita perlukan menteri kewangan seperti beliau".

Anwar Ibrahim- "saya masih bekerja. Lepas ini pun saya ada banyak mesyuarat. Kita perlu tumpu untuk memulihkan ekonomi negara."

2 September 1998

Pagi sebelum mesyuarat kabinet, mereka bertengkar di bilik Dr. Mahathir. Mahathir beri ultimatum kepada Anwar sama ada letak jawatan atau dipecat.

ANWAR DIPECAT PADA TARIKH INI SETELAH MEREKA BERDUA CUBA MENAFIKAN KERETAKAN HUBUNGAN MEREKA.

22 tahun pun berlalu......

Enam(6) bulan sebelum 21 Feb 2020

Tun Mahathir- "saya akan serahkan jawtan kepada Anwar. Saya dah janji, saya akan tunaikan."

Anwar Ibrahim- "jangan bebankan Mahathir dengan isu peralihan kuasa. Semua patut tumpu ekonomi dan perbaiki hidup rakyat."

21 Feb 2020

Tun Mahathir- "terpulang kepada saya bila nak serah jawatan kepada Anwar."

Anwar Ibrahim- "saya kena banyak bersabar"

23 Feb 2020

Tun Mahathir- senyap. UMNO, PPBM, Azmin mengadakan mesyuarat tertutup.

Anwar Ibrahim- "saya rasa dikhianati apabila ada gerakan cuba mengambil alih kerajaan."

24 Feb 2020

Tun Mahathir - letak jawatan. Sebelum itu ada berjumpa Anwar dan beberapa pemimpin lain.

Anwar Ibrahim- "saya cuba menasihati Mahathir agar tidak meletak jawatan, tapi beliau tak mau dengar."

Anwar masih cuba main cantik. Masih nak "control damage" apabila kerajaan PH tumbang.

25 Feb 2020 ?
26 Feb 2020 ?

Nasihat saya, dengar dari sumber sahih dan tepat. Dialog-dialog di atas adalah dari sumber yang sahih. Saya terlibat sepenuhnya dalam krisis 1998. Krisis 2020 pula, saya rujuk dari sumber yang sahih.

Sekarang nak percaya siapa? Dua-dua boleh buat selamba tidak bergaduh, hari berikutnya dah boleh maki-makian kerana tak mampu bendung perasaan. Perseteruan sekian lama terbongkar setelah masing-masing keluarkan peluru.

Doakan yang terbaik je lah. Semoga bermanfaat dan menjadi panduan menghadapi krisis kali ini....

Ikhlas,
Anuar Shaari.


Sunday, 19 January 2020

BUJANG TIDAK SEMESTINYA JADI REBUTAN, YANG LAMA TETAP DI HATI


1. Tumpuan pastinya terarah kepada orang 'bujang'. Maklumlah, orang bujang tentu saja jadi rebutan kerana segala-galanya masih baru, tenaga juga masih baru serta wangi-wangian masih kuat baunya. Orang bujang juga kuat bergaya, sanggup berhabis mengenakan aksesori seluruh badan menonjolkan kehebatan mereka.

2. Manakala orang 'lama' pula bak cencaru makan petang. Tetap 'steady', tidak cepat melatah dan membiarkan saja orang bujang dengan lagak mereka yang angkuh. Diherdik, dicaci, dihina, orang lama tetap senyum. Orang lama tetap fokus memperbaiki diri, berubah demi kekal relevan di mata masyarakat. Namun akarnya tetap utuh dengan sejarah dan budaya nenek moyang dahulu.

3. Ibarat mahu mengurat gadis, sesetengah orang bujang amat gelojoh, tidak berpengalaman. Mereka hanya menumpukan perhatian mahu memiliki hati seseorang gadis sahaja. Sama juga dengan sesetengah gadis muda, tidak berfikir panjang. Mereka menyambut lamaran seseorang kerana dikaburi dengan janji-janji manis atau ditipu dengan aksesori wang ringgit yang banyak.

Hasilnya setelah sesuatu ikatan terjadi, barulah pecah tembelang sang 'bujang' tersebut. Janji tidak ditepati malah dikhianati. Janji mahu menyediakan rumah mewah, namun selepas gadis tersebut menjalinkan ikatan, rumah pun tiada. Si gadis pula yang terpaksa menanggung perbelanjaan mahu membina rumah. Bila bergaduh pula, segalanya diungkit. Janji tidak lagi menjadi paksi hubungan.

4. Namun bagi orang lama atau orang yang berpengalaman, perjalanan mengurat seorang gadis dibuat dengan berhati-hati. Mahu mendapatkan gadis, ibu dan bapa gadis tersebut disantuni dahulu. Setelah mendapat izin, barulah gadis tersebut diikat dengan janji suci, tidak perlu fitnah dan berbohong. Ikatan begini lebih bertahan lama dan diingati.

Kerana itu, orang lama lebih diingati. Bukan kerana mereka lebih tampan. Keikhlasan menyunting dan mendapatkan tetap jadi bualan. Setelah gadis disunting, 'orang lama' menjaganya dengan baik. Gaduh atau tercalar sedikit asam garam sesuatu hubungan. Masih ada ruang kembali ke pangkal jalan.

5. Kerana itu, yang lama akan tetap diingati dan dirindui. Seboleh mungkin, selamatkan hubungan. Jika sudah berpisah, masih ada waktu untuk kembali selagi tidak bertalak tiga. Berpisah dahulu pun kerana termakan fitnah, mahu cuba-cuba. Sekarang sudah terang lagi bersuluh, yang baru itu tidak semestinya bagus. 

'Bujang juga' tidak semestinya jadi rebutan, yang lama juga tetap di hati...

Thursday, 16 January 2020

MALAYSIA KIAN PARAH, HIPOKRASI PH DI TAHAP TERTINGGI

1. Gegak gempita cubaan memadamkan apa yang didakwa sebagai api perkauman. Pelbagai alasan diberi merasionalkan sambutan perayaan kaum dirayakan bersama.
Terakhir, Menteri Perpaduan mendakwa telah ada keputusan kabinet perayaan berasaskan kebudayaan harus dirayakan bersama bagi memupuk perpaduan kononnya.
2. Merayakan sesuatu perayaan secara bersama tidaklah memupuk perpaduan. Tidak perlu memaksa seseorang atau sesuatu kaum merayakan perayaan kebudayaan kaum lain. Konon untuk memupuk perpaduan, sebaliknya tindakan ini hanya memecah belahkan masyarakat.
Sebenarnya tunjang utama perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia adalah kefahaman dan toleransi. Sesuatu yang telah terbina sekian lama di Malaysia tercinta ini.
3. Semenjak Merdeka, apa sahaja perayaan berkaitan agama dan kebudayaan bebas dirayakan di Malaysia. Sesuatu kaum amat sedar di mana kedudukan mereka dan tidak akan menyentuh sensitiviti kaum lain yang merayakannya.
Mereka hanya merayakannya di kalangan kelompok mereka dan tidak bersusah payah memaksa kaum lain merayakannya. Bagi yang merayakan, mereka juga sangat sensitif. Seboleh mungkin mereka akan merayakannya tanpa mengganggu kaum lain.
4. Saya ulangi, inilah nilai yang dipupuk sekian lama di Malaysia, saling menghormati, memahami serta bertoleransi. Tiada yang berani mempersoalkan peranan JAKIM, tiada yang berani mempersoalkan tabung atau tanah kuil. Bukan kerana masyarakat takut, tetapi sistem nilai (menghormati dan toleransi) yang diterapkan kepada masyarakat amat tebal dipraktikkan.
Namun kini, ia tidak lagi berlaku. Wujud ahli-ahli politik yang mahu menjadi hero sesuatu kaum serta menghina kaum lain dengan tidak berpandukan Perlembagaan. Wujud juga ahli politik yang membela pertubuhan rasis seperti Dong Zhong atas paksi agama.
5. Mereka ini warganegara Malaysia, akan tetapi kiblat mereka bukannya Malaysia. Mereka tidak mahu dikatakan sebagai pendatang namun dari sisi lain, mereka tetap memberi contoh negara asal seperti yang didakwa lebih baik dari Malaysia.
Bersongkok itu budaya Malaysia, namun ada yang lebih rela mengenakan budaya asal mereka di kepala hanya kerana tidak mahu dikatakan Melayu atau Islam. Jawi itu bahasa Malaysia, namun mereka membantah separuh mati hanya kerana takut masuk Islam. Mungkin juga kerana takut dipotong ‘anu’nya itu, sedangkan ia baik untuk kesihatan.
6. Beginilah hipokritnya mereka. Mereka menggariskan perayaan berasaskan kebudayaan perlu disambut bersama.
Namun apabila JAKIM mengeluarkan garis panduan antara perayaan agama dan perayaan kebudayaan, mereka melenting separuh mati. JAKIM pula dituduh pemecah perpaduan dan mahu JAKIM ditutup sedangkan JAKIM tidak melarang mereka merayakan perayaan mereka.
Apa yang berlaku, JAKIM hanya melarang umat Islam turut sama merayakan kerana dibimbangi akan terkeluar dari landasan Islam. Adakah salah menasihati umat sendiri agar berhati-hati?
7. Kerana itu sistem nilai negara ini tidak boleh diasaskan dengan nilai prejudis. Ahli-ahli politik ekstrem perlu disingkirkan dari sistem pentadbiran negara.
Kita perlu kembali kepada perpaduan yang berasaskan Perlembagaan seperti sekian lama. Ia terbukti semenjak Malaysia merdeka hingga kini.
Meruntuhkan sesuatu yang dibina sekian lama amatlah mudah. Perlukan beberapa saat sahaja, pasti hancur sekelip mata.
Namun untuk membinanya kembali, pasti mengambil masa yang lama.
Perpaduan dan toleransi yang kita ada telah sampai sejauh ini semenjak Merdeka.
8. Usah diulangi tragedi hitam perpaduan negara suatu ketika dahulu. Hanya kerana kita mendengar kata-kata ahli politik yang tidak siuman, segalanya hancur ketika itu.
Kini, tolaklah mereka yang ‘berselindung’ di balik topeng rakyat. Konon mahukan perpaduan, namun sebaliknya hanya menambahkan perpecahan….

Friday, 3 January 2020

KRISIS PH : MENGAPA MASZLEE KORBAN PERTAMA?

Cubaan merasionalkan mengapa Dr. Maszlee Malik tersingkir sebagai Menteri Pendidikan kerajaan PH sangat memualkan. Ada yang mengatakan Dr. Maszlee ibarat lilin, membakar diri sendiri bagi menerangi pihak lain.
Dr. Maszlee sendiri dalam kenyataannya telah mengeluarkan ‘ayat baik-baik’ berkaitan peletakan jawatan beliau.
Adatnya begitulah, jika boleh, Dr. Maszlee akan berbuat sebaik mungkin agar semuanya kelihatan elok dengan peletakan jawatan beliau. Namun tidak selamanya PH mampu menyapu semua sampah mereka ke bawah karpet. Sampah PH semakin menggunung, menunggu masa meletup sahaja.
Sebenarnya antara sebab Maszlee tersingkir sebagai Menteri Pendidikan adalah kerana:
1. Dr. Maszlee bukanlah seorang ‘politician‘ dan tidak punya sokongan akar umbi yang kuat di dalam parti dan di kawasan. Beliau adalah pendatang baru yang terlalu mudah dinyahkan. Struktur PPBM di Simpang Renggam masih kacau-bilau.
Maszlee juga mempunyai hubungan yang biasa-biasa sahaja dengan masyarakat Simpang Renggam. Maka apabila Maszlee disingkirkan, tiada apa yang luar biasa akan berlaku di Simpang Renggam. Jika ada, mungkin sahaja nanti PM akan umum sedikit pembangunan di kawasan tersebut, selesailah masalah.
2. Dr. Maszlee dilihat cenderung kepada Anwar Ibrahim. Walaupun dari PPBM, Maszlee tidak sinonim dengan pemikiran Dr. Mahathir. Sebagai ‘orang dakwah’ tidak hairanlah mengapa Maszlee dilihat begitu.
Pemikirannya, kawan-kawan rapatnya, persekitarannya berada dalam lingkungan Anwar Ibrahim. Maszlee juga melantik Nurul Izzah sebagai Pengerusi TVET di Kementerian Pendidikan sebelum Izzah meletakkan jawatan.
3. Dr. Maszlee adalah liabiliti buat Pakatan Harapan. Misi utama yang perlu dibuat Dr. Maszlee apabila dilantik sebagai Menteri Pendidikan adalah merentasi sempadan politik. Sebagai orang ‘fresh‘, Maszlee adalah calon terbaik PH untuk meraih sokongan semua rakyat Malaysia melalui Kementerian Pendidikan. Malangnya, Maszlee sendiri yang bermain politik di situ.
Maszlee adalah rakyat Malaysia pertama dari PH yang menjawat jawatan Menteri Pendidikan merangkap Presiden UIA. Bila ditegur, beliau memberikan seribu satu alasan cuba mempertahankan jawatan di UIA.
Akhirnya setelah dipanggil mengadap Presiden PPBM, barulah beliau akur dan melepaskan jawatan di UIA. Maszlee juga bermain politik dengan pelantikan jawatan-jawatan utama IPTA dari kalangan kelompok beliau.
Kementerian Pendidikan yang sepatutnya menjadi kementerian ‘merentas sempadan’ fahaman politik bagi meningkatkan sokongan terhadap PH, telah menjadi sebaliknya. Kementerian Pendidikan kini menjadi tempat teratas mengapa rakyat Malaysia membenci PH.
4. Mempunyai seorang timbalan dari DAP, membuatkan Maszlee sering dalam dilema dan mungkin rasa rendah diri. Tentunya Maszlee agak murung apabila peruntukan yang diperolehi dari Kementerian Kewangan oleh timbalannya dari DAP jauh lebih tinggi dari yang beliau perolehi.
Bantuan kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan IPTS berorientasi masyarakat Cina dibuat tanpa memperdulikan kedudukan beliau sebagai Menteri Pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan boleh pula menjemput Menteri Kewangan bagi menyempurnakan penyampaian bantuan peruntukan Kementerian Pendidikan. Hal ini tentunya menggugat maruah dan kredibiliti Menteri Pendidikan.
5. Apapun, banyak lagi faktor mengapa Maszlee disingkirkan dari kabinet. Yang paling utama, dalam kerajaan sekarang, komponen kerajaan janganlah bergaduh dengan DAP. Pengajaran ini boleh kita ambil dari kisah penyingkiran Maszlee.
Tun Mahathir nampaknya lebih menyayangi DAP dari ahli parti sendiri. Tambahan pula jika ahli parti tersebut tidak langsung punya kekuatan di peringkat akar umbi.
Jika hal ini boleh terjadi kepada seorang ahli PPBM, ahli-ahli komponen PH dari parti yang berlainan perlulah mengambil iktibar. Ahli dan penyokong PH jangan menyesal, kerana anda sendiri yang telah memilih.
Tidak perlu melankolik dengan penyingkiran Dr. Maszlee. Beliau tentunya tahu menceburi bidang politik tentu punya risiko. Hal ini telah beliau ucapkan di UIA dengan menyatakan tujuan utama beliau masuk politik adalah kerana mahu menjatuhkan DS Najib.
Tentunya beliau tahu apabila beliau mahu menjatuhkan seseorang, akan ada orang lain pula yang akan menjatuhkan beliau. Dan kini beliau jatuh kerana kawan sendiri, bukan kerana musuh beliau.
Akhir kata, terima kasih buat Dr. Maszlee dan selamat maju jaya.
Syabas juga diucapkan kerana di hujung perkhidmatan saudara, saudara telah meninggalkan pesanan yang amat berguna kepada semua menteri PH iaitu “BACA”…

Sunday, 8 December 2019

KONGRES PKR 2019: ANWAR BERJIWA KERTAS, AZMIN BERHATI TISU


1. Kongres PKR yang berakhir tengahari tadi pastinya menimbulkan seribu satu persoalan. Kongres 2019 kelihatan telah berakhir namun hakikatnya ia adalah satu permulaan keretakan dalam PKR secara terbuka. Seolah-olah mahu membalas dendam, kumpulan pro Azmin akan bertemu atas nama majlis makan malam untuk berucap dan berbahas. Ini lantaran hak mereka sebagai perwakilan dinafikan oleh kumpulan pro Anwar seperti yang didakwa.

2. Tentunya makan malam ini bakal di hiasi dengan ucapan-ucapan menghentam Anwar yang dikatakan gagal menunaikan janji-janji untuk mengelakkan terjadi dua kongres berasingan pada tarikh yang sama. Kumpulan pro Azmin nampaknya berdendam apabila menerima layanan 'kelas tiga' walaupun mereka hadir sebagai perwakilan yang sah semasa kongres tersebut. 

3. Samada Anwar atau Azmin, tentunya mereka berdua tahu 'game' apa yang mahu mereka mainkan. Apabila Azmin mahu mengadakan kongres berasingan di Kuala Lumpur, beliau tahu apa yang mahu ditawarkan  (bargain) dengan cadangan itu. Begitu juga Anwar, apabila beliau mengajak Azmin berbincang konon atas nama perdamaian, Anwar tahu buah catur mana yang mahu digerakkan dan kearah mana mahu digerakkan.

4. Masing-masing ada strategi biarpun terpaksa senyum, gelak, menutup muka dan sebagainya di hadapan kamera. Kedua-dua mereka berlakon dengan baik walaupun kita telah menjangkakan ianya adalah 'drama' mahu memerangkap satu sama lain. Anwar mungkin mahu Azmin hadir ke kongres di Melaka dan memulakan serangan ke atas Azmin secara berhadapan. 

5. Azmin juga mungkin tahu risiko jika beliau hadir ke kongres tersebut setelah sekian lama tidak hadir mesyuarat-mesyuarat utama PKR. Namun Azmin perlu hadir memulakan gerakan memalukan Anwar dari dalam. Masing-masing dengan strategi licik untuk menjatuh dan memalukan satu sama lain. 

Yang menjadi buah catur dalam permainan ini adalah penyokong masing-masing. Para penyokong di atur gerak mengikut tujuan Anwar dan Azmin. Penyokong yang diupah atau benar-benar menyokong menjadi mangsa dalam percaturan ini. Merekalah yang bergaduh hingga berdarah, kejar mengejar dan memaki hamun sesama sendiri.

6. Pemimpin jenis apa yang memperalatkan penyokong mereka sedemikian rupa. Mereka ini pemimpin oportunis, mengambil kesempatan atas ketaksuban penyokong. Demi mahu menjadi Perdana Menteri, penyokong dan rakyat dimanipulasi. Tidak kedengaran isu-isu berorientasikan rakyat dibincangkan dengan serius. Kenaikan harga barang, keadaan ekonomi tidak menentu dan isu rakyat yang lain hanya menjadi 'picisan' semasa kongres tersebut. 

7. Tidak mahu ekstrim, namun ada yang menganggap kongres PKR 2019 seperti 'pesta badut', mempamerkan kebodohan masing-masing demi menarik perhatian. Sepatutnya pada usia 20 tahun penubuhan parti, pemimpin dan penyokong PKR lebih matang. Namun keadaannya terbalik bagi PKR. PKR dilihat seperti parti 'barbarian', ganas dan tidak bertamadun.

8. PKR sebenarnya semakin menuju arah 'parti kian rapuh'. Seumpama dua pemimpin utama mereka, Anwar yang berjiwa kertas dan Azmin yang berhati tisu. Kedua-duanya nipis dan senang koyak. Perangai merajuk dan bergaduh umpama kanak-kanak bawah umur walaupun masing-masing dah bercucu. 

Walaupun PKR sebagai pemegang kerusi parlimen terbanyak dalam PH, tiada jaminan PKR akan kekal selamanya begitu. Sampah-sampah yang mereka sapu ke bawah karpet semakin meninggi. Sampah busuk itu hanya menunggu masa saja untuk melimpah keluar. Mungkin dah tak lama..

Kita nantikan hasil dapatan perhimpunan 'Majlis Makan Malam' kumpulan pro Azmin nanti...

Tuesday, 26 November 2019

KISAH DONGENG KATAK PAKATAN DAN BUAYA HARAPAN


1. Suatu ketika di tebing sebuah sungai setelah hujan lebat, seekor katak termanggu-manggu mencari jalan mahu menyeberang. Di seberang sungai tersebut, ada sesuatu yang boleh menjadikan katak tersebut seekor katak yang sangat berkuasa. Namun halangan yang katak itu perlu tempuhi adalah arus sungai yang sangat kuat. Katak tahu tidak mampu menyeberang tanpa bantuan namun perlu segera menyeberang sebelum ada katak lain yang mendahuluinya untuk menjadi pemimpin di seberang sana.

2. Di saat katak tersebut buntu memikirkan jalan untuk menyeberang dengan segera, muncul seekor buaya menawarkan bantuan. Katak pada mulanya ragu-ragu kerana tahu perangai buaya namun bersetuju setelah buaya itu mengalirkan air mata tanda sudah insaf.  Buaya tersebut berjanji akan membawa katak tersebut menyeberang dan tentunya buaya itu akan menbantu menjadikan katak tersebut seekor pemimpin di seberang sungai. Katak tersebut seperti 'orang mengantuk disorongkan bantal', terus saja menerima pelawaan sang buaya.

3. Setelah sang buaya berjaya mengharungi kawasan paling bahaya di tengah sungai dan tebing seberang sana semakin jelas kelihatan, tiba-tiba sang buaya memusingkan badannya dan katak tersebut jatuh dari badan buaya. Buaya segera menerkam katak tersebut lalu menggigit katak tersebut untuk memakannya. Alangkah terkejutnya sang katak, lalu bertanya kepada sang buaya, mengapa sang buaya mungkir janji membawanya ke seberang. Buaya menerangkan, memang lumrah buaya memakan katak dan ianya memang tidak pernah berubah.

4. Lalu matilah sang katak dibaham sang buaya. Impian sang katak untuk menjadi pemimpin di seberang sana turut berkubur bersama jasadnya yang ditelan buaya.

Sesuatu yang katak lupa, buaya adalah raja di sungai. Buaya akan menggunakan apa saja taktik untuk melemah dan menyerang lawan. Seekor buaya boleh terapung keras dan dilihat seperti tunggul kayu mati. Setelah mangsa semakin dekat, buaya akan bertindak. Buaya juga boleh menyelam dan mengendap dan menyerang mangsanya dari dalam air, kerana itu ada pepatah 'air tenang jangan disangka tiada buaya'. Ini memang lumrah buaya.

5. Akan tetapi, yang lebih menarik, mengapa sang katak tetap juga mahu percaya kepada buaya. Bukan katak tidak tahu buaya ini sifatnya memburu. Apa juga makhluk yang waras, akan berhati-hati dengan sang pemburu. Lumrahnya tiada makhluk yang mahu mendekati buaya kerana sifatnya yang ganas. Maka itulah buaya menggunakan pelbagai taktik dan penyamaran untuk mendekati mangsa.

Dalam cerita ini, buaya tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Memang buaya itu ganas dan bersifat pemburu. Katak pula dalam impiannya menjadi ketua di seberang sungai, langsung tidak menghindari sang buaya. Malah terpesona dan menerima pelawaan bantuan sang buaya walaupun tahu lumrah buaya itu pemburu dan akhirnya menjadi mangsa atas kesilapan sendiri.

Moralnya, jangan sesekali menjadi katak dan juga jangan sesekali percaya dengan air mata buaya, terutama buaya darat.....

Monday, 11 November 2019

PRK TANJUNG PIAI: RAHSIA DAP PECAH, 'HARIMAU KERTAS' BERTINDAK BALAS.

1. Kemuncak kempen di Tanjung Piai tentunya dengan kehadiran Perdana Menteri ke 7 merangkap Penasihat Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan selepas PRU 14 tahun lepas. Tentunya kehadiran Tun Mahathir ke Tanjung Piai nanti akan dihiasi dengan 'lautan' manusia bagi memberi gambaran Perdana Menteri ke 7 ini masih mendapat sokongan, sekurang-kurangnya dari komponen PH walaupun bayangan jelas menyatakan Tun Mahathir telah kehilangan 'sentuhan' sebagai ketua dalam beberapa PRK yang lepas. Akibatnya, DAP tewas di Cameron Highlands dan PPBM tewas di Semenyih. PKR juga turut  terkena tempias lalu tewas di Rantau walaupun tanpa kehadiran Tun Mahathir.

2. Di sebalik jangkaan lautan manusia bakal membanjiri Terminal bas di Tanjung Piai nanti bagi menggambarkan sokongan, realitinya Tun Mahathir seolah-olah 'berseorangan' dan kesepian meniti perjalanan sebagai Perdana Menteri di pusingan kedua ini. Lihat sahaja bagaimana Mahathir kini. Telah ada cakap-cakap dari komponen atau elemen PH yang mengatakan demikian. "Mahathir masih tidak berubah", memerintah mengikut kehendaknya sendiri. Malah ahli dari DAP (komponen PH), Ronnie Liew mengatakan Mahathir hanyalah seekor 'harimau kertas'. Namun tiada tindakan keras dari DAP, yang ada hanya kata-kata retorik NATO (no action, talk only) yang konon mahu mengambil tindakan.

3. Mahathir tentunya terguris dengan gelaran harimau kertas. Mungkin juga atas sebab mahu membalas dendam terhadap DAP, PPBM tidak mengambil tindakan ke atas MB Perak kerana 'memecahkan rahsia' DAP adalah musuh utama kepada orang melayu dan umat islam di Malaysia. Mengenali Mahathir, apabila beliau menggunakan alasan-alasan bodoh mempertahankan sesuatu, tujuan utama sebenarnya adalah untuk menyakitkan hati pihak lawan. Kali ini adakah Mahathir mahu menyakitkan hati dan membalas dendam kepada DAP yang tidak mengambil mengambil tidakan susulan kepada ahlinya yang menggelar beliau harimau kertas? Tidak mustahil MB Perak mendapat sokongan Mahathir secara diam sebagaimana DAP menyokong Ronnie Liew secara diam. MB Perak tampil mempertahankan kenyataannya biarpun pada mula kelihatan agak goyah bila diasak DAP.

4. Pemimpin lain dalam PPBM tampil memberi kenyataan 'selamat' dalam isu MB Perak. AMANAH diam sahaja dan ianya bukan kali pertama bila ada isu melibatkan DAP. PKR  pula tumpang sekaki menghentam MB Perak dan mungkin PPBM? Tidak mustahil Anwar Ibrahim di belakang PKR Perak yang menghentam MB Perak. DAP bangkit menyanggah MB Perak melalui pemimpin nombor wahid mereka Lim Guan Eng apabila mengatakan MB Perak bercakap tidak seperti 'kawan' apabila 'memecahkan' rahsia DAP adalah musuh umat islam dan melayu di Malaysia. Lim Kit Siang pula menggelabah cuba menyapu kotoran DAP-PPBM ke bawah karpet dengan menyeru supaya hal ini dibincang selepas berakhirnya PRK Tanjung Piai.

5. Keadaan caca marba sesama Pakatan Harapan ini bukan kali pertama berlaku. Di sebalik kenyataan pimpinan PH untuk 'cover line' atau mengalihkan isu, hal-hal sebegini  (pertelingkahan sesama mereka) sering terjadi. Yang lebih menarik, ianya berlaku walaupun PH merancang dan berbuat sebaik mungkin konon mahu menunjukkan perpaduan mereka. Setiap kali mahu tunjukkan perpaduan, setiap kali itulah timbul isu yang menunjukkan mereka tiada perpaduan mahupun kesatuan. Tentunya ini terjadi kerana mereka tiada agenda bersama yang jelas. Pakatan Harapan adalah gabungan 'longgar', tiada polisi bersama yang membentuk kesatuan. Yang lebih utama bagi mereka adalah agenda masing-masing demi memelihara tembolok mereka sahaja.

6. Kerana itu, di saat rakyat sedang menderita kenaikan kos sara hidup, pemimpin mereka boleh pula mengatakan orang kampung perlu bersyukur, tiada apa yang nak dibelanjakan sangat jika hidup sebagai orang kampung. Seorang pemimpin PH pula pusing-pusing cakap seolah-olah mengugut kakitangan kerajaan supaya memilih parti yang boleh membayar gaji kakitangan kerajaan. Seorang pemimpin PH yang lain pula bercakap tentang isu moral sedangkan 'ekor' beliau sendiri penuh bergelumang 'tahi'. Lebih parah, beliau menjanjikan Tanjung Piai sebagai koridor ekonomi baharu sedangkan kawasan tersebut telah sedia ada dalam pembangunan koridor sekarang. Inilah akibatnya apabila mereka tiada polisi bersama yang jelas bagi membentuk kesatuan sesama mereka.

7. Di atas kertas, telah nampak pertelagahan sesama mereka. PKR tidak mahu PPBM menang kerana ia boleh menguatkan moral PPBM yang dilanda krisis ketika ini. PKR sebagai komponen paling besar PH mahu mengirim 'signal' bahawa Mahathir adalah liabiliti kepada parti tersebut dan mahu PPBM segera mengangkat Presiden parti mereka sebagai ketua sebenar. Kemenangan PPBM boleh merencatkan peluang Presiden PKR menjadi Perdana Menteri. DAP pula sebagai komponen kedua terbesar di dalam PH, tentu sahaja mahu membalas dendam terhadap PPBM kerana telah 'memecah serta mengesahkan' rahsia DAP adalah musuh kepada umat islam dan melayu di Malaysia. Ini tentunya menghalang cita-cita "Malaysian Malaysia" yang teguh menjadi polisi DAP dari dahulu hingga sekarang. Oleh itu, PPBM tidak boleh menang di Tanjung Piai kerana DAP mahu mengajar PPBM yang hanya ada 21 kerusi sekarang, merangkumi yang melompat masuk.

Jelas, jika mereka sendiri tidak mahu PPBM menang di Tanjung Piai, kita perlu menyokong mereka. Selain dari itu, kita juga tentu punya alasan tersendiri mengapa kita tidak mahu PH menang di Tanjung Piai. Pilihlah dengan bijak, bukan dengan kerbau yang membajak yang boleh merempuh apa sahaja sehingga menyebabkan banyak kerosakan.....