1. Suatu ketika di tebing sebuah sungai setelah hujan lebat, seekor katak termanggu-manggu mencari jalan mahu menyeberang. Di seberang sungai tersebut, ada sesuatu yang boleh menjadikan katak tersebut seekor katak yang sangat berkuasa. Namun halangan yang katak itu perlu tempuhi adalah arus sungai yang sangat kuat. Katak tahu tidak mampu menyeberang tanpa bantuan namun perlu segera menyeberang sebelum ada katak lain yang mendahuluinya untuk menjadi pemimpin di seberang sana.
2. Di saat katak tersebut buntu memikirkan jalan untuk menyeberang dengan segera, muncul seekor buaya menawarkan bantuan. Katak pada mulanya ragu-ragu kerana tahu perangai buaya namun bersetuju setelah buaya itu mengalirkan air mata tanda sudah insaf. Buaya tersebut berjanji akan membawa katak tersebut menyeberang dan tentunya buaya itu akan menbantu menjadikan katak tersebut seekor pemimpin di seberang sungai. Katak tersebut seperti 'orang mengantuk disorongkan bantal', terus saja menerima pelawaan sang buaya.
3. Setelah sang buaya berjaya mengharungi kawasan paling bahaya di tengah sungai dan tebing seberang sana semakin jelas kelihatan, tiba-tiba sang buaya memusingkan badannya dan katak tersebut jatuh dari badan buaya. Buaya segera menerkam katak tersebut lalu menggigit katak tersebut untuk memakannya. Alangkah terkejutnya sang katak, lalu bertanya kepada sang buaya, mengapa sang buaya mungkir janji membawanya ke seberang. Buaya menerangkan, memang lumrah buaya memakan katak dan ianya memang tidak pernah berubah.
4. Lalu matilah sang katak dibaham sang buaya. Impian sang katak untuk menjadi pemimpin di seberang sana turut berkubur bersama jasadnya yang ditelan buaya.
Sesuatu yang katak lupa, buaya adalah raja di sungai. Buaya akan menggunakan apa saja taktik untuk melemah dan menyerang lawan. Seekor buaya boleh terapung keras dan dilihat seperti tunggul kayu mati. Setelah mangsa semakin dekat, buaya akan bertindak. Buaya juga boleh menyelam dan mengendap dan menyerang mangsanya dari dalam air, kerana itu ada pepatah 'air tenang jangan disangka tiada buaya'. Ini memang lumrah buaya.
5. Akan tetapi, yang lebih menarik, mengapa sang katak tetap juga mahu percaya kepada buaya. Bukan katak tidak tahu buaya ini sifatnya memburu. Apa juga makhluk yang waras, akan berhati-hati dengan sang pemburu. Lumrahnya tiada makhluk yang mahu mendekati buaya kerana sifatnya yang ganas. Maka itulah buaya menggunakan pelbagai taktik dan penyamaran untuk mendekati mangsa.
Dalam cerita ini, buaya tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Memang buaya itu ganas dan bersifat pemburu. Katak pula dalam impiannya menjadi ketua di seberang sungai, langsung tidak menghindari sang buaya. Malah terpesona dan menerima pelawaan bantuan sang buaya walaupun tahu lumrah buaya itu pemburu dan akhirnya menjadi mangsa atas kesilapan sendiri.
Moralnya, jangan sesekali menjadi katak dan juga jangan sesekali percaya dengan air mata buaya, terutama buaya darat.....