Tahniah BN. Pelbagai tafsiran kemenangan bergaya dengan majoriti 10945. Rata-rata tumpuan diberikan kepada Mahathir yang disifatkan tidak lagi relevan dalam arus perdana politik Malaysia.
Namun BN jangan leka dengan kemenangan besar ini. Mahu meraikan dengan rasa bangga, silakan. Memang patut kerana jentera telah bekerja keras dan sistematik bagi memastikan kemenangan BN.
Namun jangan sesekali kita lupa, PRK parlimen Kuala Selangor sebelum PRU 14 dahulu, BN juga menang bergaya. Majoriti BN bertambah ketika itu. Pengundi bukan melayu telah mengundi YB Budiman yang mewakili BN ketika itu.
Bertempiklah jentera BN konon pengundi bukan melayu telah kembali kepada BN. Sebelum itu juga, PRK parlimen Kuala Kangsar yang dimenangi YB Mastura Yazid menyaksikan 'trend' yang sama. Peratusan pengundi bukan melayu mengundi BN telah meningkat.
Pra PRU 14, rakyat Malaysia dihidangkan dengan cerita-cerita BN kembali mendapat tempat di hati pengundi bukan melayu dan dan pengundi muda. Namun apa terjadi selepas itu?
Pasca PRU 14 adalah episod pilu buat BN. Buat pertama kalinya BN hilang kuasa pemerintahan di peringkat pusat. Bukan sekadar kalah, BN telah di hina sehina-hinanya. Ada rakyat-rakyat yang tidak bertamadun 'mengepung' Putrajaya dan lapangan terbang negara, kononnnya mahu menghalang pemimpin BN dari melarikan diri.
Beberapa parti komponen BN juga telah 'mengkhianati' BN dengan meninggalkan gabungan kerana BN yang diterajui UMNO kononnya terlalu 'jijik' bagi mereka kerana bergelumang dengan perkara-perkara negatif. Tidak cukup dengan itu, ramai ADUN dan MP UMNO telah melompat keluar menyertai komponen yang membentuk kerajaan pasca PRU 14.
Seharusnya perkara ini menjadi pengajaran buat UMNO dan BN. Buat rakan komponen BN dan UMNO yang kekal setia, tahniah kita ucapkan. Buat PAS yang mendukung UMNO di saat-saat getir, alhamdulillah dan syukur dilafazkan kerana memungkinkan penyatuan melayu-islam buat kali pertama dalam sejarah politik negara.
Kemenangan seharusnya membuatkan kita bekerja lebih kuat untuk mengekalkannya. Kemenangan besar serta bergaya sepatutnya tidak melalaikan kita mencipta kemenangan besar PRU 15.
BN tidak memusuhi sesiapa. BN juga tidak rasis. BN terbuka menerima siapa sahaja yang ada sifat toleransi demi mengukuhkan gabungan. Buktinya, UMNO sanggup mengukuhkan gabungan dalam Muafakat Nasional dengan PAS tanpa meninggalkan gabungan di dalam BN iaitu MCA dan MIC.
Yang penting UMNO, BN, PAS dan Muafakat Nasional terus kekal bersatu. Jika ada yang mahu menyertai gabungan, telitilah dengan sedalam-dalamnya.
Politik bergerak secara dinamik, tidak statik. Gabungan ini perlu memikirkan masa hadapan, tidak lagi boleh dibuai kejayaan masa silam. Jangan kita digagalkan di masa hadapan hanya kerana dibuai mimpi indah masa silam.
Apabila kita gagal untuk merancang (masa hadapan), secara otomatik kita telah merancang untuk gagal. Seharusnya kejayaan mematangkan semua pendukung BN dan MN untuk berusaha lebih kuat mengekalkan kejayaan bersama.
Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-63.
ANUAR SHAARI MENULIS
Saturday, 29 August 2020
SETINGGI TAHNIAH, NAMUN PERLU TERUS BERHATI-HATI
Sunday, 7 June 2020
SULTAN JOHOR HUBUNGI ANWAR RESTU AMBIL ALIH KERAJAAN? DONGENG TERAGUNG ABAD INI..
1. Ada satu frasa sinis yang popular sedikit masa lalu mengenai Anwar Ibrahim. Dalam adegan itu, rakan saya mengemukakan satu teka-teki dan memulakannya dengan satu pertanyaan. "Bilakah Anwar mula berbohong?".
2. Maka keluarlah seribu satu jawaban yang difikirkan logik mengenai Anwar Ibrahim. Ada yang mengatakan bila Anwar berucap sambil memegang butang baju melayunya. Ada juga yang meneka bila Anwar mula mendepa tangannya dan kemudiannya menghentak rostrum atau meja.
3. Malahan ada yang cuba menjawab dengan pemikiran di luar kotak. "Anwar mula berbohong apabila beliau mula bergoyang". Saya percaya yang berkata ini merujuk kepada sikap Anwar yang seringkali menari di atas pentas bila ada majlis-majlis keramaian.
4. Namun menurut yang bertanya soalan, tiada satu jawaban pun yang dikatakan tepat untuk menggambarkan sikap Anwar. Lantas beliau memberikan jawapan yang paling tepat menurut pandangannya. Jawaban tepat menurutnya adalah "Anwar mula berbohong apabila beliau mula membuka mulutnya" (dipercayai merujuk kepada sikap Anwar yang sering memberi janji bombastik terhadap sesuatu perkara).
5. Walaupun ceritera ini hanyalah gurauan dan mungkin juga rekaan, ianya menggambarkan sikap Anwar yang sering berjanji manis bagi menarik sokongan.
6. Terbaru, bekas aktivis PKR sendiri mendedahkan Anwar (dalam pertemuan minggu lepas bersama seorang ADUN PKR mengatakan Baginda Sultan Johor merestui Anwar mengambil alih kerajaan pusat dengan syarat Mahathir tiada dalam 'kerajaan Anwar'.
Rujuk : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=264242731451058&id=100035959996986
Aktivis tersebut juga mengatakan Anwar mendakwa telah memperolehi 112 sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, namun hanya akan bertindak apabila jumlahnya mencapai 120 orang.
7. Tidak cukup 'menjual' nama Sultan Johor, Anwar turut memetik nama Tengku Hasanal pemangku Sultan Pahang dan raja-raja melayu yang lain.
Jika wakil rakyat PKR sendiri meragui apa yang Anwar katakan ini, kita sebagai masyarakat awam perlu lebih bijak menilai. Usah terpedaya dengan mainan politik Anwar.
8. Secara psikologinya, orang yang tidak punya sokongan akan 'mencipta' cerita bagi menarik sokongan yang belum ada pada dirinya. Orang yang punya kekuatan secara strateginya akan terus bertindak kerana yakin akan kekuatannya. Paling tidak pun, kekuatan tersebut tidak akan dihebohkan sementara menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.
9. Tapi itulah Anwar, beliau gemar bergerak umpama 'tong kosong'. Bila diketuk bunyinya kuat, namun dalamnya kosong, tiada apa-apa.
Tambahan pula, cerita Anwar 'menjual' nama Sultan Johor ini bukan kali pertama kita dengar. Jangan kita lupa tahun 2008, Anwar turut 'menjual' nama Sultan Johor konon mahu mengambil alih kerajaan pada 16 Sept 2008. Apa yang terjadi selepas itu? Anwar hanya kekal sebagai calon Perdana Menteri. Lebih teruk lagi, kini Anwar hanya bekas bakal calon Perdana Menteri. (PH masih tiada kata putus calon PM).
10. Kesimpulannya, 'habuk pun tak da'. Mungkin itu kata-kata paling sesuai bagi menggambarkan dongeng Anwar kali ini. Namun kita jangan sesekali alpa dengan Anwar. Beliau tentunya akan mencuba lagi selepas ini. Entah nama siapa pula akan dipetik kali ini.
Berhati-hatilah dengan manusia bernama Anwar Ibrahim. Ceritera 'Anwar mula berbohong apabila beliau membuka mulut' mungkin ada benarnya. Sultan negeri Pasir Berdengung mungkin saja adalam senarai beliau untuk dijual di masa hadapan....
Sunday, 10 May 2020
APAKAH MAHATHIR DAN MUKRIZ KEBAL DI DALAM BERSATU?
- 1. Mesyuarat BERSATU esok dijangka menarik. Semua ahli MPT BERSATU telah menerima surat jemputan menghadiri mesyuarat tersebut. Namun Pengerusi dan Timbalan Presiden BERSATU tidak menerima surat jemputan mesyuarat. Dengan kata lain, apabila tiada jemputan, dua beranak ini, Mahathir dan Mukriz tidak dikehendaki dalam mesyuarat tersebut!
- 2. Memang menarik direnungkan, mengapa ini berlaku? Mahathir adalah satu-satunya pengerusi sebuah parti yang punya kuasa eksekutif di dalam parti politik di Malaysia. Parti politik yang lain hanya ada Presiden yang berkuasa eksekutif ke atas parti mereka. Pengerusi parti BERSATU juga berada dalam struktur rasmi parti. Dalam struktur BERSATU, Pengerusi adalah lebih tinggi dari Presiden. Secara hirarki, Presiden perlu melapor kepada Pengerusi. Tradisi BERSATU sebelum ini, Pengerusi akan mempengerusi mesyuarat MPT parti.
- 3. Kali ini Pengerusi tidak dijemput. Secara hirarkinya, maka Presiden yang akan mempengerusikan mesyuarat. Barangkali ada satu keputusan besar yang perlu dibuat sehingga Pengerusi yang selama mempengerusikan mesyuarat tidak dijemput. Apakah keputusan yang perlu dibuat bakal melibatkan pengerusi? Kerana inikah pengerusi tidak dijemput hadir?
- 4. Bagi Timbalan Presiden, dikhabarkan oleh sumber dalaman BERSATU tidaklah menghairan. Menurut sumber dalaman tersebut, ada atau tidak Timbalan Presiden tersebut tidak membawa impak besar kepada mesyuarat. Diberitakan Timbalan Presiden tersebut lebih banyak diam jika pun hadir. Kehadirannya dilihat hanya menyokong Presiden dalam setiap keputusan yang dibuat.
- 5. Atas kertas, di sebalik suhu panas politik Malaysia terkini, seharusnya ada keputusan besar yang perlu dibuat dalam mesyuarat MPT BERSATU esok. Seperti bekas rakan sekutu BERSATU iaitu PKR, BERSATU boleh mengikut jejak langkah PKR samada menggantung atau memecat ahli-ahli yang bertindak bertentangan dengan dasar parti.
- 6. Logiknya, Mahathir dan Mukriz telah bertindak bertentangan dengan dasar parti BERSATU. Kebanyakan kenyataan mereka berdua bertentangan dengan dasar BERSATU yang mengetuai kerajaan PN GPS walaupun tidak mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan. Ianya terang lagi bersuluh apabila Mahathir sendiri telah membuat usul tidak percaya kepada TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
- 7. Kita menantikan apakah segala tindakan Mahathir dan Mukriz ada impaknya. Tentunya ahli BERSATU bingung memikirkan bagaimana Mahathir dan Mukriz bebas mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan parti dibiarkan lepas dan bebas. Ini melanggar disiplin parti. Apakah keistimewaan insan dua beranak ini. Jika ahli biasa yang melanggar disiplin parti, pasti akan ada hukuman dari tindakan mereka itu.
- 8. Terkini, diberitakan mesyuarat yang sepatutnya berlangsung esok, telah ditunda ke satu lain yang akan dimaklumkan kemudian. Apakah ini petanda Mahathir dan Mukriz akan bebas mengkritik dan terus mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan parti BERSATU?
- Selaku Presiden BERSATU yang kini menerajui negara, TS Muhyiddin perlu berani membuat keputusan segera terhadap kemelut yang melanda partinya kini. Sepertimana TS Muhyiddin berani membuat keputusan membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi menyelamatkan rakyat, tentunya rakyat juga mahu beliau bertegas dalam hal melibatkan Mahathir dan Mukriz.
- Jika kemelut BERSATU berterusan, tentunya kerajaan PN GPS akan menerima kesannya, dan akhir sekali tentu juga rakyat bakal bingung dan menerima kesan akan krisis ini. Apakah TS Muhyiddin mahu melihat saja Mahathir dan Mukriz berbuat sesuka hati mereka atas nama konon mereka perintis parti BERSATU.
- Berapa lama lagi rakyat mahu melihat drama politik yang seakan tiada kesudahan ini?
- Sama-sama kita tunggu dan lihat...
Friday, 10 April 2020
PKR PARTI 'SONGSANG', PENAFIAN HANYA TINDAKAN 'DAMAGE CONTROL'
1. PKR memang parti yang bergerak secara songsang. Di balik seruan pelbagai pihak agar dunia dan Malaysia khususnya, bersatu memerangi pandemik covid-19, PKR berkempen membuat video pendek 'mencari' salah kerajaan. Ini seperti laporan portal FMT
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/04/10/di-sebalik-krisis-covid-19-pkr-tawar-ganjaran-untuk-tiup-sentimen-anti-kerajaan/
Biarpun ada penafian dari PKR, penafian ini hanyalah tindakan "damage control" dari pimpinan PKR. Tiada tindakan keras seperti saman fitnah terhadap FMT kerana menyebarkan berita palsu.
Kegilaan apakah ini? Apakah mereka yang menganjurkan kempen ini sudah hilang nilai kemanusiaan dan sentiasa mahu berpolitik walaupun di saat kritikal begini?
2. Seantero dunia berhempas pulas memerah otak dan keringat mencari jalan mengekang wabak yang telah membunuh ratusan ribu manusia di seluruh dunia. Di Malaysia, angka kematian telah mencapai 70 orang dan lebih 40 orang pesakit yang kritikal (setakat 10 April 2020).
Kerajaan melalui para petugas agensi kesihatan dan keselamatan sedang berbuat 'sehabis baik' demi melindungi semua rakyat Malaysia dari dijangkiti wabak yang masih belum ada penawarnya hingga kini.
3. Manakala PKR pula tergamak mengeluarkan arahan membuat pertandingan video pendek 'kesalahan-kesalahan' kerajaan. Elemen mempertahankan Presiden PKR juga adalah sebahagian isi video tersebut. Sebagai insentif, yang menghasilkan video terbaik ditawarkan ganjaran. Sekali lagi, apakah mereka ini sudah gila dan mahu berpolitik sebilang masa?
Strategi serampang dua mata. Kecam kerajaan dan sokong presiden mereka. Nampak sangat politiknya. Tak salah mahu menyokong presiden mereka sepenuh hati, namun tak perlulah membabi buta.
4. PKR dan pembangkang yang lain nampaknya bimbang kehadiran mereka tidak dirasai langsung ketika ini. Kerana itulah, para pemimpin mereka tidak habis-habis bercakap mahukan sidang parlimen bagi meluluskan bajet pakej bantuan covid-19. Mereka juga sibuk membela pesalah-pesalah yang engkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Untuk apa mereka terus terpekik dan terlolong jika bukan untuk kepentingan politik mereka? Mereka langsung tidak mempedulikan hal-hal yang boleh membendung wabak ini dari merebak sekaligus mengambil nyawa orang awam di Malaysia. Sebagai ahli politik, sepatutnya mereka menenangkan dan menganjurkan penyokong agar berbuat baik kepada semua.
Bukannya terus menyemarakkan api kebencian terhadap kerajaan dan mencari kesalahan mereka.
5. Para petugas dari kalangan menteri, pegawai kerajaan, petugas kesihatan dan keselamatan tidaklah sempurna. Namun mereka sedang berbuat yang terbaik demi mengawal wabak ini. Jika ada pun sedikit kekhilafan, saya percaya ianya boleh ditegur secara berhemah.
Dalam situasi begini, perasaan insaf dan rendah diri tentunya akan membuat para petugas mendengar segala kekurangan dan berusaha untuk membetulkan tindakan mereka. Membuat video pendek tentang kesalahan para petugas kerajaan dan menularkannya, hanya menyemarakkan rasa benci dan perasaan negatif di kalangan kita.
6. Benarlah telahan umum yang mengatakan PKR ini sebagai parti kian rosak. Rosak kerana suka mengamalkan gaya songsang.
Di saat seruan agar kita membudayakan gaya politik baru (ketepikan fahaman politik, bersatu perangi covid-19), mereka tetap mahu gaya songsang (mungkin fitrah mereka) yang "semua mesti dipolitikkan" dan "bangkang walaupun benda baik".
Sebelum ini pun dah banyak cara songsang yang kita dengar dari parti ini. Pertandingan video ini hanya mengesahkan PKR ini parti yang memang suka perkara yang 'songsang'...
Saturday, 4 April 2020
JANGAN HUKUM PENGUATKUASA KERANA MENGUATKUASAKAN UNDANG-UNDANG
1. Menonton beberapa klip video 'drama' rakyat Malaysia membuatkan kita terfikir, apakah masyarakat kita mula hilang pertimbangan ketika ini. Apakah kita mula hilang rasa kemanusiaan dan saling menghormati?
2. Selain wabak Covid19 yang berjangkit, perangai negatif masyarakat juga agak cepat jangkitannya. Hampir setiap hari, kita dihidangkan dengan sikap angkuh manusia yang mencemuh dan melawan pihak berkuasa.
3. Barangkali ramai yang mula 'stress' kena duduk rumah. Maklum saja, bila terkurung ramai-ramai, 'tension' dengan kebisingan dan kelakuan masing-masing. Bila terkurung dalam keadaan tidak ramai, mungkin ramai yang murung pula. Tiada suara atau gelak tawa keluarga atau rakan-rakan.
Lantaran itu, adakah kerana 'stress', 'tension' dan murung menyebabkan kita semakin hilang pertimbangan?
4. Ada yang engkar perintah kawalan. Ramai juga memaki hamun petugas-petugas keselamatan yang saban hari berada di jalan-jalanraya ketika ini. Tidak kurang yang membuat hantaran di media-media sosial mencabar pihak berkuasa yang hanya menjalankan tugas mereka.
5. Apakah kita sudah hilang pertimbangan hanya kerana tidak dapat melakukan sesuatu yang kita kehendaki? Naluri manusia memang begitu, akan memberontak jika kehendaknya dihalang. Hanya kerana kita dihalang pergi makan di tempat yang kita suka, ada yang sanggup meninggi suara memaki hamun polis dan pasukan keselamatan.
6. Walaupun status sosial kita mungkin lebih tinggi di kalangan manusia lain, kita juga rakyat Malaysia yang terikat dengan undang-undang negara. Sekadar contoh, jika kita seorang doktor pakar, kita tetap perlu patuh arahan seorang kontabel polis.
Selagi mana arahan tersebut dalam bidang kuasa beliau (polis tersebut) dan tidak melanggar undang-undang negara, patuhilah ia. Tidak perlu bertegang urat menegakkan benang basah mempertahankan ego kita. Jika kita ada wang lebih mahu berlawan di mahkamah, lebih elok digunakan untuk perkara lain yang lebih bermanfaat.
7. Ibubapa pula perlulah menunjukkan contoh kepada anak-anak. Prinsip "ikut apa yang saya cakap, jangan ikut yang saya buat" jangan sekali-kali kita ikuti. Ibu bapa memainkan peranan besar membantu negara memerangi wabak Covid19 ini. Isilah masa lapang dengan keluarga dan hanya keluar jika perlu sahaja.
Ingatkan anak-anak agar sentiasa menghormati barisan petugas hadapan negara ketika ini. Hormati dan hargailah pengorbanan mereka. Di saat kita 'dikawal' agar duduk di rumah bersama keluarga, para petugas barisan hadapan berkorban masa dan tenaga menyahut panggilan negara 'berperang' melawan wabak ini.
8. Para petugas ini tentunya juga adalah ibu, bapa, anak, abang, kakak atau apa saja peranan mereka dalam keluarga. Tentu saja banyak tugas dan tanggungjawab yang terpaksa mereka lepaskan demi menyahut panggilan negara. Jika kita tidak mampu membantu para petugas ini, sekurang-kurangnya hormatilah mereka. Mengenang jasa dan pengorbanan mereka juga adalah satu kebaikan.
9. Jangan disuburkan budaya individualistik. Ini hanya mengundang budaya 'melanggar arahan' yang lebih parah kerana kita hanya mempertimbangkan kepentingan diri sendiri sahaja. Demi mencapainya, kita akan menentang siapa yang menghalang kita. Maka semakin membiaklah unsur-unsur negatif dalam diri kita. Hendaknya janganlah kita jadi begitu.
Jangan fikir kita saja yang boleh 'stress', 'tension' dan murung. Para petugas barisan hadapan negara pun boleh 'stress' dan 'tension' dengan perangai orang awan yang engkar dengan arahan. Tidak hairanlah para petugas juga boleh naik angin melihat tingkah laku kita. Lebih-lebih lagi jika ada unsur provokasi seolah-olah sengaja mahu melanggar undang-undang negara.
10. Maka itu, suburkanlah nilai-nilai positif dalam kehidupan, sekarang dan masa hadapan. Penyebaran nilai-nilai positif dalam kehidupan mampu menghindar kita dari jangkitan penyakit 'stress', 'tension' dan murung atau rasa terkurung ketika ini.
Janganlah dihukum para petugas kerana mereka hanya menjalankan tugas. Sebaliknya hukumlah mereka yang seolah-olah sengaja melanggar undang-undang negara dan mencabar pihak berkuasa...
Wednesday, 25 March 2020
BANYAK BAKTI YANG DAPAT DIBERI, SEPANJANG HIDUP YANG SESINGKAT INI
https://youtu.be/kf_VN9opTfY
Tajuk di atas adalah antara bait puisi Al Marhum Zubir Ali melalui lagu dan lirik ciptaan beliau "Siapa Yang Tak Pernah Menangis".
Di saat terluang ini, ingatan saya melayang kepada beliau, seorang guru dan sahabat yang telah meninggalkan kita semua. Namun tinggalan lirik puitisnya mendatangkan kesan mendalam. Lagu yang indah puisinya mungkin kurang popular, namun cukup terkesan di hati rakyat Malaysia sesuai dengan situasi terkini.
Secara umumnya, di saat Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa, terserlah kebaikan rakyat Malaysia :
1. Ramai yang membantu pihak berkuasa terutama staf hospital dan pihak keselamatan. Makanan, keperluan asas diedarkan oleh mereka yang prihatin kepada pihak berkuasa.
2. Saling membantu sesama sendiri. Di kampung-kampung, ramai yang terkesan dengan situasi ini. Bekalan makanan terputus bagi mereka yang tiada pendapatan tetap. Namun ada saja insan murni dan ikhlas membantu.
3. Saling mengingati. Ramai yang tidak kita kenali memberi peringatan tentang situasi terkini di media-media sosial baik keperluan mental atau fizikal. Penyebaran info grafik tentang wabak ini amat bermanfaat buat semua.
4. Perkongsian rangkaian doa-doa untuk semua dan kesejahteraan negara. Walaupun hanya di media sosial atau individu, mendoakan yang terbaik untuk pihak lain adalah langkah terpuji.
Jika mahu disenaraikan kebaikan rakyat Malaysia, tidak terbuat kita di ruangan ini. Ianya terlalu banyak. Dari sekecil-kecil bantuan, sehinggalah sebesar bantuan sekadar mampu mengikut kemampuan masing-masing. Kesimpulannya, di saat getir begini, masih ramai insan berlumba-lumba berbuat kebaikan.
Namun tidak kurang juga yang memilih jalan songsang menongkah arus tidak berbuat kebaikan di saat negara berhadapan wabak ini. Ianya :
1. Engkar arahan tidak berhimpun dengan jumlah yang ramai. Siap buat video kenduri kepala kambing lagi. Telah didakwa dan menunggu hukuman. Kalau kena, denda ribuan ringgit atau penjara 2 ke 3 bulan. Tak berbaloi sungguh kalau kena.
2. Seseorang memulakan berita palsu. Kemudian disambut oleh mereka yang menularkannya di media-media sosial. Dapat saja, terus kongsi tanpa memeriksa kesahihan berita. Alasannya, sekadar 'suka-suka' menularkannya.
Ironinya, si tukang kongsi cerita telah didakwa. Masa inilah baru teringat pesanan pihak berkuasa, "tidak pasti, jangan kongsi". Malangnya sudah terlambat. Jika kena hukuman, denda ribuan ringgit atau masuk penjara. Pun tidak berbaloi kerana perbuatan 'suka-suka' tadi.
3. Engkar arahan pihak berkuasa secara berhadapan. Siap melawan lagi. Maka mendapatlah habuannya. Didakwa di mahkamah dan bermalamlah di lokap polis atau penjara. Sungguh tepat perumpamaan 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'.
Pihak berkuasa menjalankan tugas dengan kuasa-kuasa yang telah diperturunkan kepada mereka. Segalanya mematuhi akta-akta sedia ada dalam perundangan negara. Pihak berkuasa bukan 'suka-suka' membuat sekatan jalanraya atau melarang kita keluar rumah.
4. Ramai juga yang menjadi profesor serba tahu mutakhir ini. Idea merekalah yang paling baik jika berbicara di media sosial. Apa juga langkah pihak berkuasa, semuanya tidak kena di mata mereka. Ada saja hujah mereka menyanggah tindakan kerajaan. Modal mereka hanya 'live di FB' dan air liur saja, sedangkan pertimbangan kerajaan mengambil kira segala sudut.
5. Banyak juga pengadu domba di saat kritikal ini. Mengambil kesempatan meniup api perkauman. Mungkin mereka lupa, wabak ini tidak kenal agama, bangsa atau negara. Semuanya boleh dijangkiti jika langkah pengawalan tidak diambil serius.
6. Tamak. Itu kesimpulan yang terjadi semasa awal perintah kawalan pergerakan. Beli barang-barang untuk stok 6 bulan. Wal hal, bukan tidak boleh keluar. Boleh keluar, cuma dengan pergerakan terhad. Pihak berkuasa juga memberi jaminan barangan keperluan sentiasa cukup.
Kita punya banyak pilihan dalam kehidupan ini. Teruskanlah berbuat kebaikan sesama kita. Jika di saat ini kita dihina, bangkit dan bantulah mereka yang memerlukan. Kita yang lemah ini diberikan peluang untuk membetulkan persepsi orang lain terhadap kita.
Jika di saat ini kita kuat, maka hulurlah bantuan sebanyak mungkin buat mereka yang memerlukan. Teruskan berbuat baik di mukabumi ini.
"Banyak bakti yang dapat diberi
Sepanjang hidup yang sesingkat ini"....
Tuesday, 17 March 2020
MALAYSIA KELAM KABUT KERANA TIADA TIMBALAN PERDANA MENTERI?
1. Semalam keadaan di dalam negara memang kelam kabut. Rakyat keliru arahan siapa yang patut diikuti. Sejurus selepas pengumuman PM mengenai 'kawalan pergerakan', tiada kenyataan susulan penjelasan tentang pengumuman PM. Apakah yang perlu agensi-agensi lakukan sesuai dengan arahan PM? Hakikatnya, tiada ! Sebaliknya, agensi-agensi mengeluarkan arahan tanpa garis panduan yang jelas.
2. Inilah yang terjadi semalam. Ketua Polis Negara mengeluarkan arahan perlu ada kebenaran polis untuk merentas sempadan negeri di dalam negara. Pihak universiti pula mengeluarkan arahan mengosongkan kampus kepada para pelajar. Ada juga universiti yang mengeluarkan arahan mengosongkan asrama di kampus. Jadinya, mahu ke mana para pelajar ini pergi, melainkan pulang ke kampung.
Perlu pula kebenaran polis jika mahu pulang ke kampung (merentas negeri). Makanya berpusu-pusulah pemohon ke balai polis mahu mendapatkan borang kebenaran merentas sempadan. Pertama kali dalam sejarah Malaysia, rakyat membanjiri balai-balai polis seperti pesta. Barang kali tertekan dengan situasi semalam, KPN menarik balik arahan tersebut.
3. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dengan perintah 'kawalan pergerakan' adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN). Agensi ini adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ia tanggungjawab langsung Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Namun di bawah kabinet TS Muhyiddin, jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diisi.
Yang ada adalah empat orang menteri kanan dengan potfolio tersendiri. Bermakna Majlis Keselamatan Negara adalah di bawah tanggungjawab Perdana Menteri. Menteri di JPM dengan potfolio tugas-tugas khas pula masih samar-samar bidang tugasnya.
4. Makanya, segala pengumuman berkaitan perintah kawalan pergerakan perlu datang dari Perdana Menteri atau Ketua Pengarah MKN (setelah diperturunkan kuasa kepadanya oleh Perdana Menteri. Para menteri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara dan lain-lain jawatan berkepentingan seharusnya tidak memberi apa-apa kenyataan. Ini bertujuan mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir.
5. Di masa lalu, seorang TPM, mewakili PM boleh diberi tanggungjawab membuat apa-apa pengumuman dalam keadaan seperti ini. Kini ia tidak berlaku kerana Malaysia tiada TPM. Dari segi politik pula, menurunkan kuasa kepada mana-mana menteri kanan bakal mengundang konflik politik di kemudian hari.
6. Tentunya menteri kanan yang dipertanggungjawabkan mewakili Perdana Menteri akan muncul memberikan pengumuman. Ini akan memberikan 'mileage' secara politik kepada penyandangnya. Mahu dibuat secara bergilir kepada empat menteri kanan pula sangat tidak praktikal. Jangka masa kawalan pergerakan hanyalah dua minggu.
7. Rakyat bawahan adalah golongan yang paling terkesan dengan situasi begini. Tentunya rakyat keliru dengan keadaan begini akibat tiadanya komunikasi dan koordinasi yang berkesan antara agensi. Rakyat bingung. Apakah perintah semalam masih diguna pakai untuk hari ini? Apakah perintah hari ini masih terpakai untuk hari esok?
Pemimpin meminta rakyat bertenang. Bagaimana mahu bertenang jika arahan yang diterima berubah-ubah? Saluran komunikasi sepatutnya digunakan sepenuhnya oleh kerajaan. Lantiklah seorang jurucakap untuk memberi maklumat dan arahan. Jelaskan, hanya arahan dan maklumat jurucakap tersebut yang terpakai. Sumber selain jurucakap ini adalah tidak terpakai.
8. Rakyat sedang menilai kerajaan baru ini. Alasan Muhyiddin dan barisan kabinetnya masih baru tidak boleh diterima lagi untuk masa hadapan. Perkemaskan segala jentera kerajaan agar maklumat sampai kepada rakyat dengan jelas.
Buat PM, jika perlu dilantik TPM untuk membantu tugas PM, buatlah dengan segera. Jika tiada keperluan, lantiklah seorang jurucakap dari Majlis Keselamatan Negara untuk menyampaikan arahan dan maklumat yang sah. Ketua Pengarah atau Setiausaha MKN adalah calon paling sesuai berbuat demikian.
9. Semua ini adalah komunikasi dan koordinasi rantaian perintah dari agensi-agensi yang terlibat dengan perintah kawalan pergerakan. Moga dipermudahkan.
Segalanya adalah DEMI RAKYAT!
#berubahutkkebaikan
Subscribe to:
Posts (Atom)