Thursday, 12 September 2019

HIMPUNAN PENYATUAN UMMAH 2019: KITA MAMPU BERSATU TANPA MAHATHIR

1. Esok bakal bermula program Himpunan Penyatuan Ummah 2019 yang menyaksikan kerjasama UMNO-PAS akan dimeterai secara rasmi oleh UMNO dan PAS. Kerjasama ini bakal terpahat dalam sejarah penyatuan gerak kerja bersama oleh dua parti terbesar umat melayu islam di Malaysia. Kerjasama rasmi ini tentunya sangat dinanti oleh umat melayu islam yang cintakan ummah dari segenap segi.

2. Namun begitu, ramai juga yang sinikal terhadap usaha penyatuan ini. Tentunya mereka ini terdiri dari kalangan yang tidak mahu atau 'gerun' melihat umat melayu islam Malaysia bersatu dan menjalinkan kerjasama erat dari semua segi. Ramai yang telah bersuara, terutama dari pimpinan kerajaan Pakatan Harapan yang seolah-olah 'panas punggung' dengan penyatuan ummah ini. Reaksi yang diberi mereka amat dangkal serta tidak tercapai akal manusia waras memikirkan mengapa mereka perlu menolak penyatuan ini.

3. Serangan bagi menggagalkan penyatuan ini diketuai sendiri oleh Perdana Menteri ke-7 serta beberapa pemimpin kanan PH. Barangkali PM ke-7 mengekalkan serangan ini sebagai kesinambungan dari PM ke-4 yang banyak mencerca dan mengeji PAS. Setelah PM ke-4 melepaskan jawatan di dalam parti UMNO dan kerajaan, bahasa UMNO kepada PAS bertukar rentak. Tiada lagi cercaan dan kejian. Bahasa UMNO kepada PAS lebih lunak serta mengarah kepada musyawarah di zaman Pak Lah dan DS Najib. Jelas ketika itu bekas Presiden UMNO tersebut amat tidak selesa dengan fenomena baru yang melanda UMNO selepas zamannya.

4. Untuk rujukan, Kelantan jatuh ke tangan PAS pada PRU 8 (tahun 1990). Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN ketika itu ialah Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Rekod pemerintahan Mahathir 'Bapa Pemodenan Malaysia' sepanjang 22 tahun (1981-2003) tercalar apabila BN kehilangan tampuk pemerintahan negeri Kelantan pada tahun 1990 kepada PAS. Sehingga akhir pemerintahan Mahathir pada tahun 2003, PAS terus menguasai Kelantan, bahkan PAS terus menambah kerusi setiap kali PRU di zaman Mahathir. Rekod Mahathir terus dicalar oleh PAS apabila Terengganu pula jatuh ke tangan PAS pada tahun 1999.

5. Mahathir gagal mengembalikan Kelantan kepada BN biarpun sepanjang 22 tahun mengetuai negara dan BN. Pelbagai tekanan dikenakan terhadap kerajaan negeri Kelantan agar mereka kelihatan tempang di mata rakyat Malaysia dan dunia amnya. Macam-macam yang dibuat Mahathir agar kerajaan negeri Kelantan dan PAS Kelantan mengalami kesukaran. Urusan yang sepatutnya mudah, sengaja disusahkan untuk kerajaan negeri Kelantan sahaja. Kelantan tiada dalam senarai keutamaan Mahathir untuk misi-misi perdagangan keluar negara. Malahan ada dakwaan projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sengaja ditamatkan di Kuala Terengganu kerana tidak mahu memberikan manfaat kepada Kelantan apabila LPT siap sepenuhnya nanti.

6. Biarpun ditekan dari segenap sudut, Kelantan tetap diterajui oleh PAS dengan teguhnya. Rakyat Kelantan seolah-oleh tidak mempedulikan Mahathir. Turunlah Mahathir ratusan kali pun ke Kelantan setiap kali PRU, PAS tidak pernah tumbang di Kelantan. Sebaliknya, UMNO Kelantan yang berpuak-puak dan sering mengamalkan 'cah keting' mengikut telunjuk Mahahir yang sentiasa memerintah melalui dasar 'pecah dan perintah'. Barangkali inilah punca mengapa Mahathir sangat berdendam dengan PAS, tambahan pula Mahathir sendiri pernah kalah dengan calon PAS Allahyarham Ustaz Yusuf Rawa semasa pilihanraya tahun 1969 di parlimen Kota Setar Selatan. Mungkin disebabkan itu juga, Mahathir menggunakan sepenuhnya kuasa beliau di dalam UMNO dan kerajaan untuk menyerang PAS.

7. Namun itu UMNO yang dahulu, digunakan oleh Mahathir untuk menyerang PAS hingga berlakunya perpecahan yang amat teruk antara penyokong UMNO dan PAS. Keadaan kini jauh berbeza. UMNO kini adalah UMNO yang lain, tanpa Mahathir. UMNO kini adalah UMNO yang menjadi pembangkang, yang lebih sensitif dengan kehendak ummah. Begitu juga PAS. PAS kini lebih terbuka dan peka dengan keperluan semasa. PAS juga tahu bekerjasama dengan UMNO yidak akan sesekali mengorbankan keutamaan prinsip keislaman mereka, bahkan itu yang dituntut dalam Islam. Maka itu, tiada salahnya UMNO dan PAS bekerjasama demi mengangkat martabat ummah.

Program kerjasama UMNO-PAS ini bakal melonjakkan keadilan dan kesaksamaan buat semua rakyat Malaysia. UMNO dengan pengalaman mengemudi BN yang pelbagai kaum dengan rekod adil dan saksama yang cemerlang. Manakala PAS pula dengan prinsip Islam yang mengutamakan keadilan dan kesaksamaan, pastinya akan memacu Malaysia ke arah yang lebih gemilang. Tidak perlu ucapan retorik mahu mengembalikan Malaysia sebagai 'Harimau Asia', namun tindakan jauh berbeza dengan apa yang diucap.

8. Himpunan Penyatuan Ummah 2019 ini hanyalah permulaan. Banyak lagi ruang yang boleh diteroka selepas ini. Buat semua peringkat pimpinan dan ahli-ahli UMNO serta PAS, usahlah gundah gulana dengan cacian serta makian dari mereka di luar sana. Peristiwa Memali, isu kafir mengkafir, solat dua imam dan lain-lain lagi berlaku di zaman Mahathir.

Pandang terus ke hadapan. Rakyat Malaysia menanti dengan penuh teruja kerjasama dua parti terbesar melayu-islam di Malaysia ini. BERSATU bukan parti melayu yang besar. Begitu juga AMANAH, mereka hanya parti serpihan yang didokong oleh DAP. Tunjang Pakatan Harapan PKR dan DAP pula adalah parti pelbagai kaum yang didokong berteraskan personaliti. Nama saja pelbagai kaum tetapi 'cakap tidak serupa bikin'.

Melayu itu adil. Islam itu saksama, maka apabila digabungkan, ia bakal memberi manfaat kepada semua. Jangan termakan hasutan terutama dari bekas UMNO dan PAS yang mencerca penyatuan ini. Sejarah bakal tercipta apabila termeterinya Piagam UMNO dan PAS nanti, dan sejarah ini tercipta tanpa mereka ada di sisi. 

Ayuh hadir beramai-ramai ke program yang bakal melakar sejarah dan membuka lembaran baru kerjasama. Percayalah, kita mampu untuk bekerjasama, kita boleh melakukannya. Dan yang lebih penting lagi, kita mampu bersatu dan menjadikannya realiti tanpa Dr. Mahathir.....