Tuesday, 27 August 2019

INSIDEN KLIA: ADAKAH IANYA USAHA TERDESAK MENGHALANG ROMBAKAN KABINET?

1. Tajuk utama muka hadapan Utusan Malaysia semalam mengingatkan saya Utusan Malaysia yang menyiarkan tajuk utama muka hadapan "KLIA kelam kabut" pada 1 Julai 1998. Ketika itu, Perdana Menteri ke 4, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed dikhabarkan amat tersinggung dan terlalu marah dengan Utusan Malaysia khususnya Ketua Pengarang ketika itu Datuk Johan Jaafar (sekarang Tan Sri) yang dipertanggungjawabkan dengan situasi tersebut.

2. KLIA adalah 'pet project' Dr. Mahathir. Beliau memantau rapat projek tersebut dari A hingga Z bagi memastikan KLIA dibina dengan jayanya. Arkitek KLIA ialah Kisho Kurukawa, seorang arkitek berbangsa Jepun manakala Pengarah Projek KLIA adalah Tan Sri Jamilus Hussein dari Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR). Meskipun mendapat kritikan maha hebat dari Lim Kit Siang dan sekutunya (pembangkang ketika itu), Dr. Mahathir memekakkan telinga dan membutakan mata tidak mempedulikan kritikan pembangkang. Mahathir 'jalan terus' bagi memastikan KLIA menjadi kenyataan.

3. Kumpulan anti Mahathir dari dalam UMNO pula menggunakan isu KLIA sebagai isu kronisme tahap tertinggi yang menyaksikan pengambilan tanah-tanah di Sepang untuk dijadikan KLIA dikatakan milik kroni Mahathir di negeri Selangor. Namun Dr. Mahathir tidak pernah memandang ke belakang dan akhirnya KLIA siap untuk digunakan pada tahun 1998. Pagi 30 Jun 1998, pesawat Dr. Mahathir melakukan penerbangan pertama dari KLIA jam 7 pagi ke Langkawi.

4. Tentunya sebagai Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir tidak menggunakan laluan biasa. Beliau menggunakan bilik VIP dan terus ke pesawat. Keadaan semuanya terurus bagi seorang Perdana Menteri. Namun lain pula halnya bagi keadaan di luar. KLIA amat kelam kabut pada hari pertama beroperasi. 30 Jun 1998, sistem pengurusan penumpang di KLIA amat kelam kabut. Setelah mendaftar masuk, penumpang tidak tahu ke mana hendak dituju. Mahu ke pintu mana bagi menaiki pesawat. Sistem pengendalian bagasi juga mengalami masalah yang sama. Bagasi lewat dimasukkan ke pesawat menyebabkan berlaku kelewatan penerbangan. Penumpang juga berbaris panjang bagi sesuatu urusan di KLIA.

5. Utusan Malaysia ketika itu menggunakan tajuk muka hadapan "KLIA KELAM KABUT". Ketua Pengarang ketika itu ialah Datuk Johan Jaafar, seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka yang dikatakan dibawa masuk terus sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahathir teramat marah dengan penggunaan tajuk itu oleh Utusan. Peramal politik tidak dapat mengelak membuat spekulasi membuat andaian itu adalah agenda Anwar Ibrahim menyerang Dr. Mahathir. Hasilnya Johan Jaafar tersingkir dengan beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Pengarang Utusan.

6. Kini keadaan sama berulang. KLIA 'terusik' lagi, kali ini tentunya dengan kehebatan tular media sosial. Satu dunia menumpukan perhatian kepada Malaysia dibawah kerajaan Pakatan Harapan kerana kegagalan sistem di KLIA. Gambar info penerbangan yang menggunakan 'white board' dan tiket yang ditulis tangan menjadi tular ke seluruh dunia. Bahkan ada mengaitkannya secara sinis dengan 'Malaysia Baharu'. Keadaan kelam kabut dikatakan berlaku secara berterusan selama 3 hari. Terbaru, MAHB dikatakan menghadapi risiko sama lebih RM10 juta.

7. Kerajaan seolah-olah hilang punca menangani situasi ini. Kegagalan kerajaan dan pihak berkuasa menangani masalah ini dengan segera amat dikesali. Jika dahulu, tentunya kita akan melihat jaguh-jaguh DAP akan bangkit mendesak menteri bertanggungjawab meletak jawatan. Namun kini DAP yang bertanggungjawab di Kementerian Pengangkutan, suara jaguh-jaguh mereka tidak lagi kedengaran. Jika Menteri Pengangkutan Anthony Loke punya maruah, beliau seharusnya meletak jawatan kerana gagal menangani isu ini dengan serta serta telah memalukan Malaysia di seantero dunia.

8. Kini timbul pula isu sabotaj di KLIA. BPersoalannya, siapa yang mendalangi sabotaj ini? Di tengah kehangatan suhu politik tanahair, apakah ini sekali lagi serangan Anwar Ibrahim terhadap 'pet project' Dr. Mahathir? Adakah Anwar yang dilihat sangat mesra DAP menggunakan saluran DAP untuk menyerang kali ini? Dari sudut politik, ianya serba kemungkinan. Di saat kehangatan rombakan kabinet yang bakal berlaku, adakah isu KLIA ini satu tindakan bagi menyekat langkah yang akan dibuat boleh Dr. Mahathir?

9. Apa pun, isu KLIA kelam kabut ini telah berhasil mencemar nama baik Malaysia di mata dunia. KLIA yang dahulu dibina dengan wawasan menjadikannya 'hub' di rantau ini, mungkin mengambil masa yang lama sebelum namanya kembali pulih. Sesungguhnya amat payah untuk kita membina sesuatu, mungkin mengambil masa ratusan tahun. Akan tetapi untuk merosakkannya, amat mudah sekali. Kita boleh mengambil masa beberapa minit sahaja bagi menjahanamkan apa yang telah dibina sekian lama.....


 p/s : Ucapan setinggi tahniah kepada semua staf dan para sukarelawan yang bertungkus lumus membantu semasa insiden KLIA tempohari. Jasamu dikenang.

Friday, 26 July 2019

AZMIN BAKAL KELUAR DARI PKR DAN MENGAPA MEMILIH PARTI GERAKAN? 

1. Pujangga berbicara "Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang". Ada juga lirik lagu popular "tanya sama pokok, apa sebab goyang, nanti jawab, angin yang goyang". Namun kini masyarakat lebih percaya kepada ungkapan "tiada angin pun pokok boleh bergoyang asal ada beruk-beruk yang bergayut". Maka itu, khabar Azmin Ali mahu keluar PKR dan memilih parti GERAKAN sebagai wadah baru, menyamai ungkapan-ungkapan diatas!

2. Semua sedia maklum keadaan terkini Azmin di dalam PKR. Jika mengikut perkiraan politik, amat wajar sekali Azmin segera meninggalkan PKR. Dengan krisis dalaman yang memuncak, kedudukan Azmin dalam PKR bagai telur di hujung tanduk. Anwar selaku Presiden yang berlagak baik, tentunya tidak akan memecat Azmin. Namun mengenali Anwar, beliau akan menggunakan orang lain dalam PKR untuk menyerang Azmin. Serangan dalaman besar-besaran tidak dapat dielakkan terhadap Azmin.

3. Kekal di dalam PKR bermakna Azmin akan tetap menjadi orang nombor dua dalam PKR bagi tempoh terdekat. Mahu bangkit menentang Anwar di dalam PKR, kekuatan Azmin masih belum utuh. Risiko kalah bakal menyebabkan imej Azmin merudum dan kecewa, walaupun mendapat pembelaan dari Tun Mahathir. Mahu kekal sebagai orang nombor dua parti, bakal menimbulkan kejanggalan mahu menjadi Perdana Menteri. Perdana Menteri secara tradisinya adalah seorang Presiden parti.

4. Demikianlah dilema yang dihadapi Azmin. Pilihan terbaik Azmin adalah keluar dari PKR dan menyertai sebuah parti lemah yang boleh dikawal. Penubuhan parti baru untuk Azmin bukan pilihan terbaik masa kini kerana banyak yang perlu dibangunkan. Menyertai PPBM juga bukan idea yang baik kerana dalam PPBM sendiri sudah wujud kelompok 'warlords' dan PPBM bakal berpecah dengan kemasukan Azmin. AMANAH dan DAP juga tentunya tidak mahukan Azmin kerana bimbang terpalit dengan kontroversi yang melanda Azmin.

5. Barangkali setelah mendapat nasihat dan panduan 'godfather' beliau, parti GERAKAN adalah percaturan terbaik Tun Mahathir dan Azmin. GERAKAN yang seperti melukut di tepi gantang, kelihatan akan mendapat nafas baru dalam politik Malaysia jika benar Azmin bakal menyertai parti itu. GERAKAN dipancing sebagai strategi serampang dua mata Tun Mahathir.

6. Pertamanya adalah untuk membolehkan GERAKAN menyertai komponen Pakatan Harapan apabila Azmin dan rakan-rakannya menyertai parti tersebut. Sekurang-kurangnya ahli dan aset parti GERAKAN boleh 'ditelan' bersama penyertaan parti tersebut ke dalam PH. Menara PGRM di Cheras bakal menjadi sebahagian dari koleksi harta PH. Sekaligus bilangan komponen PH akan bertambah. Kedua, GERAKAN akan menjadi pengimbang kepada kekuatan DAP di dalam PH. GERAKAN boleh menjadi pengimbang kekuatan 'cina' di dalam PH yang selama ini dikawal oleh DAP. Sepertimana parti berasaskan melayu berpecah, parti berasaskan cina juga bakal dipecahkan oleh Tun Mahathir demi kepentingan peribadi.

7. Walaupun kekuatan GERAKAN diragui, tentunya Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng tidak selesa jika Tun Mahathir membawa Azmin dan Datuk Dr. Dominic Lau ke mesyuarat Majlis Presiden PH nanti jika benar perkara ini terjadi. GERAKAN tentunya akan berkembang menjadi lebih kuat sebelum PRU 15 dengan bimbingan Tun Mahathir dan Azmin. Inilah antara sebab mengapa GERAKAN yang sekarang ini dilihat lemah menjadi pilihan Tun Mahathir dan Azmin.

8. Jika ini berlaku, tentunya Tun Mahathir dan Azmin semakin mengukuhkan kedudukan mereka dalam PH dan Anwar akan kekal menjadi bakal Perdana Menteri yang semakin malap harapannya kerana Azmin bila-bila masa akan dikompromi untuk menjadi Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN). Manakala DAP pula akan semakin lemah cengkamannya ke atas PH dan Tun Mahathir.

9. Kerana itu pemilihan GERAKAN dalam isu ini bukanlah pemilihan biasa-biasa. Pemilihan GERAKAN adalah pemilihan yang penuh muslihat, strategi dan survival politik yang dicatur oleh Tun Mahathir demi kelangsungan kuasa dan kepentingan peribadi. Presiden GERAKAN juga telah mengaku mendapat 'signal' terdapat pertemuan wakil Azmin dengan tokoh dari GERAKAN. Jika rundingan berhasil, nampaknya Azmin bakal meninggalkan PKR dalam masa terdekat.

10. Drama semakin menarik. Apakah situasi PKR bakal menjadi, "menang jadi abu, kalah jadi arang"? Sama-sama kita tunggu langkah seterusnya dari dua orang bakal PM dari satu parti yang sama....

Thursday, 18 July 2019

AL KISAH SEBINGKAI CERMIN USANG DAN PERAKAM VIDEO LAMA

Imej di dalam cermin adalah pantulan apa yang ada dihadapan cermin. Jika yang ada di hadapan cermin itu adalah diri kita, maka kita akan melihat imej kita di cermin tersebut. Tidak lebih dan tidak kurang. Kerana itu pesanan orang tua-tua, jika mahu melihat kecantikan sejati, lihatlah ke dalam cermin sewaktu baru bangun tidur. Bagi yang jujur dan mahu menerima kenyataan buruk baik wajah sendiri, mereka akan melihat ke dalam cermin di waktu ini (semasa baru bangun dari tidur). Bagi yang hipokrit dan penuh retorik, mereka akan bangun tanpa melihat cermin terlebih dahulu. Bangun tidur, mandi dan bersiap dengan segala tempekan kosmetik, barulah akan melihat cermin.

Di ketika ini, mereka akan tersenyum melihat imej di dalam cermin dan memuji (diri sendiri) walaupun tahu ianya penuh dilumuri kosmetik. Begitulah realiti kehidupan, kita sendiri yang mencorakkan penampilan kita. Tanpa segan silu manusia boleh mengata dan memerli orang lain walaupun diri sebenarnya amat kotor dan hanya dilindungi kosmetik yang ditempek berinci-inci.

Manakala imej yang di rekodkan di dalam video adalah cerminan perilaku tertangguh yang boleh disimpan selagi mana manusia mahu ianya disimpan. Sedikit kelainan di hadapan kamera video, manusia boleh menangguhkan ekspresinya. Jika sedang gembira, di saat mahu dirakam, manusia boleh segera berubah menjadi sedih lalu menangis. Selesai rakaman, boleh segera kembali ketawa. 

Itu jika rakaman dibuat dalam keadaan sedar. Jika rakaman dibuat secara rahsia, ia sama seperti cermin. Rakaman adalah imej diri manusia yang sebenar. Perilaku dan ekspresi rakaman secara rahsia merupakan gambaran sebenar kejadian. Namun manusia boleh saja mengaku atau bersifat hipokrit menafikan jika imejnya berjaya dirakam samada secara rahsia atau terbuka. Imej di dalam cermin dan rakaman video adalah realiti kehidupan. Apa yang ada di dalam cermin dan rakaman secara terbuka atau rahsia, itulah diri manusia dalam kehidupan sebenar. Pantulan imej di dalam cermin dan rakaman video bukanlah drama kehidupan. Ia adalah cerminan watak manusia di dalam kehidupan sebenar.

Selagi manusia tidak mahu melihat imej sendiri di dalam cermin atau rakaman video dengan jujur, selagi itulah manusia tidak nampak keburukan di dalam diri sendiri. Jika ada keburukan di dalam diri sendiri, manusia akan terus hidup dalam sindrom penafian. Yang ditonjolkan hanya imej baik tapi penuh kepalsuan. Kita adalah diri kita. Diri kita tiada duanya. Selagi dibuai mimpi kehebatan diri sendiri, selagi itulah imej sendiri di dalam cermin dan rakaman video kelihatan kabur.

Sepasang mata kita melihat imej sendiri dengan penuh kekaburan, berjuta pasang mata lain melihat imej kita dengan terang dan jelas. Moga kita semua dijauhi dari sifat yang begini...

Demikianlah cerita imej di dalam cermin dan rakaman video. Jika ada yang terkait dengan cerita cermin dan video ini, ianya hanya kebetulan. Kebetulan saya di kampung ketika ini dan terlihat cermin usang dan alat perakam video lama yang semakin dimakan hari menanti untuk dibuang.....

Tuesday, 25 June 2019

TRAGEDI PASIR GUDANG BERULANG LAGI: DIMANA SUARA PEJUANG ALAM SEKITAR PH KHUSUSNYA DAP?

1. Tragedi pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang Mac lalu masih segar dalam ingatan. Situasi gawat ketika kejadian berlaku sepatutnya menginsafkan kita agar ianya tidak berulang. Kerajaan negeri dan persekutuan sepatutnya lebih agresif memantau pembuangan sisa toksik supaya keadaan orangramai di kawasan sekitar lebih selamat dan terjamin.

2. Lagi pula, YB Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari DAP telah berjanji memastikan tragedi ini tidak akan berulang. Kerajaan negeri juga membuat komitmen akan mengerahkan segala kekuatan agar kawasan Pasir Gudang selamat dari pencemaran sisa toksik. Kini, disebalik janji-janji tersebut, kawasan Pasir Gudang sekali lagi dilanda tragedi pencemaran sisa toksik. Beberapa buah sekolah telah pun ditutup akibat murid-murid mengalami sesak nafas yang serius.

3. Apakah janji-janji ini hanya tinggal janji? Adakah ini satu lagi episod 'janji dicapati' oleh kerajaan negeri dan persekutuan dari kerajaan Pakatan Harapan. Nyata kenyataan YB Yeo Bee Yin bahawa kawasan sekitar Pasir Gudang telah selamat hanyalah satu pembohongan. Kenyataan terdahulu dari Exco Kesihatan Johor, Dr. Sharudin Jamal (kini Menteri Besar Johor) yang akan memantau sepenuhnya keadaan di Pasir Gudang tidak lebih dari sekadar 'janji manis' yang amat berbahaya.

4. Kejadian terbaru ini adalah sama bahaya dengan tragedi Sungai Kim Kim dahulu. Kerana itulah Perdana Menteri menyifatkan kejadian yang berulang ini adalah sesuatu yang sangat bodoh. Tidak masuk akal bagaimana tragedi yang menggemparkan negara sehingga ada cadangan diisytiharkan darurat, boleh berulang kembali. Tentunya Perdana Menteri menghidu sesuatu yang tidak kena sehingga boleh mengeluarkan perkataan bodoh.

5. Adakah tragedi kali ini melibatkan sisa buangan toksik baru? Jika benar, siapa pula yang terlibat kali ini. Jika ia melibatkan sisa toksik yang lama, kenapa masih mengeluarkan gas sedangkan YB menteri telah menyatakan sisa telah terhapus semuanya dan kawasan sekitar dijamin selamat. Apa pula yang terjadi dengan peruntukan RM10 juta bagi membersihkan sisa toksik yang diberi Mac lalu? Jika berkaitan, SPRM perlu bertindak menyiasat hal ini.

6. Tragedi ini adalah isu yang amat serius kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa manusia. Namun kita amat hairan, ke mana hilangnya suara-suara garang aktivis alam sekitar terutamanya dari DAP. Jika isu Lynas yang belum terbukti kesannya kepada manusia, tragedi Pasir Gudang pula amat jelas buktinya. Pening kepala, mabuk, muntah, sesak nafas dan bermacam-macam kesan lagi keatas masyarakat Pasir Gudang, bukti apa lagi yang DAP mahukan?

7. Dimana suara Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang menjadi juara Lynas suatu ketika dahulu? Kini beliau mempunyai kedudukan yang lebih berpengaruh dan tentunya suara beliau akan lebih didengari jika beliau bersuara dalam tragedi Pasir Gudang yang terkini? Begitu juga Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Mereka adalah antara pejuang alam sekitar yang bangga berbaju hijau berdemo anti Lynas sedikit masa dulu. Kini masing-masing amat berpengaruh di dalam kerajaan PH. Gunalah pengaruh yang ada untuk menghentikan tragedi ini dari berulang lagi.

8. Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Fuziah Salleh dan Xavier Jayakumar dari PKR juga lantang memakai baju hijau menentang Lynas dahulu. Kini mereka semua berjawatan tinggi dalam kerajaan dan mampu bertindak menghalang tragedi ini.  Namun kini, jangankan tindakan, suara bantahan terhadap pencemaran alam sekitar tidak lagi kedengaran dari mereka. Yang kita dengar dari mereka sekarang adalah mahu menjadi Perdana Menteri atau mempertahankan bos mereka untuk jawatan Perdana Menteri.

9. Dahulu ketika tiada jawatan, sibuk mendesak pihak membuat itu dan ini. Siap mengemukakan formula atau tindakan yang boleh menyelesaikan masalah rakyat . Kini, setelah memegang tampuk kuasa dan memegang jawatan berkaitan, tidak pula mereka sibuk nak menyelesaikan masalah rakyat. Yang mereka sibukkan adalah mengenai jawatan dan menjaga tembolok sendiri. Rakyat yang menanggung masalah kian dilupakan...

Masih belum terlambat untuk kerajaan PH bertindak membendung perkara ini. Rakyat Pasir Gudang masih menanti tindakan konkrit dari kerajaan agar nasib mereka terbela dari terkena tempias 'air kotor' Pakatan Harapan...

Friday, 21 June 2019

AKTA AMLA DAN SENARAI LUCUTHAK OLEH SPRM: KENAPA UMNO DAN TIDAK PAS?

1. Langkah kerajaan melalui SPRM memulakan prosiding lucuthak dan menuntut kembali sejumlah wang yang didakwa dari 1MDB tidak mengejutkan. Tindakan ini memang dijangka susulan beberapa akaun UMNO telah dibekukan konon untuk siasatan. Setelah beberapa ketika, tindakan susulan perlu diambil atau perintah pembekuan akaun terpaksa dibatalkan. Apabila pembekuan akaun dibatalkan, bermakna UMNO akan mendapat kembali wang tersebut. Tentunya ini tidak akan dibiarkan berlaku.

2. Persoalan pokok dalam isu ini, mengapa PAS yang disebut-sebut menerima RM90 juta dari UMNO (wang 1MDB), tiada dalam senarai SPRM? Perkara ini menarik perhatian banyak pihak. Ini berlaku di saat kerjasama UMNO-PAS menuju puncak dengan penerimaan kerjasama ini di Muktamar Agung PAS. Apakah ada tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan ini yang cuba memecah-belahkan proses kerjasama UMNO-PAS? Jika ada, tentunya pihak yang paling terkesan dari kerjasama ini ialah Pakatan Harapan.

3. PPBM tentunya akan terkesan kerana selama setahun lebih selepas PRU ke 14, dilihat gagal membela membela nasib melayu dan islam di bumi sendiri. PKR apatah lagi, dengan idea-idea liberal dalam isu islam dan melayu. PKR dilihat akan menjahanamkan melayu-islam jika terus disokong. DAP memang jauh sekali mahu membela nasib umat melayu islam di negara ini. Bahkan DAP dilihat sangat anti melayu-islam kerana sering mempertikaikan hak-hak melayu-islam di dalam negara.

4. DAP tetap berpegang dengan prinsip 'Malaysian Malaysia' yang dilihat mengganggu gugat hak-hak melayu-islam-bumiputera dalam negara serta tidak menepati kontrak sosial yang telah dipersetujui dahulu. Parti AMANAH pula dilihat tidak lebih dari parti pengampu DAP dan PPBM. Lebih teruk lagi, AMANAH dilihat menjadi 'alat DAP' dalam menjahanamkan dasar-dasar afirmatif yang melindungi hak-hak orang melayu-islam-bumiputera di dalam negara.

5. Oleh itu, umum melihat kerjasama UMNO-PAS adalah pilihan terbaik PRU akan datang untuk mengembalikan kuasa melayu-islam-bumiputera. Tentunya kerjasama ini adalah ancaman terbesar buat Pakatan Harapan untuk terus berkuasa selepas PRU ke 15 nanti. Maka itu, kerjasama UMNO-PAS perlu dihalang. Menghalangnya secara langsung akan mengakibatkan PH semakin jauh dari pengundi melayu-islam. Jalan terbaik adalah memecahkan kerjasama ini dari dalam. Maka diciptalah pelbagai isu dan kontroversi bagi menghilangkan tumpuan ahli dan mencipta prejudis dikalangan ahli UMNO dan PAS.

6. Bagi PH, kerjasama peringkat bawahan yang ditunjukkan oleh jentera UMNO dan PAS semasa PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau harus dipecahkan. Kerjasama dan perpaduan peringkat bawah dan pertengahan inilah yang mencipta kemenangan (pastinya dengan izin Allah). Sebatang pokok jika akar tunjang kuat, pokok akan tetap teguh biarpun sekuat mana ribut yang melanda. Akan tetapi jika tunjang pokok tidak kuat, pokok mudah tumbang dan kayu pokok yang tumbang pula akan digunakan untuk menumbangkan pokok yang lain.

7. Dalam menghadapi isu ini, ahli UMNO dan PAS perlu kekal fokus dengan gerak kerja perpaduan serta tidak hilang fokus. Isu lucuthak sengaja dicipta bagi menimbulkan prejudis antara ahli UMNO dan PAS. Jangan nanti ada yang bertanya "kenapa aku kena dan engkau tidak?". Cabaran kerjasama UMNO-PAS adalah untuk memahamkan ahli dan jentera pilihanraya. Cabaran ini berjaya dipecahkan dengan semangat ukhuwwah antara ahli serta kunjung mengunjung dalam suasana lebaran ini. Malahan ada jentera UMNO dan PAS menganjurkan majlis rumah terbuka secara bersama, sesuatu yang tidak pernah berlaku zaman dahulu. Gerak kerja peringkat ini adalah kunci kejayaan kerjasama UMNO-PAS.

8. Maka itu, istiqamahlah dengan kerjasama ini. Abaikanlah isu-isu busuk yang dicipta bagi menghancurkan kerjasama murni ini. Bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat....

Thursday, 30 May 2019

SINARAN 'TENAGA' YANG SURAM DI AIDILFITRI 

Seantero Malaysia membicarakan perihal bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tiba-tiba melambung mutakhir ini. TNB amat dekat di hati rakyat kerana 100% bangunan di Semenanjung Malaysia menggunakan khidmat TNB sebagai pemberi perkhidmatan berbayar elektrik tunggal di dalam negara.

 Pelbagai pihak menyalahkan meter baru yang ‘pintar’ dipasang TNB bagi menggantikan meter digital lama. Datuk Seri Najib Tun Razak pula mendedahkan kerajaan PH telah memansuhkan subsidi penggunaan elektrik kepada pengguna. Malangnya sehingga kini, tiada respon dari kerajaan PH berkaitan dakwaan Datuk Seri Najib.

Menteri kerajaan PH yang bertanggungjawab tentang tenaga pula mendedahkan bil TNB melambung naik akibat sistem komputer syarikat tersebut yang gagal mengemaskini bacaan meter di rumah-rumah kediaman. Ini setelah ribuan aduan kepada Suruhanjaya Tenaga dibuat oleh pengguna yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan.

Rakyat sudah cukup menderita setelah setahun pemerintahan kerajaan PH. Harga barangan terus naik walaupun dijanjikan rakyat akan menikmati harga barang yang rendah jika PH diberi peluang menjadi kerajaan. Begitu juga harga petrol, rakyat masih menantikan harga petrol RM1.50 seperti yang pernah dijanjikan pemimpin PH.

Pengenalan kembali cukai jualan dan perkhidmatan (SST) memburukkan lagi keadaan. Pembelian aplikasi di dalam talian akan dikenakan SST selepas ini. Pastinya ramai yang akan terkesan nanti terutamanya anak-anak muda. Sudahlah masalah anak muda seperti bayaran balik PTPTN tidak dihapus seperti janji di dalam manifesto PH, malah pembayaran balik tetap dilaksanakan.

Nampaknya rakyat terus kempunan untuk menikmati tol percuma di musim perayaan tahun ini. Ramai yang akan pulang ke kampung dalam keadaan gembira namun kehairanan mengapa bayaran tol masih dikenakan sedangkan kerajaan PH berjanji akan menghapuskan bayaran tol (terutamanya jika pulang melalui tol Simpang Renggam seperti yang pernah diwar-warkan Dr. Maszlee Malik).

Di kampung-kampung rakyat terus menderita akibat kenaikan harga barang. Pendapatan pula menurun akibat penurunan harga komoditi. Ibu bapa dan saudara mara kita di FELDA tidak dapat menikmati bonus hari raya pada tahun ini. Menteri Ekonomi umumkan tiada duit raya untuk FELDA tahun ini. Perdana Menteri pula kata tidak tahu. Rakyat seperti menunggu buah yang tidak gugur, masih menaruh harapan walaupun sudah hendak raya minggu hadapan.

Mahu guna elektrik di kampung masa balik raya nantipun kena fikir banyak kali. Sudahlah bonus tidak dapat, harga sawit dan getah jatuh merudum. Bukan apa, tidak mahulah kita bebankan ibubapa di kampung yang menanggung bil elektrik selepas semua anak cucu pulang ke bandar. Selepas cuti raya, kita kena mengadap musim rumah terbuka pula. Mungkin topik paling hangat semasa kunjung mengunjung dan rumah terbuka nanti ialah kenaikan bil elektrik yang melampau.

Apapun, raya tetap raya. Raya setahun sekali.

Harga barang, harga minyak, bil elektrik pula naik berkali-kali setahun. Lepas ini sudah diumum tarif air pula akan dinaikkan. Terima kasih kerajaan Pakatan Harapan kerana terus membebankan rakyat pada musim perayaan ini….. 

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI !!….

Wednesday, 22 May 2019

DAP VS MASZLEE: MENYERANG ADALAH PERTAHANAN YANG TERBAIK.

1. Serangan demi serangan oleh DAP kepada Menteri Pendidikan kerajaan PH yang mana DAP adalah sebahagian darinya. Belum pernah terjadi dalam sejarah negara, anggota kerajaan menyerang menteri kerajaan sebegini hebat. Itulah DAP, jika kehendaknya tidak dipenuhi maka terimalah 'buah tangan' dari DAP. DAP tidak pernah malu-malu untuk menyerang rakannya sendiri manakala rakan yang diserang pula malu-malu untuk mempertahankan diri sendiri. Sekutu PH yang lain juga malu-malu dengan DAP untuk mempertahankan Dr. Maszlee.

2. Dalam kemelut DAP-Maszlee, kerajaan Pakatan Harapan dilihat menggunakan kekuatan dari anggota perkhidmatan awam untuk mempertahankan YB Menteri Pendidikan. Anggota perkhidmatan awam, majoritinya Naib-naib Canselor IPTA telah mengeluarkan kenyataan mempertahankan program matrikulasi khusus untuk bumiputera sekaligus menyokong Dr. Maszlee. Malangnya Naib-naib Canselor ini telah menjadi sasaran serangan DAP hanya kerana tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh DAP dan sekutunya.

3. Prof Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USM telah 'dibuli' oleh ahli-ahli DAPSY hingga mempertikaikan kelayakan akademik Prof. Dr. Asma. Adakah DAP 'garang' menyerang Prof. Dr. Asma kerana beliau wanita? Jika benar, dimana suara pejuang-pejuang wanita DAP seperti Teresa Kok, Hannah Yeo, Chong Eng? Mereka ini antara pemimpin besar DAP dan boleh menasihatkan ahli CEC DAP serta ahli DAPSY agar tidak membuli wanita. Naib-naib Canselor dan bekas Naib Canselor juga diserang DAP walaupun tidak sehebat serangan terhadap Prof. Dr. Asma hanya kerana mereka mengemukakan fakta mengenai program matrikulasi.

4. Turut menambah 'garam dan kicap' dalam serangan DAP terhadap Dr. Maszlee ialah MCA dan GERAKAN. Barangkali GERAKAN dan MCA mahu membuktikan kepada masyarakat cina mereka masih wujud walaupun suara mereka tidak sekeras DAP. Serangan MCA terhadap Dr. Maszlee dimanipulasi oleh DAP bahawa BN juga menyokong DAP dalam isu ini. Manakala serangan GERAKAN terhadap Maszlee pula dianggap ketidakpuasan hati bekas komponen BN yang selama ini ditekan semasa didalam BN. Sungguh cekap DAP memanipulasi situasi. Setiap peluang yang terbuka, akan gunakan untuk menyerang lawan mereka.

5. Menteri-menteri DAP yang hadir semasa mesyuarat kabinet memutuskan untuk meneruskan program matrikulasi bumiputera, diam seribu bahasa. Tidak kedengaran langsung suara Lim Guan Eng, Gobind Singh, Teresa Kok, Hannah Yeo dan lain-lain menyatakan mereka ada bersama ketika keputusan dibuat. Sepatutnya merekalah yang perlu tampil ke hadapan membela Dr. Maszlee kerana mereka tahu dan turut berbincang (dalam mesyuarat kabinet) mengapa program matrikulasi bumiputera perlu diteruskan. Menteri DAP jangan jadi 'talam dua muka' atau 'duri dalam daging' kepada kabinet yang telah bersetuju program matrikulasi bumiputera diteruskan.

6. Serangan habis-habisan DAP dan sekutu mereka dalam isu matrikulasi bumiputera menepati strategi "menyerang adalah pertahanan yang terbaik". DAP tahu jika mereka tidak 'menyerang' di dalam isu ini, akan wujud ruang untuk rakyat khususnya masyarakat cina menghadam jawapan-jawapan akademik beserta fakta yang dikemukakan dalam isu ini. Serangan DAP dalam isu ini adalah 'serangan terancang' bagi memastikan isu ini kekal relevan bagi mengekalkan sokongan kepada DAP. Berilah apa jua jawapan yang rasional dan berfakta kepada DAP, mereka tidak akan mempedulikannya. 

7. Yang penting mereka akan terus menyerang dan menyerang. Apa saja platfom yang ada, akan digunakan. Ahli-ahli CEC, ahli-ahli DAPSY, NGO pro DAP, portal-portal berita pro DAP , individu tertentu pro DAP dan lain-lain akan ditentukan untuk menyerang sesuai kehendak DAP. Selagi sasaran tidak dimusnahkan atau kehendak mereka belum tercapai, selagi itu mereka tidak akan berhenti. Inilah realiti yang sedang ditanggung oleh Dr. Maszlee dan kerajaan Pakatan Harapan.....


P/S: Tahniah buat penjawat awam terutama Naib-naib Canselor IPTA yang mempertahankan dasar kerajaan walaupun anda sering dimusuhi oleh kerajaan PH.....