1. Kemuncak kempen di Tanjung Piai tentunya dengan kehadiran Perdana Menteri ke 7 merangkap Penasihat Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan selepas PRU 14 tahun lepas. Tentunya kehadiran Tun Mahathir ke Tanjung Piai nanti akan dihiasi dengan 'lautan' manusia bagi memberi gambaran Perdana Menteri ke 7 ini masih mendapat sokongan, sekurang-kurangnya dari komponen PH walaupun bayangan jelas menyatakan Tun Mahathir telah kehilangan 'sentuhan' sebagai ketua dalam beberapa PRK yang lepas. Akibatnya, DAP tewas di Cameron Highlands dan PPBM tewas di Semenyih. PKR juga turut terkena tempias lalu tewas di Rantau walaupun tanpa kehadiran Tun Mahathir.
2. Di sebalik jangkaan lautan manusia bakal membanjiri Terminal bas di Tanjung Piai nanti bagi menggambarkan sokongan, realitinya Tun Mahathir seolah-olah 'berseorangan' dan kesepian meniti perjalanan sebagai Perdana Menteri di pusingan kedua ini. Lihat sahaja bagaimana Mahathir kini. Telah ada cakap-cakap dari komponen atau elemen PH yang mengatakan demikian. "Mahathir masih tidak berubah", memerintah mengikut kehendaknya sendiri. Malah ahli dari DAP (komponen PH), Ronnie Liew mengatakan Mahathir hanyalah seekor 'harimau kertas'. Namun tiada tindakan keras dari DAP, yang ada hanya kata-kata retorik NATO (no action, talk only) yang konon mahu mengambil tindakan.
3. Mahathir tentunya terguris dengan gelaran harimau kertas. Mungkin juga atas sebab mahu membalas dendam terhadap DAP, PPBM tidak mengambil tindakan ke atas MB Perak kerana 'memecahkan rahsia' DAP adalah musuh utama kepada orang melayu dan umat islam di Malaysia. Mengenali Mahathir, apabila beliau menggunakan alasan-alasan bodoh mempertahankan sesuatu, tujuan utama sebenarnya adalah untuk menyakitkan hati pihak lawan. Kali ini adakah Mahathir mahu menyakitkan hati dan membalas dendam kepada DAP yang tidak mengambil mengambil tidakan susulan kepada ahlinya yang menggelar beliau harimau kertas? Tidak mustahil MB Perak mendapat sokongan Mahathir secara diam sebagaimana DAP menyokong Ronnie Liew secara diam. MB Perak tampil mempertahankan kenyataannya biarpun pada mula kelihatan agak goyah bila diasak DAP.
4. Pemimpin lain dalam PPBM tampil memberi kenyataan 'selamat' dalam isu MB Perak. AMANAH diam sahaja dan ianya bukan kali pertama bila ada isu melibatkan DAP. PKR pula tumpang sekaki menghentam MB Perak dan mungkin PPBM? Tidak mustahil Anwar Ibrahim di belakang PKR Perak yang menghentam MB Perak. DAP bangkit menyanggah MB Perak melalui pemimpin nombor wahid mereka Lim Guan Eng apabila mengatakan MB Perak bercakap tidak seperti 'kawan' apabila 'memecahkan' rahsia DAP adalah musuh umat islam dan melayu di Malaysia. Lim Kit Siang pula menggelabah cuba menyapu kotoran DAP-PPBM ke bawah karpet dengan menyeru supaya hal ini dibincang selepas berakhirnya PRK Tanjung Piai.
5. Keadaan caca marba sesama Pakatan Harapan ini bukan kali pertama berlaku. Di sebalik kenyataan pimpinan PH untuk 'cover line' atau mengalihkan isu, hal-hal sebegini (pertelingkahan sesama mereka) sering terjadi. Yang lebih menarik, ianya berlaku walaupun PH merancang dan berbuat sebaik mungkin konon mahu menunjukkan perpaduan mereka. Setiap kali mahu tunjukkan perpaduan, setiap kali itulah timbul isu yang menunjukkan mereka tiada perpaduan mahupun kesatuan. Tentunya ini terjadi kerana mereka tiada agenda bersama yang jelas. Pakatan Harapan adalah gabungan 'longgar', tiada polisi bersama yang membentuk kesatuan. Yang lebih utama bagi mereka adalah agenda masing-masing demi memelihara tembolok mereka sahaja.
6. Kerana itu, di saat rakyat sedang menderita kenaikan kos sara hidup, pemimpin mereka boleh pula mengatakan orang kampung perlu bersyukur, tiada apa yang nak dibelanjakan sangat jika hidup sebagai orang kampung. Seorang pemimpin PH pula pusing-pusing cakap seolah-olah mengugut kakitangan kerajaan supaya memilih parti yang boleh membayar gaji kakitangan kerajaan. Seorang pemimpin PH yang lain pula bercakap tentang isu moral sedangkan 'ekor' beliau sendiri penuh bergelumang 'tahi'. Lebih parah, beliau menjanjikan Tanjung Piai sebagai koridor ekonomi baharu sedangkan kawasan tersebut telah sedia ada dalam pembangunan koridor sekarang. Inilah akibatnya apabila mereka tiada polisi bersama yang jelas bagi membentuk kesatuan sesama mereka.
7. Di atas kertas, telah nampak pertelagahan sesama mereka. PKR tidak mahu PPBM menang kerana ia boleh menguatkan moral PPBM yang dilanda krisis ketika ini. PKR sebagai komponen paling besar PH mahu mengirim 'signal' bahawa Mahathir adalah liabiliti kepada parti tersebut dan mahu PPBM segera mengangkat Presiden parti mereka sebagai ketua sebenar. Kemenangan PPBM boleh merencatkan peluang Presiden PKR menjadi Perdana Menteri. DAP pula sebagai komponen kedua terbesar di dalam PH, tentu sahaja mahu membalas dendam terhadap PPBM kerana telah 'memecah serta mengesahkan' rahsia DAP adalah musuh kepada umat islam dan melayu di Malaysia. Ini tentunya menghalang cita-cita "Malaysian Malaysia" yang teguh menjadi polisi DAP dari dahulu hingga sekarang. Oleh itu, PPBM tidak boleh menang di Tanjung Piai kerana DAP mahu mengajar PPBM yang hanya ada 21 kerusi sekarang, merangkumi yang melompat masuk.
Jelas, jika mereka sendiri tidak mahu PPBM menang di Tanjung Piai, kita perlu menyokong mereka. Selain dari itu, kita juga tentu punya alasan tersendiri mengapa kita tidak mahu PH menang di Tanjung Piai. Pilihlah dengan bijak, bukan dengan kerbau yang membajak yang boleh merempuh apa sahaja sehingga menyebabkan banyak kerosakan.....
No comments:
Post a Comment