Tuesday, 26 November 2019

KISAH DONGENG KATAK PAKATAN DAN BUAYA HARAPAN


1. Suatu ketika di tebing sebuah sungai setelah hujan lebat, seekor katak termanggu-manggu mencari jalan mahu menyeberang. Di seberang sungai tersebut, ada sesuatu yang boleh menjadikan katak tersebut seekor katak yang sangat berkuasa. Namun halangan yang katak itu perlu tempuhi adalah arus sungai yang sangat kuat. Katak tahu tidak mampu menyeberang tanpa bantuan namun perlu segera menyeberang sebelum ada katak lain yang mendahuluinya untuk menjadi pemimpin di seberang sana.

2. Di saat katak tersebut buntu memikirkan jalan untuk menyeberang dengan segera, muncul seekor buaya menawarkan bantuan. Katak pada mulanya ragu-ragu kerana tahu perangai buaya namun bersetuju setelah buaya itu mengalirkan air mata tanda sudah insaf.  Buaya tersebut berjanji akan membawa katak tersebut menyeberang dan tentunya buaya itu akan menbantu menjadikan katak tersebut seekor pemimpin di seberang sungai. Katak tersebut seperti 'orang mengantuk disorongkan bantal', terus saja menerima pelawaan sang buaya.

3. Setelah sang buaya berjaya mengharungi kawasan paling bahaya di tengah sungai dan tebing seberang sana semakin jelas kelihatan, tiba-tiba sang buaya memusingkan badannya dan katak tersebut jatuh dari badan buaya. Buaya segera menerkam katak tersebut lalu menggigit katak tersebut untuk memakannya. Alangkah terkejutnya sang katak, lalu bertanya kepada sang buaya, mengapa sang buaya mungkir janji membawanya ke seberang. Buaya menerangkan, memang lumrah buaya memakan katak dan ianya memang tidak pernah berubah.

4. Lalu matilah sang katak dibaham sang buaya. Impian sang katak untuk menjadi pemimpin di seberang sana turut berkubur bersama jasadnya yang ditelan buaya.

Sesuatu yang katak lupa, buaya adalah raja di sungai. Buaya akan menggunakan apa saja taktik untuk melemah dan menyerang lawan. Seekor buaya boleh terapung keras dan dilihat seperti tunggul kayu mati. Setelah mangsa semakin dekat, buaya akan bertindak. Buaya juga boleh menyelam dan mengendap dan menyerang mangsanya dari dalam air, kerana itu ada pepatah 'air tenang jangan disangka tiada buaya'. Ini memang lumrah buaya.

5. Akan tetapi, yang lebih menarik, mengapa sang katak tetap juga mahu percaya kepada buaya. Bukan katak tidak tahu buaya ini sifatnya memburu. Apa juga makhluk yang waras, akan berhati-hati dengan sang pemburu. Lumrahnya tiada makhluk yang mahu mendekati buaya kerana sifatnya yang ganas. Maka itulah buaya menggunakan pelbagai taktik dan penyamaran untuk mendekati mangsa.

Dalam cerita ini, buaya tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya. Memang buaya itu ganas dan bersifat pemburu. Katak pula dalam impiannya menjadi ketua di seberang sungai, langsung tidak menghindari sang buaya. Malah terpesona dan menerima pelawaan bantuan sang buaya walaupun tahu lumrah buaya itu pemburu dan akhirnya menjadi mangsa atas kesilapan sendiri.

Moralnya, jangan sesekali menjadi katak dan juga jangan sesekali percaya dengan air mata buaya, terutama buaya darat.....

Monday, 11 November 2019

PRK TANJUNG PIAI: RAHSIA DAP PECAH, 'HARIMAU KERTAS' BERTINDAK BALAS.

1. Kemuncak kempen di Tanjung Piai tentunya dengan kehadiran Perdana Menteri ke 7 merangkap Penasihat Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan selepas PRU 14 tahun lepas. Tentunya kehadiran Tun Mahathir ke Tanjung Piai nanti akan dihiasi dengan 'lautan' manusia bagi memberi gambaran Perdana Menteri ke 7 ini masih mendapat sokongan, sekurang-kurangnya dari komponen PH walaupun bayangan jelas menyatakan Tun Mahathir telah kehilangan 'sentuhan' sebagai ketua dalam beberapa PRK yang lepas. Akibatnya, DAP tewas di Cameron Highlands dan PPBM tewas di Semenyih. PKR juga turut  terkena tempias lalu tewas di Rantau walaupun tanpa kehadiran Tun Mahathir.

2. Di sebalik jangkaan lautan manusia bakal membanjiri Terminal bas di Tanjung Piai nanti bagi menggambarkan sokongan, realitinya Tun Mahathir seolah-olah 'berseorangan' dan kesepian meniti perjalanan sebagai Perdana Menteri di pusingan kedua ini. Lihat sahaja bagaimana Mahathir kini. Telah ada cakap-cakap dari komponen atau elemen PH yang mengatakan demikian. "Mahathir masih tidak berubah", memerintah mengikut kehendaknya sendiri. Malah ahli dari DAP (komponen PH), Ronnie Liew mengatakan Mahathir hanyalah seekor 'harimau kertas'. Namun tiada tindakan keras dari DAP, yang ada hanya kata-kata retorik NATO (no action, talk only) yang konon mahu mengambil tindakan.

3. Mahathir tentunya terguris dengan gelaran harimau kertas. Mungkin juga atas sebab mahu membalas dendam terhadap DAP, PPBM tidak mengambil tindakan ke atas MB Perak kerana 'memecahkan rahsia' DAP adalah musuh utama kepada orang melayu dan umat islam di Malaysia. Mengenali Mahathir, apabila beliau menggunakan alasan-alasan bodoh mempertahankan sesuatu, tujuan utama sebenarnya adalah untuk menyakitkan hati pihak lawan. Kali ini adakah Mahathir mahu menyakitkan hati dan membalas dendam kepada DAP yang tidak mengambil mengambil tidakan susulan kepada ahlinya yang menggelar beliau harimau kertas? Tidak mustahil MB Perak mendapat sokongan Mahathir secara diam sebagaimana DAP menyokong Ronnie Liew secara diam. MB Perak tampil mempertahankan kenyataannya biarpun pada mula kelihatan agak goyah bila diasak DAP.

4. Pemimpin lain dalam PPBM tampil memberi kenyataan 'selamat' dalam isu MB Perak. AMANAH diam sahaja dan ianya bukan kali pertama bila ada isu melibatkan DAP. PKR  pula tumpang sekaki menghentam MB Perak dan mungkin PPBM? Tidak mustahil Anwar Ibrahim di belakang PKR Perak yang menghentam MB Perak. DAP bangkit menyanggah MB Perak melalui pemimpin nombor wahid mereka Lim Guan Eng apabila mengatakan MB Perak bercakap tidak seperti 'kawan' apabila 'memecahkan' rahsia DAP adalah musuh umat islam dan melayu di Malaysia. Lim Kit Siang pula menggelabah cuba menyapu kotoran DAP-PPBM ke bawah karpet dengan menyeru supaya hal ini dibincang selepas berakhirnya PRK Tanjung Piai.

5. Keadaan caca marba sesama Pakatan Harapan ini bukan kali pertama berlaku. Di sebalik kenyataan pimpinan PH untuk 'cover line' atau mengalihkan isu, hal-hal sebegini  (pertelingkahan sesama mereka) sering terjadi. Yang lebih menarik, ianya berlaku walaupun PH merancang dan berbuat sebaik mungkin konon mahu menunjukkan perpaduan mereka. Setiap kali mahu tunjukkan perpaduan, setiap kali itulah timbul isu yang menunjukkan mereka tiada perpaduan mahupun kesatuan. Tentunya ini terjadi kerana mereka tiada agenda bersama yang jelas. Pakatan Harapan adalah gabungan 'longgar', tiada polisi bersama yang membentuk kesatuan. Yang lebih utama bagi mereka adalah agenda masing-masing demi memelihara tembolok mereka sahaja.

6. Kerana itu, di saat rakyat sedang menderita kenaikan kos sara hidup, pemimpin mereka boleh pula mengatakan orang kampung perlu bersyukur, tiada apa yang nak dibelanjakan sangat jika hidup sebagai orang kampung. Seorang pemimpin PH pula pusing-pusing cakap seolah-olah mengugut kakitangan kerajaan supaya memilih parti yang boleh membayar gaji kakitangan kerajaan. Seorang pemimpin PH yang lain pula bercakap tentang isu moral sedangkan 'ekor' beliau sendiri penuh bergelumang 'tahi'. Lebih parah, beliau menjanjikan Tanjung Piai sebagai koridor ekonomi baharu sedangkan kawasan tersebut telah sedia ada dalam pembangunan koridor sekarang. Inilah akibatnya apabila mereka tiada polisi bersama yang jelas bagi membentuk kesatuan sesama mereka.

7. Di atas kertas, telah nampak pertelagahan sesama mereka. PKR tidak mahu PPBM menang kerana ia boleh menguatkan moral PPBM yang dilanda krisis ketika ini. PKR sebagai komponen paling besar PH mahu mengirim 'signal' bahawa Mahathir adalah liabiliti kepada parti tersebut dan mahu PPBM segera mengangkat Presiden parti mereka sebagai ketua sebenar. Kemenangan PPBM boleh merencatkan peluang Presiden PKR menjadi Perdana Menteri. DAP pula sebagai komponen kedua terbesar di dalam PH, tentu sahaja mahu membalas dendam terhadap PPBM kerana telah 'memecah serta mengesahkan' rahsia DAP adalah musuh kepada umat islam dan melayu di Malaysia. Ini tentunya menghalang cita-cita "Malaysian Malaysia" yang teguh menjadi polisi DAP dari dahulu hingga sekarang. Oleh itu, PPBM tidak boleh menang di Tanjung Piai kerana DAP mahu mengajar PPBM yang hanya ada 21 kerusi sekarang, merangkumi yang melompat masuk.

Jelas, jika mereka sendiri tidak mahu PPBM menang di Tanjung Piai, kita perlu menyokong mereka. Selain dari itu, kita juga tentu punya alasan tersendiri mengapa kita tidak mahu PH menang di Tanjung Piai. Pilihlah dengan bijak, bukan dengan kerbau yang membajak yang boleh merempuh apa sahaja sehingga menyebabkan banyak kerosakan.....