Saturday 4 April 2020

JANGAN HUKUM PENGUATKUASA KERANA MENGUATKUASAKAN UNDANG-UNDANG




1. Menonton beberapa klip video 'drama' rakyat Malaysia membuatkan kita terfikir, apakah masyarakat kita mula hilang pertimbangan ketika ini. Apakah kita mula hilang rasa kemanusiaan dan saling menghormati?

2. Selain wabak Covid19 yang berjangkit, perangai negatif masyarakat juga agak cepat jangkitannya. Hampir setiap hari, kita dihidangkan dengan sikap angkuh manusia yang mencemuh dan melawan pihak berkuasa. 

3. Barangkali ramai yang mula 'stress' kena duduk rumah. Maklum saja, bila terkurung ramai-ramai, 'tension' dengan kebisingan dan kelakuan masing-masing. Bila terkurung dalam keadaan tidak ramai, mungkin ramai yang murung pula. Tiada suara atau gelak tawa keluarga atau rakan-rakan. 

Lantaran itu, adakah kerana 'stress', 'tension' dan murung menyebabkan kita semakin hilang pertimbangan?

4. Ada yang engkar perintah kawalan. Ramai juga memaki hamun petugas-petugas keselamatan yang saban hari berada di jalan-jalanraya ketika ini. Tidak kurang yang membuat hantaran di media-media sosial mencabar pihak berkuasa yang hanya menjalankan tugas mereka. 

5. Apakah kita sudah hilang pertimbangan hanya kerana tidak dapat melakukan sesuatu yang kita kehendaki? Naluri manusia memang begitu, akan memberontak jika kehendaknya dihalang. Hanya kerana kita dihalang pergi makan di tempat yang kita suka, ada yang sanggup meninggi suara memaki hamun polis dan pasukan keselamatan.

6. Walaupun status sosial kita mungkin lebih tinggi di kalangan manusia lain, kita juga rakyat Malaysia yang terikat dengan undang-undang negara. Sekadar contoh, jika kita seorang doktor pakar, kita tetap perlu patuh arahan seorang kontabel polis. 

Selagi mana arahan tersebut dalam bidang kuasa beliau (polis tersebut) dan tidak melanggar undang-undang negara, patuhilah ia. Tidak perlu bertegang urat menegakkan benang basah mempertahankan ego kita. Jika kita ada wang lebih mahu berlawan di mahkamah, lebih elok digunakan untuk perkara lain yang lebih bermanfaat. 

7. Ibubapa pula perlulah menunjukkan contoh kepada anak-anak. Prinsip "ikut apa yang saya cakap, jangan ikut yang saya buat" jangan sekali-kali kita ikuti. Ibu bapa memainkan peranan besar membantu negara memerangi wabak Covid19 ini. Isilah masa lapang dengan keluarga dan hanya keluar jika perlu sahaja. 

Ingatkan anak-anak agar sentiasa menghormati barisan petugas hadapan negara ketika ini. Hormati dan hargailah pengorbanan mereka. Di saat kita 'dikawal' agar duduk di rumah bersama keluarga, para petugas barisan hadapan berkorban masa dan tenaga menyahut panggilan negara 'berperang' melawan wabak ini.

8. Para petugas ini tentunya juga adalah ibu, bapa, anak, abang, kakak atau apa saja peranan mereka dalam keluarga. Tentu saja banyak tugas dan tanggungjawab yang terpaksa mereka lepaskan demi menyahut panggilan negara. Jika kita tidak mampu membantu para petugas ini, sekurang-kurangnya hormatilah mereka. Mengenang jasa dan pengorbanan mereka juga adalah satu kebaikan.

9. Jangan disuburkan budaya individualistik. Ini hanya mengundang budaya 'melanggar arahan' yang lebih parah kerana kita hanya mempertimbangkan kepentingan diri sendiri sahaja. Demi mencapainya, kita akan menentang siapa yang menghalang kita. Maka semakin membiaklah unsur-unsur negatif dalam diri kita. Hendaknya janganlah kita jadi begitu. 

Jangan fikir kita saja yang boleh 'stress', 'tension' dan murung. Para petugas barisan hadapan negara pun boleh 'stress' dan 'tension' dengan perangai orang awan yang engkar dengan arahan. Tidak hairanlah para petugas juga boleh naik angin melihat tingkah laku kita. Lebih-lebih lagi jika ada unsur provokasi seolah-olah sengaja mahu melanggar undang-undang negara.

10. Maka itu, suburkanlah nilai-nilai positif dalam kehidupan, sekarang dan masa hadapan. Penyebaran nilai-nilai positif dalam kehidupan mampu menghindar kita dari jangkitan penyakit 'stress', 'tension' dan murung atau rasa terkurung ketika ini.

Janganlah dihukum para petugas kerana mereka hanya menjalankan tugas. Sebaliknya hukumlah mereka yang seolah-olah sengaja melanggar undang-undang negara dan mencabar pihak berkuasa...

No comments:

Post a Comment