Friday, 3 January 2020

KRISIS PH : MENGAPA MASZLEE KORBAN PERTAMA?

Cubaan merasionalkan mengapa Dr. Maszlee Malik tersingkir sebagai Menteri Pendidikan kerajaan PH sangat memualkan. Ada yang mengatakan Dr. Maszlee ibarat lilin, membakar diri sendiri bagi menerangi pihak lain.
Dr. Maszlee sendiri dalam kenyataannya telah mengeluarkan ‘ayat baik-baik’ berkaitan peletakan jawatan beliau.
Adatnya begitulah, jika boleh, Dr. Maszlee akan berbuat sebaik mungkin agar semuanya kelihatan elok dengan peletakan jawatan beliau. Namun tidak selamanya PH mampu menyapu semua sampah mereka ke bawah karpet. Sampah PH semakin menggunung, menunggu masa meletup sahaja.
Sebenarnya antara sebab Maszlee tersingkir sebagai Menteri Pendidikan adalah kerana:
1. Dr. Maszlee bukanlah seorang ‘politician‘ dan tidak punya sokongan akar umbi yang kuat di dalam parti dan di kawasan. Beliau adalah pendatang baru yang terlalu mudah dinyahkan. Struktur PPBM di Simpang Renggam masih kacau-bilau.
Maszlee juga mempunyai hubungan yang biasa-biasa sahaja dengan masyarakat Simpang Renggam. Maka apabila Maszlee disingkirkan, tiada apa yang luar biasa akan berlaku di Simpang Renggam. Jika ada, mungkin sahaja nanti PM akan umum sedikit pembangunan di kawasan tersebut, selesailah masalah.
2. Dr. Maszlee dilihat cenderung kepada Anwar Ibrahim. Walaupun dari PPBM, Maszlee tidak sinonim dengan pemikiran Dr. Mahathir. Sebagai ‘orang dakwah’ tidak hairanlah mengapa Maszlee dilihat begitu.
Pemikirannya, kawan-kawan rapatnya, persekitarannya berada dalam lingkungan Anwar Ibrahim. Maszlee juga melantik Nurul Izzah sebagai Pengerusi TVET di Kementerian Pendidikan sebelum Izzah meletakkan jawatan.
3. Dr. Maszlee adalah liabiliti buat Pakatan Harapan. Misi utama yang perlu dibuat Dr. Maszlee apabila dilantik sebagai Menteri Pendidikan adalah merentasi sempadan politik. Sebagai orang ‘fresh‘, Maszlee adalah calon terbaik PH untuk meraih sokongan semua rakyat Malaysia melalui Kementerian Pendidikan. Malangnya, Maszlee sendiri yang bermain politik di situ.
Maszlee adalah rakyat Malaysia pertama dari PH yang menjawat jawatan Menteri Pendidikan merangkap Presiden UIA. Bila ditegur, beliau memberikan seribu satu alasan cuba mempertahankan jawatan di UIA.
Akhirnya setelah dipanggil mengadap Presiden PPBM, barulah beliau akur dan melepaskan jawatan di UIA. Maszlee juga bermain politik dengan pelantikan jawatan-jawatan utama IPTA dari kalangan kelompok beliau.
Kementerian Pendidikan yang sepatutnya menjadi kementerian ‘merentas sempadan’ fahaman politik bagi meningkatkan sokongan terhadap PH, telah menjadi sebaliknya. Kementerian Pendidikan kini menjadi tempat teratas mengapa rakyat Malaysia membenci PH.
4. Mempunyai seorang timbalan dari DAP, membuatkan Maszlee sering dalam dilema dan mungkin rasa rendah diri. Tentunya Maszlee agak murung apabila peruntukan yang diperolehi dari Kementerian Kewangan oleh timbalannya dari DAP jauh lebih tinggi dari yang beliau perolehi.
Bantuan kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan IPTS berorientasi masyarakat Cina dibuat tanpa memperdulikan kedudukan beliau sebagai Menteri Pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan boleh pula menjemput Menteri Kewangan bagi menyempurnakan penyampaian bantuan peruntukan Kementerian Pendidikan. Hal ini tentunya menggugat maruah dan kredibiliti Menteri Pendidikan.
5. Apapun, banyak lagi faktor mengapa Maszlee disingkirkan dari kabinet. Yang paling utama, dalam kerajaan sekarang, komponen kerajaan janganlah bergaduh dengan DAP. Pengajaran ini boleh kita ambil dari kisah penyingkiran Maszlee.
Tun Mahathir nampaknya lebih menyayangi DAP dari ahli parti sendiri. Tambahan pula jika ahli parti tersebut tidak langsung punya kekuatan di peringkat akar umbi.
Jika hal ini boleh terjadi kepada seorang ahli PPBM, ahli-ahli komponen PH dari parti yang berlainan perlulah mengambil iktibar. Ahli dan penyokong PH jangan menyesal, kerana anda sendiri yang telah memilih.
Tidak perlu melankolik dengan penyingkiran Dr. Maszlee. Beliau tentunya tahu menceburi bidang politik tentu punya risiko. Hal ini telah beliau ucapkan di UIA dengan menyatakan tujuan utama beliau masuk politik adalah kerana mahu menjatuhkan DS Najib.
Tentunya beliau tahu apabila beliau mahu menjatuhkan seseorang, akan ada orang lain pula yang akan menjatuhkan beliau. Dan kini beliau jatuh kerana kawan sendiri, bukan kerana musuh beliau.
Akhir kata, terima kasih buat Dr. Maszlee dan selamat maju jaya.
Syabas juga diucapkan kerana di hujung perkhidmatan saudara, saudara telah meninggalkan pesanan yang amat berguna kepada semua menteri PH iaitu “BACA”…

No comments:

Post a Comment