Tuesday, 25 June 2019

TRAGEDI PASIR GUDANG BERULANG LAGI: DIMANA SUARA PEJUANG ALAM SEKITAR PH KHUSUSNYA DAP?

1. Tragedi pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang Mac lalu masih segar dalam ingatan. Situasi gawat ketika kejadian berlaku sepatutnya menginsafkan kita agar ianya tidak berulang. Kerajaan negeri dan persekutuan sepatutnya lebih agresif memantau pembuangan sisa toksik supaya keadaan orangramai di kawasan sekitar lebih selamat dan terjamin.

2. Lagi pula, YB Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari DAP telah berjanji memastikan tragedi ini tidak akan berulang. Kerajaan negeri juga membuat komitmen akan mengerahkan segala kekuatan agar kawasan Pasir Gudang selamat dari pencemaran sisa toksik. Kini, disebalik janji-janji tersebut, kawasan Pasir Gudang sekali lagi dilanda tragedi pencemaran sisa toksik. Beberapa buah sekolah telah pun ditutup akibat murid-murid mengalami sesak nafas yang serius.

3. Apakah janji-janji ini hanya tinggal janji? Adakah ini satu lagi episod 'janji dicapati' oleh kerajaan negeri dan persekutuan dari kerajaan Pakatan Harapan. Nyata kenyataan YB Yeo Bee Yin bahawa kawasan sekitar Pasir Gudang telah selamat hanyalah satu pembohongan. Kenyataan terdahulu dari Exco Kesihatan Johor, Dr. Sharudin Jamal (kini Menteri Besar Johor) yang akan memantau sepenuhnya keadaan di Pasir Gudang tidak lebih dari sekadar 'janji manis' yang amat berbahaya.

4. Kejadian terbaru ini adalah sama bahaya dengan tragedi Sungai Kim Kim dahulu. Kerana itulah Perdana Menteri menyifatkan kejadian yang berulang ini adalah sesuatu yang sangat bodoh. Tidak masuk akal bagaimana tragedi yang menggemparkan negara sehingga ada cadangan diisytiharkan darurat, boleh berulang kembali. Tentunya Perdana Menteri menghidu sesuatu yang tidak kena sehingga boleh mengeluarkan perkataan bodoh.

5. Adakah tragedi kali ini melibatkan sisa buangan toksik baru? Jika benar, siapa pula yang terlibat kali ini. Jika ia melibatkan sisa toksik yang lama, kenapa masih mengeluarkan gas sedangkan YB menteri telah menyatakan sisa telah terhapus semuanya dan kawasan sekitar dijamin selamat. Apa pula yang terjadi dengan peruntukan RM10 juta bagi membersihkan sisa toksik yang diberi Mac lalu? Jika berkaitan, SPRM perlu bertindak menyiasat hal ini.

6. Tragedi ini adalah isu yang amat serius kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa manusia. Namun kita amat hairan, ke mana hilangnya suara-suara garang aktivis alam sekitar terutamanya dari DAP. Jika isu Lynas yang belum terbukti kesannya kepada manusia, tragedi Pasir Gudang pula amat jelas buktinya. Pening kepala, mabuk, muntah, sesak nafas dan bermacam-macam kesan lagi keatas masyarakat Pasir Gudang, bukti apa lagi yang DAP mahukan?

7. Dimana suara Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang menjadi juara Lynas suatu ketika dahulu? Kini beliau mempunyai kedudukan yang lebih berpengaruh dan tentunya suara beliau akan lebih didengari jika beliau bersuara dalam tragedi Pasir Gudang yang terkini? Begitu juga Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Mereka adalah antara pejuang alam sekitar yang bangga berbaju hijau berdemo anti Lynas sedikit masa dulu. Kini masing-masing amat berpengaruh di dalam kerajaan PH. Gunalah pengaruh yang ada untuk menghentikan tragedi ini dari berulang lagi.

8. Anwar Ibrahim, Wan Azizah, Fuziah Salleh dan Xavier Jayakumar dari PKR juga lantang memakai baju hijau menentang Lynas dahulu. Kini mereka semua berjawatan tinggi dalam kerajaan dan mampu bertindak menghalang tragedi ini.  Namun kini, jangankan tindakan, suara bantahan terhadap pencemaran alam sekitar tidak lagi kedengaran dari mereka. Yang kita dengar dari mereka sekarang adalah mahu menjadi Perdana Menteri atau mempertahankan bos mereka untuk jawatan Perdana Menteri.

9. Dahulu ketika tiada jawatan, sibuk mendesak pihak membuat itu dan ini. Siap mengemukakan formula atau tindakan yang boleh menyelesaikan masalah rakyat . Kini, setelah memegang tampuk kuasa dan memegang jawatan berkaitan, tidak pula mereka sibuk nak menyelesaikan masalah rakyat. Yang mereka sibukkan adalah mengenai jawatan dan menjaga tembolok sendiri. Rakyat yang menanggung masalah kian dilupakan...

Masih belum terlambat untuk kerajaan PH bertindak membendung perkara ini. Rakyat Pasir Gudang masih menanti tindakan konkrit dari kerajaan agar nasib mereka terbela dari terkena tempias 'air kotor' Pakatan Harapan...

Friday, 21 June 2019

AKTA AMLA DAN SENARAI LUCUTHAK OLEH SPRM: KENAPA UMNO DAN TIDAK PAS?

1. Langkah kerajaan melalui SPRM memulakan prosiding lucuthak dan menuntut kembali sejumlah wang yang didakwa dari 1MDB tidak mengejutkan. Tindakan ini memang dijangka susulan beberapa akaun UMNO telah dibekukan konon untuk siasatan. Setelah beberapa ketika, tindakan susulan perlu diambil atau perintah pembekuan akaun terpaksa dibatalkan. Apabila pembekuan akaun dibatalkan, bermakna UMNO akan mendapat kembali wang tersebut. Tentunya ini tidak akan dibiarkan berlaku.

2. Persoalan pokok dalam isu ini, mengapa PAS yang disebut-sebut menerima RM90 juta dari UMNO (wang 1MDB), tiada dalam senarai SPRM? Perkara ini menarik perhatian banyak pihak. Ini berlaku di saat kerjasama UMNO-PAS menuju puncak dengan penerimaan kerjasama ini di Muktamar Agung PAS. Apakah ada tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan ini yang cuba memecah-belahkan proses kerjasama UMNO-PAS? Jika ada, tentunya pihak yang paling terkesan dari kerjasama ini ialah Pakatan Harapan.

3. PPBM tentunya akan terkesan kerana selama setahun lebih selepas PRU ke 14, dilihat gagal membela membela nasib melayu dan islam di bumi sendiri. PKR apatah lagi, dengan idea-idea liberal dalam isu islam dan melayu. PKR dilihat akan menjahanamkan melayu-islam jika terus disokong. DAP memang jauh sekali mahu membela nasib umat melayu islam di negara ini. Bahkan DAP dilihat sangat anti melayu-islam kerana sering mempertikaikan hak-hak melayu-islam di dalam negara.

4. DAP tetap berpegang dengan prinsip 'Malaysian Malaysia' yang dilihat mengganggu gugat hak-hak melayu-islam-bumiputera dalam negara serta tidak menepati kontrak sosial yang telah dipersetujui dahulu. Parti AMANAH pula dilihat tidak lebih dari parti pengampu DAP dan PPBM. Lebih teruk lagi, AMANAH dilihat menjadi 'alat DAP' dalam menjahanamkan dasar-dasar afirmatif yang melindungi hak-hak orang melayu-islam-bumiputera di dalam negara.

5. Oleh itu, umum melihat kerjasama UMNO-PAS adalah pilihan terbaik PRU akan datang untuk mengembalikan kuasa melayu-islam-bumiputera. Tentunya kerjasama ini adalah ancaman terbesar buat Pakatan Harapan untuk terus berkuasa selepas PRU ke 15 nanti. Maka itu, kerjasama UMNO-PAS perlu dihalang. Menghalangnya secara langsung akan mengakibatkan PH semakin jauh dari pengundi melayu-islam. Jalan terbaik adalah memecahkan kerjasama ini dari dalam. Maka diciptalah pelbagai isu dan kontroversi bagi menghilangkan tumpuan ahli dan mencipta prejudis dikalangan ahli UMNO dan PAS.

6. Bagi PH, kerjasama peringkat bawahan yang ditunjukkan oleh jentera UMNO dan PAS semasa PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau harus dipecahkan. Kerjasama dan perpaduan peringkat bawah dan pertengahan inilah yang mencipta kemenangan (pastinya dengan izin Allah). Sebatang pokok jika akar tunjang kuat, pokok akan tetap teguh biarpun sekuat mana ribut yang melanda. Akan tetapi jika tunjang pokok tidak kuat, pokok mudah tumbang dan kayu pokok yang tumbang pula akan digunakan untuk menumbangkan pokok yang lain.

7. Dalam menghadapi isu ini, ahli UMNO dan PAS perlu kekal fokus dengan gerak kerja perpaduan serta tidak hilang fokus. Isu lucuthak sengaja dicipta bagi menimbulkan prejudis antara ahli UMNO dan PAS. Jangan nanti ada yang bertanya "kenapa aku kena dan engkau tidak?". Cabaran kerjasama UMNO-PAS adalah untuk memahamkan ahli dan jentera pilihanraya. Cabaran ini berjaya dipecahkan dengan semangat ukhuwwah antara ahli serta kunjung mengunjung dalam suasana lebaran ini. Malahan ada jentera UMNO dan PAS menganjurkan majlis rumah terbuka secara bersama, sesuatu yang tidak pernah berlaku zaman dahulu. Gerak kerja peringkat ini adalah kunci kejayaan kerjasama UMNO-PAS.

8. Maka itu, istiqamahlah dengan kerjasama ini. Abaikanlah isu-isu busuk yang dicipta bagi menghancurkan kerjasama murni ini. Bulat air kerana pembetung, bulat masyarakat kerana muafakat....