Saturday, 2 February 2019

AES : ANTARA PH, MAHFUZ DAN LAWAK 'MR. BEAN'

1. Episod AES adalah ulangan sketsa lawak bodoh dari kerajaan PH. Dahulu siap ada Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dipengerusikan Datuk Mahfuz Omar. Rakyat dihasut agar tidak membayar saman AES yang kononnya membebankan rakyat. Siap berdemo dan buat 'flash mob' di tepi jalan membantah AES.

 2. Lanjutan itu, PH dalam manifesto mereka menampilkan janji manis mahu menghapuskan Automated Enforcement System (AES) yang menjadi kemarahan pengguna jalanraya terhadap pemerintahan BN sebelum PRU ke 14.

 3. Kini PH telah pun menjadi kerajaan. Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar pun telah menjadi Timbalan Menteri. Tidak pula kedengaran suara dan aksi 'guling-guling' Datuk Mahfuz dan rakan-rakan membantah peguatkuasaan AES seperti yang telah diumumkan Menteri Pengangkutan kerajaan PH baru-baru ini. Bila di "troll" DS Najib, tahu pula malu terkata. 

4. Untuk 'damage control' dan acah-acah macho, Mahfuz hanya mampu mengalih isu dan perhatian mengatakan tidak mahu melayan orang kecewa seperti DS Najib. Namun isu pokok (penguatkuasaan AES) tidak pula dijawab oleh beliau yang menentang keras penguatkuasaan AES suatu masa dahulu. Mahfuz hanya mampu menjilat ludahnya sendiri di zaman kerajaan PH. Janji menghapuskan AES juga telah dicapati oleh kerajaan PH.

 5. Bukan sahaja janji dicapati, bilangan kamera AES telah ditambah dari sebelumnya. Tidak cukup dengan itu, kos bagi sebuah kamera juga melebihi kos seunit dari zaman BN. Tidak cukup lagi, ditambah pula beban kepada pengguna jalanraya. Menteri dengan angkuh serta bongkak menjawab "No discount, I don't care" bila mengulas isu diskaun saman AES.

 6. Jika keadaan ini berlaku di zaman Mahfuz dan Anthony Loke menjadi pembangkang, pasti berbakul-bakul makian kepada kerajaan. Pasti juga timbul tohmahan mengatakan kerajaan merompak duit rakyat dengan saman tersebut. Akan ada juga kedengaran yang Malaysia dah bankrap, duit dah habis, maka terpaksa kutip dari rakyat. Kerajaan zalim dan macam-macam lagi.

 7. Kini boleh pula jilat ludah mereka sendiri kembali. Boleh pula kata AES ini bertujuan mendidik masyarakat serta mahu mengurangkan kadar kemalangan jalanraya. Inilah tujuan kerajaan terdahulu melaksanakan AES tetapi dengan kos yang lebih murah. Apabila PH buat benda yang sama, kos telah meningkat pula. Hairan bin ajaib jadinya.

 8. Inilah kerajaan HARAPAN yang tidak boleh diharap. Janji yang mereka sendiri tabur, mereka sendiri yang khianati. Adegan kerajaan PH kini seperti siri 'Mr. Bean' di kaca TV yang menampilkan cerita lawak yang berulang-ulang. Jalan lawaknya tetap sama, cuma penceritaan yang berbeza. Siri 'Mr. Bean' juga tiada cerita baharu, hanya cerita lama diulang tayang di kaca-kaca TV.

 9. Begitu juga kerajaan PH, sentiasa menampilkan lawak bodoh yang berulang-ulang. Cuma subjek lawak sahaja yang berbeza. Tiada pelan baru yang konkrit dalam pembangunan negara. Hanya mengulangi apa yang telah dibuat oleh kerajaan dahulu atau tukar nama sahaja. 

 10. Akan tiba masanya rakyat akan bosan dengan kerajaan seperti ini, seperti mana ada penonton yang merasa bosan menonton 'Mr. Bean' yang telah ditonton lalu segera menukar siaran. Begitu juga harapan kebanyakan rakyat Malaysia, kerajaan ini perlu ditukar bila sampai waktunya dan kita amat berharap waktu itu akan segera tiba....

No comments:

Post a Comment