Tuesday, 5 February 2019

AZMIN TPM? APAKAH MALAYSIA BAKAL DILANDA KRISIS LAGI?

1. Jika benar Wan Azizah mahu digantikan sebagai TPM, beliau akan menjadi TPM paling singkat dan juga timbalan yang paling awal gugur ditangan Mahathir di pusingan kedua Mahathir menjadi PM. Jika benar bagai dilapor, Dr. Mahathir bakal mencipta satu lagi 'krisis' dengan tindakan beliau itu.

 2. Amat malang Malaysia Baharu yang ber 'PM' kan orang lama yang gemar dengan krisis. Kita imbas kembali beberapa peristiwa ketika Tun Mahathir menjadi PM ke 4 yang menyaksikan tiga orang TPM gugur di tangan Mahathir. Ia sekadar peringatan buat panduan kita semua yang kadang-kadang lupa dengan sejarah.

 i) 1982 - Dr. Mahathir berjaya memujuk Anwar Ibrahim menyertai UMNO. Sedikit sebanyak UMNO bergolak apabila ada bantahan dalaman. PAS juga terkesan kerana ada ahli yang mengikut Anwar menyertai UMNO.
ii) 19 November 1985 - Peristiwa Memali. Nama Tun Musa Hitam dikaitkan sebagai orang yang bertanggungjawab. Namun Tun Musa kemudiannya telah mendedahkan Dr. Mahathir berada dalam negara ketika kejadian berlaku. Tun Musa juga mendakwa menghubungi Tun Mahathir bagi meminta kebenaran sebelum polis bertindak.
iii) 29 Feb 1986 - Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai TPM dan Menteri Dalam Negeri namun masih kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO. Umum mengetahui Mahathir menekan Musa Hitam agar meletakkan jawatan TPM. YB En. Ghafar Baba dilantik TPM dan krisis dalaman UMNO bermula secara terbuka.
iv) 24 April 1987 - Pertembungan sengit 'Team A' dan 'Team B' dalam UMNO. Ini adalah kemuncak strategi serampang dua mata Mahathir 'membunuh' lawannya dan melemahkan UMNO. Walaupun luarannya UMNO kembali gagah selepas pertandingan, UMNO sebenarnya lemah kerana sudah tiada semak dan imbang ketika itu. Pemimpin yang baik berjaya didiamkan oleh Mahathir.
v) 4 Feb 1988 - UMNO diharamkan oleh mahkamah. Mahathir segera menubuhkan UMNO (Baru) beberapa hari selepas itu dan menidakkan keahlian sebilangan besar pemimpin 'Team B' ke dalam UMNO (Baru). Tahun yang sama juga berlaku krisis antara badan eksekutif dan kehakiman apabila Tun Salleh Abas dipecat sebagai Ketua Hakim Negara. UMNO kekal dibawah telunjuk Mahathir tanpa semak dan imbang dari kelompok pertengahan dan bawahan UMNO.
vi) 15 Oktober 1993 - Tun Ghafar Baba meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah jumlah pencalonan sebagai Timbalan Presiden UMNO yang diperolehi beliau sangat kecil berbanding calon 'favourite' ketika itu iaitu DS Anwar Ibrahim. DS Anwar kemudiannya dilantik TPM pada Nov 93 setelah menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO sebelum itu.
vii) 2 September 1998, DS Anwar dipecat sebagai TPM  dan berikutnya sebagai Timbalan Presiden UMNO. Ini menimbulkan krisis besar dalam politik negara. DS Anwar dipukul semasa dalam tahanan dan hebahan mengenai kes liwat DS Anwar sangat memualkan.
viii) 31 Oktober 2003, Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO dan digantikan dengan Datuk Seri Abdullah Badawi ketika itu.

 3. Oleh itu, jika benar seperti berita yang ditulis Sinar Harian, ianya tidak menghairankan. Tiada apa yang baharu di zaman Malaysia Baharu ini. Yang ada hanyalah amalan lama, dari seorang pemerintah lama, di zaman yang berlainan. Mahathir gemarkan krisis dan beliau 'kuat' atas krisis.

 4. Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Yang pasti, sejarah mengesahkan memang ada TPM yang pernah disingkirkan Mahathir demi kelangsungan politik beliau. Cuma yang bersekutu dengan Mahathir sahaja sanggup membutakan mata dan memekakkan telinga dengan segala kerosakan yang telah dibuat Tun Mahathir, termasuklah TPM sekarang. 

Barangkali inilah harga yang perlu dibayar apabila berketuakan Mahathir. Ibarat kata, habis madu, sepah dibuang. Nasib Azizah barangkali sudah seperti telur di hujung tanduk. Menanti waktu untuk jatuh atau dijatuhkan. Memburukkan keadaan, hubungan sesama PH juga ibarat retak menanti belah.

 Kerajaan PH hanya sibuk berpolitik. Kesan langsung adalah kepada rakyat yang mengharapkan nasib mereka dibela. Namun ianya ianya tak kunjung tiba. Rakyat berharap dan terus berharap. Inikah Malaysia Baharu yang diharapkan?

No comments:

Post a Comment