Tuesday, 12 February 2019

MAHATHIR KIAN MENCENGKAM, BIARKAN ANWAR 'BUNUH' DIRINYA SENDIRI

1. Tun Mahathir semakin mencengkam dalam politik negara. Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi pada 11 Febuari 2019 adalah untuk meluaskan kuasa Mahathir yang menjadi Perdana Menteri tanpa apa-apa potfolio sebagai menteri.  Bagi merasionalkan langkah taktikal Mahathir, Datuk A. Kadir Jasin mengeluarkan kenyataan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi kerana Mahathir tidak berpuashati dengan prestasi barisan kabinet beliau.

2. Terma rujukan atau bidang kuasa Majlis Tindakan Ekonomi ini tidak pula diumumkan. Jika ianya beroperasi seperti Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) sebelum ini (yang ditubuh sejurus PH menubuhkan kerajaan), majlis ini adalah sangat 'berkuasa'. Semua menteri dan kementerian hanya akan bertindak melalui arahan atau kelulusan majlis ini yang dipengerusikan oleh Mahathir sendiri.

3. Sudah dua kali Timbalan Perdana Menteri dan 'bakal Perdana Menteri' diketepikan apabila Mahathir mengumumkan penubuhan majlis yang sangat 'berkuasa'. Kali pertama, Wan Azizah dan Anwar tidak tersenarai sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan. Terkini, mereka berdua juga tidak tersenarai sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi. Sebaliknya saingan Anwar dan Azizah iaitu Azmin tersenarai kali ini. Turut tersenarai ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

4. Agak meragukan apabila orang nombor dua negara tidak tersenarai di dalam majlis yang sangat penting ini. Majlis ini melibatkan halatuju ekonomi dan pembangunan negara. Begitu juga dengan 'bakal PM'. Beliau menjelajah ke serata dunia kononnya membawa pelaburan untuk Malaysia, namun Mahathir tidak melibatkan 'bakal PM' di dalam majlis yang amat penting ini. Jika mengikut logik, alangkah ruginya Mahathir tidak menggunakan manusia 'anugerah tuhan' ini dan bekas Menteri Kewangan terbaik Asia.

5. Pada 12 Febuari 2019 pula, Mahathir menerima kemasukan 6 orang ahli parlimen ke dalam PPBM secara rasmi. Ini meningkatkan jumlah kerusi PPBM di parlimen sekaligus memperkukuhkan kedudukan Mahathir. Mahathir juga menyebut persefahaman antara PPBM dan WARISAN di Sabah bukanlah satu persefahaman yang tidak boleh diubah! Ini bermakna PPBM boleh dikembangkan di Sabah dan membayangkan Mahathir boleh mendapatkan ahli parlimen dari Sabah yang tidak selesa dengan Shafie Afdal tetapi 'mesra' PPBM dan Mahathir.

6. Apabila Mahathir telah membayangkan perkara ini, kemungkinan besar ianya bakal berlaku. Mahathir tidak peduli dengan WARISAN sebagaimana beliau tidak peduli dengan bantahan sekutu PH yang lain untuk tidak menerima bekas ahli parlimen UMNO ke dalam PPBM. Nanti 'penjilat' Mahathir akan mengatakan langkah ini akan menguatkan PH walaupun sebenarnya ia adalah langkah menguatkan Mahathir.

7. Jika ini berlaku, PH bakal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen, dengan kerusi PPBM bertambah di parlimen dengan penyertaan ahli parlimen ke dalam PPBM dari Sabah dan Sarawak. Ini sekaligus akan memperkukuh kedudukan Mahathir sebagai Pengerusi PH dengan jawatan Perdana Menteri. Manakala Anwar pula hanya kekal sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, Presiden PKR dan 'bakal Perdana Menteri' tanpa apa-apa jawatan dalam kerajaan.

8. Setakat hari ini, Mahathir terus dengan langkah taktikal beliau 'membunuh' pengaruh Anwar dalam Pakatan Harapan. Mahathir membiarkan sahaja Anwar mengelilingi dunia serta bertindak selaku 'bakal PM', namun tanpa apa-apa jawatan rasmi dalam kerajaan. Anwar akan terus berlegar-legar tanpa tujuan yang jelas. Mahathir pula akan terus membiarkan Anwar terbang setinggi-tingginya kerana Mahathir tahu Anwar akan penat terbang dan akan jatuh 'membunuh diri sendiri' setelah kepenatan terbang tanpa arah tujuan.

Sekali lagi, kita hanya perlu menyediakan 'popcorn' untuk menonton adegan drama ini selanjutnya.....

No comments:

Post a Comment