Wednesday, 25 April 2018

JANGAN DILUKAI HATI PARA PEJUANG TANAHAIR

1. Nama Shamsiah Fakeh tiba-tiba muncul di sebalik kehangatan kempen PRU 14. Promosi ideologi Shamsiah Fakeh dibawa seorang calon yang bakal menyertai PRU kali ini. Bakal calon tersebut hanyalah seorang yang biasa sahaja. Tidak dikenali ramai malahan tempat kelahirannya juga didakwa dari Tanah Besar China? Tapi apabila menggunakan nama nenek beliau bagi mempromosi diri, nampaklah dirinya hebat di mata penyokong-penyokong atau mereka yang sealiran dengannya. Promosi diri semasa PRU menuntut kreativiti parti dan calon bagi meningkatkan sokongan.

2. Namun di sebalik keghairahan parti dan calon membuat promosi, jangan sekali-kali kita melanggar batasan dengan mengagung-agungkan ideologi komunis yang pernah menjadi ‘mimpi ngeri’ dalam sejarah pembangunan negara. Shamsiah Fakeh adalah pejuang komunis. Beliau memilih menyarung seragam bintang tiga serta mengangkat senjata mengkhianati negaranya sendiri dari dalam hutan. Jutaan rakyat Malaysia menderita hasil ideologi dan perjuangan komunis seperti Shamsiah Fakeh. Mereka membunuh, membakar, menyiksa sesiapa sahja yang tidak menyokong mereka. Ramai yang menjadi balu, yatim piatu, kehilangan saudara-mara dan segalanya.

3. Saya tidak pernah masuk ke hutan memburu pengganas komunis. Saya hanya anak kepada seorang tentera yang masuk ke hutan memburu komunis. Kehidupan dalam kem tentera banyak mengajar saya memahami penderitaan keluarga yang ditinggalkan para pejuang negara. Hanya doa dan harapan keluarga mengiringi mereka setiap kali keberangkatan operasi memburu komunis, agar kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat dan sempurna tubuh badan. Namun takdir penentu segalanya. Ada yang pulang dengan selamat. Ada yang pulang dengan berlumuran darah, kehilangan kaki, cedera di mata, tangan serta seluruh anggota badan. Yang lebih tragis, kepulangan pejuang negara ini disambut dengan tangisan ahli keluarga serta sahabat handai kerana gugur di tangan pengganas KOMUNIS !!!

4. Shamsiah Fakeh lari meninggalkan Malaysia setelah perjuangannya kalah hasil pengorbanan anggota keselamatan dan para pejuang. Ianya tidak mudah dan kejayaan ini tentunya menuntut pengorbanan darah dan airmata semua pejuang tanahair serta keluarga mereka. Berpolitiklah dengan menghargai perjuangan semua pejuang tanahair kita. Nikmatilah keamanan kita hari ini dengan rasa syukur dan tawadhu’. Usahlah diagung-agungkan personaliti yang pernah memusnahkan negara suatu masa dahulu. Jangan dihiris dan dilukai hati para pejuang ini. Mereka tidak mengharapkan pujian serta balasan. Cukuplah dengan tindakan kita tidak ‘menghidupkan’ komunis yang pernah mereka hapuskan suatu masa lalu.

Sekian.

Anuar Shaari
Waris kepada 
15664 PW II Shaari Sudin (B)
Bekas anggota Rejimen Gerakhas Malaysia.

No comments:

Post a Comment