Thursday, 30 May 2019

SINARAN 'TENAGA' YANG SURAM DI AIDILFITRI 

Seantero Malaysia membicarakan perihal bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tiba-tiba melambung mutakhir ini. TNB amat dekat di hati rakyat kerana 100% bangunan di Semenanjung Malaysia menggunakan khidmat TNB sebagai pemberi perkhidmatan berbayar elektrik tunggal di dalam negara.

 Pelbagai pihak menyalahkan meter baru yang ‘pintar’ dipasang TNB bagi menggantikan meter digital lama. Datuk Seri Najib Tun Razak pula mendedahkan kerajaan PH telah memansuhkan subsidi penggunaan elektrik kepada pengguna. Malangnya sehingga kini, tiada respon dari kerajaan PH berkaitan dakwaan Datuk Seri Najib.

Menteri kerajaan PH yang bertanggungjawab tentang tenaga pula mendedahkan bil TNB melambung naik akibat sistem komputer syarikat tersebut yang gagal mengemaskini bacaan meter di rumah-rumah kediaman. Ini setelah ribuan aduan kepada Suruhanjaya Tenaga dibuat oleh pengguna yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan.

Rakyat sudah cukup menderita setelah setahun pemerintahan kerajaan PH. Harga barangan terus naik walaupun dijanjikan rakyat akan menikmati harga barang yang rendah jika PH diberi peluang menjadi kerajaan. Begitu juga harga petrol, rakyat masih menantikan harga petrol RM1.50 seperti yang pernah dijanjikan pemimpin PH.

Pengenalan kembali cukai jualan dan perkhidmatan (SST) memburukkan lagi keadaan. Pembelian aplikasi di dalam talian akan dikenakan SST selepas ini. Pastinya ramai yang akan terkesan nanti terutamanya anak-anak muda. Sudahlah masalah anak muda seperti bayaran balik PTPTN tidak dihapus seperti janji di dalam manifesto PH, malah pembayaran balik tetap dilaksanakan.

Nampaknya rakyat terus kempunan untuk menikmati tol percuma di musim perayaan tahun ini. Ramai yang akan pulang ke kampung dalam keadaan gembira namun kehairanan mengapa bayaran tol masih dikenakan sedangkan kerajaan PH berjanji akan menghapuskan bayaran tol (terutamanya jika pulang melalui tol Simpang Renggam seperti yang pernah diwar-warkan Dr. Maszlee Malik).

Di kampung-kampung rakyat terus menderita akibat kenaikan harga barang. Pendapatan pula menurun akibat penurunan harga komoditi. Ibu bapa dan saudara mara kita di FELDA tidak dapat menikmati bonus hari raya pada tahun ini. Menteri Ekonomi umumkan tiada duit raya untuk FELDA tahun ini. Perdana Menteri pula kata tidak tahu. Rakyat seperti menunggu buah yang tidak gugur, masih menaruh harapan walaupun sudah hendak raya minggu hadapan.

Mahu guna elektrik di kampung masa balik raya nantipun kena fikir banyak kali. Sudahlah bonus tidak dapat, harga sawit dan getah jatuh merudum. Bukan apa, tidak mahulah kita bebankan ibubapa di kampung yang menanggung bil elektrik selepas semua anak cucu pulang ke bandar. Selepas cuti raya, kita kena mengadap musim rumah terbuka pula. Mungkin topik paling hangat semasa kunjung mengunjung dan rumah terbuka nanti ialah kenaikan bil elektrik yang melampau.

Apapun, raya tetap raya. Raya setahun sekali.

Harga barang, harga minyak, bil elektrik pula naik berkali-kali setahun. Lepas ini sudah diumum tarif air pula akan dinaikkan. Terima kasih kerajaan Pakatan Harapan kerana terus membebankan rakyat pada musim perayaan ini….. 

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI !!….

No comments:

Post a Comment