Wednesday, 25 April 2018

JANGAN DILUKAI HATI PARA PEJUANG TANAHAIR

1. Nama Shamsiah Fakeh tiba-tiba muncul di sebalik kehangatan kempen PRU 14. Promosi ideologi Shamsiah Fakeh dibawa seorang calon yang bakal menyertai PRU kali ini. Bakal calon tersebut hanyalah seorang yang biasa sahaja. Tidak dikenali ramai malahan tempat kelahirannya juga didakwa dari Tanah Besar China? Tapi apabila menggunakan nama nenek beliau bagi mempromosi diri, nampaklah dirinya hebat di mata penyokong-penyokong atau mereka yang sealiran dengannya. Promosi diri semasa PRU menuntut kreativiti parti dan calon bagi meningkatkan sokongan.

2. Namun di sebalik keghairahan parti dan calon membuat promosi, jangan sekali-kali kita melanggar batasan dengan mengagung-agungkan ideologi komunis yang pernah menjadi ‘mimpi ngeri’ dalam sejarah pembangunan negara. Shamsiah Fakeh adalah pejuang komunis. Beliau memilih menyarung seragam bintang tiga serta mengangkat senjata mengkhianati negaranya sendiri dari dalam hutan. Jutaan rakyat Malaysia menderita hasil ideologi dan perjuangan komunis seperti Shamsiah Fakeh. Mereka membunuh, membakar, menyiksa sesiapa sahja yang tidak menyokong mereka. Ramai yang menjadi balu, yatim piatu, kehilangan saudara-mara dan segalanya.

3. Saya tidak pernah masuk ke hutan memburu pengganas komunis. Saya hanya anak kepada seorang tentera yang masuk ke hutan memburu komunis. Kehidupan dalam kem tentera banyak mengajar saya memahami penderitaan keluarga yang ditinggalkan para pejuang negara. Hanya doa dan harapan keluarga mengiringi mereka setiap kali keberangkatan operasi memburu komunis, agar kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat dan sempurna tubuh badan. Namun takdir penentu segalanya. Ada yang pulang dengan selamat. Ada yang pulang dengan berlumuran darah, kehilangan kaki, cedera di mata, tangan serta seluruh anggota badan. Yang lebih tragis, kepulangan pejuang negara ini disambut dengan tangisan ahli keluarga serta sahabat handai kerana gugur di tangan pengganas KOMUNIS !!!

4. Shamsiah Fakeh lari meninggalkan Malaysia setelah perjuangannya kalah hasil pengorbanan anggota keselamatan dan para pejuang. Ianya tidak mudah dan kejayaan ini tentunya menuntut pengorbanan darah dan airmata semua pejuang tanahair serta keluarga mereka. Berpolitiklah dengan menghargai perjuangan semua pejuang tanahair kita. Nikmatilah keamanan kita hari ini dengan rasa syukur dan tawadhu’. Usahlah diagung-agungkan personaliti yang pernah memusnahkan negara suatu masa dahulu. Jangan dihiris dan dilukai hati para pejuang ini. Mereka tidak mengharapkan pujian serta balasan. Cukuplah dengan tindakan kita tidak ‘menghidupkan’ komunis yang pernah mereka hapuskan suatu masa lalu.

Sekian.

Anuar Shaari
Waris kepada 
15664 PW II Shaari Sudin (B)
Bekas anggota Rejimen Gerakhas Malaysia.

Monday, 8 January 2018

KEGILAAN APAKAH INI

1. Pakatan Harapan telah mengumumkan calon PM dan TPM mereka sekiranya menang PRU 14 akan datang. Apakah mereka telah hilang kewarasan semata-mata mahu memenangi pilihanraya? Dimana letaknya maruah pemimpin pembangkang yang sekian lama telah menolak Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

2. Tun Mahathir bijak memanipulasi keadaan. Disaat Lim Kit Siang diserang bertubi-tubi sebagai ketua sebenar Pakatan Harapan, Tun Mahathir rela diperalatkan demi menyelamatkan agenda peribadi beliau. Disaat Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat (sekiranya menang), Tun Mahathir tampil memberikan harapan palsu kepada penyokong Pakatan Harapan.

3. Masih ingat lagi dengan ribuan janji Tun Mahathir bahawa Datuk Seri Anwar adalah pengganti beliau sebagai Perdana Menteri pada tahun 1996-1998? Bahkan Tun Mahathir pernah 'berdrama' dengan meletakkan Datuk Seri Anwar sebagai Pemangku Perdana Menteri selama 3 bulan konon bertujuan mempersiapkan Datuk Seri Anwar sebagai PM. Dilalaikan lagi Datuk Seri Anwar apabila Tun Mahathir memberitahu semua rakyat Malaysia bahawa Anwar telah lulus dengan cemerlang semasa memangku jawatan PM!

4. Gegak gempita penyokong Anwar bersorak. Bahkan dalam temubual dengan media antarabangsa pada 1 Ogos 1998, Tun Mahathir berkata beliau tidak akan memecat Anwar biarpun berbeza pandangan. Namun pada 2 Ogos 1998, seluruh dunia gempar dengan berita pemecatan Anwar. Tun M dengan muka selamba menjawab Anwar ada masalah moral dan me******kan pembantunya. Hakikatnya selama Tun Mahathir memuji dan mengangkat Anwar, ada gerakan tersembunyi didalangi beliau sendiri bagi menyingkirkan Anwar. Betapa licik dan hipokritnya permainan politik Tun Mahathir !!

5. Banyak pendapat pimpinan Pakatan Harapan yang menyatakan bahawa peristiwa ini telah menjadi sejarah dan perlu 'move on'. Namun hakikatnya, sementara kita mempersiapkan masa hadapan, jangan kita mengulangi kesilapan masa lalu. Apabila Tun Mahathir mengatakan beliau mahu menyelamatkan Malaysia, jangan dilupa skandal forex RM31 bilion yang didalangi beliau.

6. Apabila Tun M berkata mahu membanteras kronisme, ingatlah kekayaan anak pinak beliau yang maha kaya raya melalui 400 lebih syarikat berdaftar. Siapa yang mengatakan DAP adalah parti chauvinis cina selama 22 tahun sebagai PM? Namun kini lidah bercabang Tun M mengatakan sebaliknya, sanggup diperalatkan demi menyelamatkan karier politik anak beliau DS Mukriz. Apabila beliau mengatakan mahu menjadi PM sementara, ingatlah 3 TPM yang telah beliau singkirkan semasa menjadi PM.

7. Amat bahaya jika kita kembali semula ke era Mahathirisme. Oleh itu, kesilapan lama jangan kita ulangi demi mempersiapkan masa depan yang gemilang. Usah dituruti mereka yang menyokong Tun M sebagai PM kerana mereka ini semuanya lidah bercabang. Suatu ketika dahulu mahu menjatuhkan Tun Mahathir dengan retorik Reformasi. Kini mahu melaksanakan Reformasi itu dengan dipimpin Tun Mahathir. Kegilaan apakah yang telah melanda mereka? Jangan kita juga sama-sama diheret mereka yang gila ini. Harap kita jangan menjadi gila memilih sesuatu yang kita sudah tahu gila...

Sekian.