Saturday 29 August 2020

SETINGGI TAHNIAH, NAMUN PERLU TERUS BERHATI-HATI

Tahniah BN. Pelbagai tafsiran kemenangan bergaya dengan majoriti 10945. Rata-rata tumpuan diberikan kepada Mahathir yang disifatkan tidak lagi relevan dalam arus perdana politik Malaysia. 

Namun BN jangan leka dengan kemenangan besar ini. Mahu meraikan dengan rasa bangga, silakan. Memang patut kerana jentera telah bekerja keras dan sistematik bagi memastikan kemenangan BN. 

Namun jangan sesekali kita lupa, PRK parlimen Kuala Selangor sebelum PRU 14 dahulu, BN juga menang bergaya. Majoriti BN bertambah ketika itu. Pengundi bukan melayu telah mengundi YB Budiman yang mewakili BN ketika itu. 

Bertempiklah jentera BN konon pengundi bukan melayu telah kembali kepada BN. Sebelum itu juga, PRK parlimen Kuala Kangsar yang dimenangi YB Mastura Yazid menyaksikan 'trend' yang sama. Peratusan pengundi bukan melayu mengundi BN telah meningkat. 

Pra PRU 14, rakyat Malaysia dihidangkan dengan cerita-cerita BN kembali mendapat tempat di hati pengundi bukan melayu dan dan pengundi muda. Namun apa terjadi selepas itu? 

Pasca PRU 14 adalah episod pilu buat BN. Buat pertama kalinya BN hilang kuasa pemerintahan di peringkat pusat. Bukan sekadar kalah, BN telah di hina sehina-hinanya. Ada rakyat-rakyat yang tidak bertamadun 'mengepung' Putrajaya dan lapangan terbang negara, kononnnya mahu menghalang pemimpin BN dari melarikan diri. 

Beberapa parti komponen BN juga telah 'mengkhianati' BN dengan meninggalkan gabungan kerana BN yang diterajui UMNO kononnya terlalu 'jijik' bagi mereka kerana bergelumang dengan perkara-perkara negatif. Tidak cukup dengan itu, ramai ADUN dan MP UMNO telah melompat keluar menyertai komponen yang membentuk kerajaan pasca PRU 14. 

Seharusnya perkara ini menjadi pengajaran buat UMNO dan BN. Buat rakan komponen BN dan UMNO yang kekal setia, tahniah kita ucapkan. Buat PAS yang mendukung UMNO di saat-saat getir, alhamdulillah dan syukur dilafazkan kerana memungkinkan penyatuan melayu-islam buat kali pertama dalam sejarah politik negara. 

Kemenangan seharusnya membuatkan kita bekerja lebih kuat untuk mengekalkannya. Kemenangan besar serta bergaya sepatutnya tidak melalaikan kita mencipta kemenangan besar PRU 15. 

BN tidak memusuhi sesiapa. BN juga tidak rasis. BN terbuka menerima siapa sahaja yang ada sifat toleransi demi mengukuhkan gabungan. Buktinya, UMNO sanggup mengukuhkan gabungan dalam Muafakat Nasional dengan PAS tanpa meninggalkan gabungan di dalam BN iaitu MCA dan MIC.

Yang penting UMNO, BN, PAS dan Muafakat Nasional terus kekal bersatu. Jika ada yang mahu menyertai gabungan, telitilah dengan sedalam-dalamnya. 

Politik bergerak secara dinamik, tidak statik. Gabungan ini perlu memikirkan masa hadapan, tidak lagi boleh dibuai kejayaan masa silam. Jangan kita digagalkan di masa hadapan hanya kerana dibuai mimpi indah masa silam. 

Apabila kita gagal untuk merancang (masa hadapan), secara otomatik kita telah merancang untuk gagal. Seharusnya kejayaan mematangkan semua pendukung BN dan MN untuk berusaha lebih kuat mengekalkan kejayaan bersama. 


Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-63.

No comments:

Post a Comment