Thursday, 18 July 2019

AL KISAH SEBINGKAI CERMIN USANG DAN PERAKAM VIDEO LAMA

Imej di dalam cermin adalah pantulan apa yang ada dihadapan cermin. Jika yang ada di hadapan cermin itu adalah diri kita, maka kita akan melihat imej kita di cermin tersebut. Tidak lebih dan tidak kurang. Kerana itu pesanan orang tua-tua, jika mahu melihat kecantikan sejati, lihatlah ke dalam cermin sewaktu baru bangun tidur. Bagi yang jujur dan mahu menerima kenyataan buruk baik wajah sendiri, mereka akan melihat ke dalam cermin di waktu ini (semasa baru bangun dari tidur). Bagi yang hipokrit dan penuh retorik, mereka akan bangun tanpa melihat cermin terlebih dahulu. Bangun tidur, mandi dan bersiap dengan segala tempekan kosmetik, barulah akan melihat cermin.

Di ketika ini, mereka akan tersenyum melihat imej di dalam cermin dan memuji (diri sendiri) walaupun tahu ianya penuh dilumuri kosmetik. Begitulah realiti kehidupan, kita sendiri yang mencorakkan penampilan kita. Tanpa segan silu manusia boleh mengata dan memerli orang lain walaupun diri sebenarnya amat kotor dan hanya dilindungi kosmetik yang ditempek berinci-inci.

Manakala imej yang di rekodkan di dalam video adalah cerminan perilaku tertangguh yang boleh disimpan selagi mana manusia mahu ianya disimpan. Sedikit kelainan di hadapan kamera video, manusia boleh menangguhkan ekspresinya. Jika sedang gembira, di saat mahu dirakam, manusia boleh segera berubah menjadi sedih lalu menangis. Selesai rakaman, boleh segera kembali ketawa. 

Itu jika rakaman dibuat dalam keadaan sedar. Jika rakaman dibuat secara rahsia, ia sama seperti cermin. Rakaman adalah imej diri manusia yang sebenar. Perilaku dan ekspresi rakaman secara rahsia merupakan gambaran sebenar kejadian. Namun manusia boleh saja mengaku atau bersifat hipokrit menafikan jika imejnya berjaya dirakam samada secara rahsia atau terbuka. Imej di dalam cermin dan rakaman video adalah realiti kehidupan. Apa yang ada di dalam cermin dan rakaman secara terbuka atau rahsia, itulah diri manusia dalam kehidupan sebenar. Pantulan imej di dalam cermin dan rakaman video bukanlah drama kehidupan. Ia adalah cerminan watak manusia di dalam kehidupan sebenar.

Selagi manusia tidak mahu melihat imej sendiri di dalam cermin atau rakaman video dengan jujur, selagi itulah manusia tidak nampak keburukan di dalam diri sendiri. Jika ada keburukan di dalam diri sendiri, manusia akan terus hidup dalam sindrom penafian. Yang ditonjolkan hanya imej baik tapi penuh kepalsuan. Kita adalah diri kita. Diri kita tiada duanya. Selagi dibuai mimpi kehebatan diri sendiri, selagi itulah imej sendiri di dalam cermin dan rakaman video kelihatan kabur.

Sepasang mata kita melihat imej sendiri dengan penuh kekaburan, berjuta pasang mata lain melihat imej kita dengan terang dan jelas. Moga kita semua dijauhi dari sifat yang begini...

Demikianlah cerita imej di dalam cermin dan rakaman video. Jika ada yang terkait dengan cerita cermin dan video ini, ianya hanya kebetulan. Kebetulan saya di kampung ketika ini dan terlihat cermin usang dan alat perakam video lama yang semakin dimakan hari menanti untuk dibuang.....

No comments:

Post a Comment