Tuesday 27 August 2019

INSIDEN KLIA: ADAKAH IANYA USAHA TERDESAK MENGHALANG ROMBAKAN KABINET?

1. Tajuk utama muka hadapan Utusan Malaysia semalam mengingatkan saya Utusan Malaysia yang menyiarkan tajuk utama muka hadapan "KLIA kelam kabut" pada 1 Julai 1998. Ketika itu, Perdana Menteri ke 4, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed dikhabarkan amat tersinggung dan terlalu marah dengan Utusan Malaysia khususnya Ketua Pengarang ketika itu Datuk Johan Jaafar (sekarang Tan Sri) yang dipertanggungjawabkan dengan situasi tersebut.

2. KLIA adalah 'pet project' Dr. Mahathir. Beliau memantau rapat projek tersebut dari A hingga Z bagi memastikan KLIA dibina dengan jayanya. Arkitek KLIA ialah Kisho Kurukawa, seorang arkitek berbangsa Jepun manakala Pengarah Projek KLIA adalah Tan Sri Jamilus Hussein dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Meskipun mendapat kritikan maha hebat dari Lim Kit Siang dan sekutunya (pembangkang ketika itu), Dr. Mahathir memekakkan telinga dan membutakan mata tidak mempedulikan kritikan pembangkang. Mahathir 'jalan terus' bagi memastikan KLIA menjadi kenyataan.

3. Kumpulan anti Mahathir dari dalam UMNO pula menggunakan isu KLIA sebagai isu kronisme tahap tertinggi yang menyaksikan pengambilan tanah-tanah di Sepang untuk dijadikan KLIA dikatakan milik kroni Mahathir di negeri Selangor. Namun Dr. Mahathir tidak pernah memandang ke belakang dan akhirnya KLIA siap untuk digunakan pada tahun 1998. Pagi 30 Jun 1998, pesawat Dr. Mahathir melakukan penerbangan pertama dari KLIA jam 7 pagi ke Langkawi.

4. Tentunya sebagai Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir tidak menggunakan laluan biasa. Beliau menggunakan bilik VIP dan terus ke pesawat. Keadaan semuanya terurus bagi seorang Perdana Menteri. Namun lain pula halnya bagi keadaan di luar. KLIA amat kelam kabut pada hari pertama beroperasi. 30 Jun 1998, sistem pengurusan penumpang di KLIA amat kelam kabut. Setelah mendaftar masuk, penumpang tidak tahu ke mana hendak dituju. Mahu ke pintu mana bagi menaiki pesawat. Sistem pengendalian bagasi juga mengalami masalah yang sama. Bagasi lewat dimasukkan ke pesawat menyebabkan berlaku kelewatan penerbangan. Penumpang juga berbaris panjang bagi sesuatu urusan di KLIA.

5. Utusan Malaysia ketika itu menggunakan tajuk muka hadapan "KLIA KELAM KABUT". Ketua Pengarang ketika itu ialah Datuk Johan Jaafar, seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka yang dikatakan dibawa masuk terus sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahathir teramat marah dengan penggunaan tajuk itu oleh Utusan. Peramal politik tidak dapat mengelak membuat spekulasi membuat andaian itu adalah agenda Anwar Ibrahim menyerang Dr. Mahathir. Hasilnya Johan Jaafar tersingkir dengan beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Pengarang Utusan.

6. Kini keadaan sama berulang. KLIA 'terusik' lagi, kali ini tentunya dengan kehebatan tular media sosial. Satu dunia menumpukan perhatian kepada Malaysia dibawah kerajaan Pakatan Harapan kerana kegagalan sistem di KLIA. Gambar info penerbangan yang menggunakan 'white board' dan tiket yang ditulis tangan menjadi tular ke seluruh dunia. Bahkan ada mengaitkannya secara sinis dengan 'Malaysia Baharu'. Keadaan kelam kabut dikatakan berlaku secara berterusan selama 3 hari. Terbaru, MAHB dikatakan menghadapi risiko sama lebih RM10 juta.

7. Kerajaan seolah-olah hilang punca menangani situasi ini. Kegagalan kerajaan dan pihak berkuasa menangani masalah ini dengan segera amat dikesali. Jika dahulu, tentunya kita akan melihat jaguh-jaguh DAP akan bangkit mendesak menteri bertanggungjawab meletak jawatan. Namun kini DAP yang bertanggungjawab di Kementerian Pengangkutan, suara jaguh-jaguh mereka tidak lagi kedengaran. Jika Menteri Pengangkutan Anthony Loke punya maruah, beliau seharusnya meletak jawatan kerana gagal menangani isu ini dengan serta serta telah memalukan Malaysia di seantero dunia.

8. Kini timbul pula isu sabotaj di KLIA. BPersoalannya, siapa yang mendalangi sabotaj ini? Di tengah kehangatan suhu politik tanahair, apakah ini sekali lagi serangan Anwar Ibrahim terhadap 'pet project' Dr. Mahathir? Adakah Anwar yang dilihat sangat mesra DAP menggunakan saluran DAP untuk menyerang kali ini? Dari sudut politik, ianya serba kemungkinan. Di saat kehangatan rombakan kabinet yang bakal berlaku, adakah isu KLIA ini satu tindakan bagi menyekat langkah yang akan dibuat boleh Dr. Mahathir?

9. Apa pun, isu KLIA kelam kabut ini telah berhasil mencemar nama baik Malaysia di mata dunia. KLIA yang dahulu dibina dengan wawasan menjadikannya 'hub' di rantau ini, mungkin mengambil masa yang lama sebelum namanya kembali pulih. Sesungguhnya amat payah untuk kita membina sesuatu, mungkin mengambil masa ratusan tahun. Akan tetapi untuk merosakkannya, amat mudah sekali. Kita boleh mengambil masa beberapa minit sahaja bagi menjahanamkan apa yang telah dibina sekian lama.....


 p/s : Ucapan setinggi tahniah kepada semua staf dan para sukarelawan yang bertungkus lumus membantu semasa insiden KLIA tempohari. Jasamu dikenang.

No comments:

Post a Comment